Walaupun diselubungi oleh pelbagai kontroversi dalam kalangan gamer, tetapi itu tidak menjejaskan keseronokan kami sepanjang bermain Dragon’s Dogma 2. Banyak sahaja benda seronok yang berlaku sepanjang bermain. Sampai ketagih juga kami untuk berada dalam dunia fantasi ini.
Tidak dinafikan game asal mempunyai kekurangannya tetapi itulah yang menjadi batu loncatan untuk sebuah game yang lebih baik. Selepas 12 tahun, Capcom akhirnya melepaskan sekuel game yang masih teguh pada visinya malah memberikan sesuatu yang lebih baik buat sekuel tersebut dan menggunakan sebaiknya reka bentuk game tersebut. Ingin tahu lebih lanjut? Teruskan bawa review penuh kami untuk Dragon’s Dogma 2.
Penceritaan & Dunia Terbuka
Dragon’s Dogma 2 sememangnya sebuah game RPG yang menyediakan pengembaraan yang baik malah membawa anda ke sebuah dunia yang cukup mendalam. Anda sebagai Arisen, “Chosen One” yang hatinya telah dicuri oleh naga telah hilang ingatan dan terjebak dalam satu drama. Rupa-rupanya anda sebagai Arisen merupakan pemerintah sah kerajaan Vermund, tetapi ada penyamar yang telah mengambil tempat anda.
Dengan naratifnya sebegitu, maka bermulalah pengembaraan anda berjam-jam lamanya dalam dunia fantasi gelap ini. Banyak juga detik-detik yang menarik termasuklah beberapa twist yang sememangnya seronok. Rasanya antara kelebihan yang terdapat dalam game ini adalah dunia terbuka serta gameplay-nya membuatkan anda mencorak sendiri kisah anda dalam dunia itu.
Penerokaannya juga boleh tahan juga dengan dunianya yang kelihatan sangat cantik, penuh dengan hutan rimbun dan puncak alpine. Setiap masa, ada sahaja perkara yang akan menarik perhatian anda. Tidak kiralah semasa meneroka hutan tebal bersama teman anda, Pawn yang sering keluarkan komen-komen kelakar, memberikan anda arah tuju kepada harta karun tersembunyi yang ada pada tangga atau tebing yang sukar untuk dicapai.
Sambil anda meneroka, sudah pasti anda akan bertemu dengan raksasa ganas yang nampaknya tidak sabar untuk membuatkan pengembaraan anda huru-hara. Pernah sekali kami melawan Cyclops gergasi, tiba-tiba ada Griffin yang sertai sekali. Paling kelakar apabila sekumpulan Goblin turut menyerang hendap kami. Memang kecoh keadaan pada waktu itu.
Itu hanyalah salah satu daripada emergent gameplay yang terdapat dalam Dragon’s Dogma 2. Ia juga bukanlah konsep yang baru dalam game tetapi ianya sangat jelas dalam game ini. Sepanjang mengembara, banyak perkara yang kami boleh kongsikan seperti Griffin yang ingin mengamuk di sebuah bandar mahupun Minotaur yang menyerang caravan pada waktu malam dengan sekumpulan NPC yang memulakan raid terhadapnya.
Game ini juga ingin anda mengalami pertemuan yang mengejutkan. Daripada segi reka bentuk, game ini tiada sistem fast travel yang merupakan satu sistem yang wujud dalam kebanyakan game dunia terbuka. Walaupun begitu, ada sahaja sistem ini dalam Dragon’s Dogma 2. Cuma ia tidak tersedia pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja kerana anda perlu berinteraksi dengan Portcrystal untuk sediakannya dan anda perlu menggunakan barang berharga yang dipanggil Ferrystone untuk teleport. Kalau anda tidak mahu menggunakannya, jadi anda mempunyai pilihan untuk menaiki kereta lembu atau berjalan kaki.
Quest dalam game ini juga sedikit tersembunyi kerana tiada arahan yang jelas di manakah lokasi tertentu untuknya. Anda hanya mendapat maklumat melalui dialog dan marker yang tidak begitu membantu untuk ke lokasi quest. Dengan tiada fast travel atau jalan yang jelas untuk ke tempat quest, memang mencabar juga untuk selesaikan quest yang diberikan. Banyak kali juga kami sesat dan bertembung dengan pelbagai musuh baru serta kejadian yang mengejutkan.
Combat
Semua pertemuan dengan raksasa ganas dalam dunia terbuka mudah sahaja untuk dihadapi jika sistem combatnya baik. Daripada awal, anda diberi pilihan untuk memilih daripada empat vocation yang tersedia. Lebih banyak vocation yang akan dibuka semakin anda maju dalam game. Setiap vocation berbeza dan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.
Vocation fighter berdaya tahan dan boleh berlindung daripada serangan yang dilemparkan kepada mereka menggunakan perisai tetapi musuh yang terbang membawa ancaman kepada mereka. Sorcerer pula boleh melancarkan sihir elemental yang kuat tetapi memerlukan masa untuk menyalurkan cast mereka. Warrior, Thief, Mystic Spearhands dan lain-lain mempunyai gaya bermain yang berbeza tetapi mampu memberikan impak kepada pertarungan semasa menentang musuh.
Setiap pergerakan agak bagus dengan setiap pukulan memberikan efek visual yang menarik dan bunyi yang membuatkan kami terasa puas. Setiap sihir yang diseru menyelubungi skrin dengan elemen yang dahsyat. Tambahan pula dengan muzik epik orkestra, kami terasa seperti betul-betul berada di tengah-tengah pertarungan fantasi yang gempak.
Tidak dilupakan juga dengan Pawn, peneman yang direka pemain yang anda boleh upah atau kongsi dengan pemain lain. Memang seronok ada peneman semasa mengembara walaupun mereka ini kepoh kadang-kadang. Walaupun mereka tidak mempunyai akses untuk semua vocation yang ada, tetapi terdapat pelbagai taktik yang boleh digunakan.
Dengan kebijaksanaan AI, Pawn boleh mempelajari dan menggunakan lebih banyak strategi dalam pertempuran malah anda juga boleh menyesuaikan Pawn utama anda dengan lebih lanjut. Memandangkan terdapat pelbagai jenis vocation, anda boleh mempunyai Fighter yang boleh membaling anda untuk menyerang musuh yang berada di udara atau anda boleh memiliki Archer yang pakar dalam menggunakan anak panah letupan dan sebagainya.
Strategi juga memainkan peranan yang penting dalam combat. Anda tidak boleh terus berlawan kerana setiap musuh adalah unik dan rintangan elemental adalah sesuatu yang anda perlu pertimbangkan.
Slime dan Phantom kebal terhadap serangan fizikal, Goblin pula takut kepada api dan Ogre pula obses terhadap wanita. Uniknya, Dragon’s Dogma membolehkan anda untuk berpaut pada raksasa yang anda tempuhi. Anda boleh panjat badan mereka dan terkam mereka menggunakan pedang anda berkali-kali.
Prestasi
Kami telah bermain game ini melalui PC dengan tetapan High dengan Ray Tracing ditutup dan FSR 3 berada pada tahap Quality. Berikut adalah spesifikasi PC yang kami gunakan untuk mencuba game ini: AMD Ryzen 5 7600 CPU, AMD Radeon RX 7800 XT GPU, 32 GB DDR5 RAM 6000MHz dan Windows 11.
Daripada segi prestasi, kami boleh mainkan game ini dengan baik, di mana kami mampu mencapai 60fps di kebanyakan kawasan. Ia hanya turun apabila berada di kawasan yang penuh dengan foliage tetapi jarang berlaku. Sudah tentu ada pengecualian apabila berada di kawasan yang penuh dengan NPC sebagai contoh pusat bandar Vermund atau kampung lain. Frame rate turun sehingga 10% – 20%, dengan frame rate paling rendah jatuh pada 30+ fps.
Seperti yang dinyatakan Capcom, NPC akan menggunakan kapasiti CPU dengan banyak, jadi frame rate sedikit demi sedikit stabil. Nasib baik perkara ini hanya berlaku di tempat-tempat yang selamat atau bandar, di mana anda selalunya bercakap dengan NPC dan menguruskan peralatan. Kalau berada di sekeliling musuh, memang seronok kena belasah nanti.
Sejujurnya, masalah frame rate bukanlah isu besar buat kami memandangkan kebanyakan kawasan elok sahaja dimainkan pada PC kami walaupun berada di kawasan yang mempunyai foliage yang banyak. Jadi buat anda yang agak sensitif dengan frame rate yang tidak stabil, mungkin anda perlu tunggu Dragon’s Dogma 2 untuk optimum sepenuhnya sebelum mula bermain.
Kesimpulan
Dragon’s Dogma 2 sememangnya satu pengalaman yang menyeronokkan, dengan game itu mengembangkan perkara yang baik daripada game asal dan memberikan satu pengembaraan hebat merentasi pelbagai kawasan di dunia terbuka. Ditambah pula dengan combat yang gempak dan ganjaran eksplorasi yang berbaloi, kami memang enjoy berada dalam dunia fantasi ini.
Selain daripada masalah tidak konsisten pada prestasinya, ia masih mampu untuk memberikan pengalaman yang baik. Kami pasti apabila game ini sudah stabil sepenuhnya, lebih ramai Arisen yang turut mulakan pengembaraan mereka.
Dragon’s Dogma 2 sudah tersedia di PS5, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam. Untuk mendapatkan segala liputan mengenai Dragon’s Dogma 2 daripada kami, boleh klik pautan ini.
Kod dibekalkan oleh Capcom.
@gamersantaimy
The Review
Dragon's Dogma 2
PROS
- Pertarungan yang lancar dan sengit dengan pelbagai vocation
- Soundtrack orkestra yang epik
- Dunia terbuka yang penuh dengan pelbagai benda untuk diterokai
CONS
- Prestasi yang tidak konsisten
Discussion about this post