KONAMI telah mengesahkan lanjutan kerjasama dengan FIFA bagi memperkukuh pembangunan sukan elektronik bola sepak di peringkat antarabangsa, dengan eFootball diumumkan sebagai salah satu tajuk utama untuk FIFAe World Cup 2025.
Kejohanan berprestij ini akan diadakan di Arab Saudi pada Disember nanti sebagai sebahagian daripada FIFAe Finals 2025. Versi mobile dan konsol akan dipertandingkan, dengan pelan untuk memperluas penglibatan negara serta memperkenalkan proses kelayakan yang lebih menyeluruh dan terbuka.
Edisi 2024 menyaksikan lebih 14 juta pemain dari serata dunia bertanding secara dalam talian, dengan 16 negara mengambil bahagian dalam kategori mobile dan 18 negara dalam kategori konsol.
Pusingan akhir FIFAe World Cup 2024 kategori konsol mencatat lebih 400,000 penonton serentak, menjadikannya acara paling popular dalam sejarah eFootball. Berasaskan kejayaan ini, edisi 2025 bakal memperkenalkan tempoh kelayakan terbuka yang lebih panjang, serta aktiviti di peringkat tempatan dan serantau bagi memudahkan penyertaan.
Melalui kerjasama dengan FIFPRO, kejohanan ini juga akan melibatkan lebih banyak kelab dan pemain profesional, sekaligus memperkaya pengalaman pemain.
Pengumuman ini dibuat semasa eFootball World Festival yang berlangsung pada 21 Julai di Tokyo, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 francais eFootball.
Acara ini turut menampilkan legenda bola sepak, Zico, dan mengumumkan kemas kini menarik termasuk kemunculan Wayne Rooney dan Gareth Bale sebagai Epic Legends bermula 21 Julai. Rooney turut menerima rekaan istimewa sempena ulang tahun ini, dan lebih banyak pemain legenda akan diperkenalkan sepanjang tahun.
Festival tersebut juga menyaksikan juara eFootball Championship 2025 World Finals, dengan BRU_JEANSUI dari Thailand memenangi kategori konsol, manakala JUNINHO EFOOTBALL dari Brazil dinobatkan sebagai juara kategori mobile.
Pemain juga boleh menantikan pelbagai kandungan baharu dalam game. Bermula 24 Julai, Borussia Dortmund akan menyertai eFootball dengan acara Club Selection yang menampilkan lapan pemain (tiga daripadanya boleh diperoleh secara percuma melalui kempen khas).
Tambahan pula, kerjasama baharu dengan Professional Footballers’ Association (PFA) akan membawa “2025 PFA Team of the Year” ke dalam game menjelang hujung tahun ini, dengan 11 pemain terbaik berdasarkan pemilihan PFA Awards pada 19 Ogos.
Beberapa ciri baharu turut diperkenalkan, termasuk Link Up (sistem ‘manager booster’ yang membolehkan gerakan kombinasi khas) serta Treasure Link (sistem ganjaran berkonsepkan gaya bingo) yang akan dilancarkan sekitar pertengahan Ogos.
Pemain juga berpeluang memperoleh salah seorang daripada 15 pemain terpilih secara percuma dengan hanya log masuk dan memenuhi syarat tertentu bermula 21 Julai.
eFootball kini boleh dimainkan di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, Windows, Steam, iOS, dan Android. Untuk maklumat selanjutnya, sila layari laman web rasmi eFootball.









Discussion about this post