Square Enix dan NHN PlayArt telah mengesahkan bahawa Dissidia Duellum Final Fantasy, sebuah game arena boss battle tiga-lawan-tiga, akan dilancarkan pada 24 Mac untuk iOS (App Store) dan Android (Google Play).
Pengumuman ini disertakan dengan trailer yang mendedahkan enam watak baharu: Firion (Final Fantasy II), Onion Knight (Final Fantasy III), Rikku (Final Fantasy X), Iroha (Final Fantasy XI), Balthier (Final Fantasy XII), dan Clive Rosfield (Final Fantasy XVI).
Mereka akan sertai watak-wataj yang telah diumumkan sebelum ini seperti Warrior of Light, Cloud, dan Lightning.
Apakah Game ini Sebenarnya?

Dissidia Duellum mengumpul para pahlawan ikonik dari seluruh Final Fantasy ke Tokyo moden , di mana mereka perlu berganding bahu untuk menyelamatkan dunia daripada kehancuran.
Gameplay utama berpusat pada format boss battle kompetitif di mana dua pasukan yang terdiri daripada tiga pemain masing-masing akan melawan gelombang raksasa dan berlumba untuk mengalahkan boss yang kuat sebelum pasukan lawan berjaya berbuat demikian.
Ia memfokuskan elemen co-op dan kompetitif, serta direka khas untuk mobile dengan kawalan yang ringkas dan mudah dimainkan di mana-mana sahaja.

Setiap watak tergolong dalam salah satu daripada empat peranan (Melee, Ranged, Agile, atau Support), jadi komposisi pasukan dan koordinasi antara pemain memainkan peranan penting. Pemain juga boleh menyesuaikan loadout mereka dengan pelbagai abiliti, yang kebanyakannya menampilkan ilustrasi baharu oleh barisan artis berbakat.
Selain combat, game ini turut menawarkan story mode berlatar belakangkan Tokyo moden, disampaikan melalui lakonan suara Jepun sepenuhnya dan visual cel-shaded cantik.
Ada juga bahagian yang lebih santai di mana pemain boleh menonton episod gaya chat messenger yang menunjukkan watak Final Fantasy menjalani kehidupan harian dan berinteraksi sesama mereka dalam suasana dunia moden.
Pemain juga boleh menukar pakaian watak dengan pakaian serba baharu atau streetwear moden, mengumpul muzik daripada seluruh francais, serta berhubung dengan pemain lain melalui profile dan in-game chat.

Square Enix juga menyatakan bahawa lebih banyak watak akan ditambah dari semasa ke semasa.
Tidak Sokong Rantau Asia Tenggara, Jadi Apa Pilihan Pemain Malaysia?
Ini bahagian yang kurang gembira untuk pemain Malaysia: game ini tidak tersenarai di App Store mahupun Google Play Store di rantau Asia Tengara. Jadi selagi tiada versi SEA, tiada cara rasmi untuk memainkan game ini di Malaysia buat masa ini.
Sekiranya Square Enix memperluaskan ketersediaan game ini ke lebih banyak negara pada masa hadapan, kami akan pastikan untuk mengemaskini maklumat ini.









Discussion about this post