Para peminat Detective Conan di Malaysia boleh bersedia, kerana filem terbaharu yang merupakan siri ke-28 francais popular itu, bertajuk Detective Conan The Movie: One-Eyed Flashback, dijadualkan untuk tayangan di seluruh negara bermula 18 September 2025.
Dianaptasi daripada manga popular ciptaan Gosho Aoyama, filem ini mula ditayangkan di Jepun pada 18 April 2025 dan telah mencatat kejayaan luar biasa. Dengan kutipan global melebihi ¥14.66 bilion, ia kini memegang rekod sebagai filem kedua paling laris dalam sejarah francais Detective Conan serta filem ke-18 paling berjaya di Jepun.

Jalan ceritanya memfokuskan kepada Inspektor Kansuke Yamato, seorang detektif dari Jabatan Polis Nagano yang hanya memiliki sebelah mata tetapi dikenali kerana gerak hatinya yang tajam.
Dia dibelenggu oleh peristiwa tragis di kawasan pergunungan Yatsugatake yang bukan sahaja meninggalkan parut fizikal, tetapi juga trauma akibat runtuhan salji yang pernah dialaminya.
Apabila satu kes serangan berlaku di Nobeyama National Observatory, trauma lama Yamato kembali memburunya, mengisyaratkan bahawa insiden tersebut mempunyai kaitan rapat dengan masa lalunya.
Pada masa yang sama, detektif Kogoro Mouri bersama Conan Edogawa turut terseret ke dalam siasatan kes lampau itu setelah menerima panggilan telefon yang penuh misteri. Mereka kemudiannya terperangkap dalam sebuah konspirasi berbahaya yang dikenali sebagai “misteri ‘whiteout’”.

Bagi meraikan ketibaan filem ini, pengedar rasmi, ODEX, akan mengadakan satu sesi tayangan istimewa eksklusif untuk para peminat sebelum tarikh tayangan rasminya.
Butiran Tayangan ODEX:
- Tarikh: Sabtu, 6 September 2025
- Masa: 3:00 Petang
- Tempat: GSC LaLaport BBCC

Tiket bagi acara khas ini boleh didapati pada harga RM180. Setiap pembelian tiket melayakkan peminat untuk menerima satu set barangan koleksi eksklusif yang merangkumi sehelai kemeja-T, poster bersaiz A2, satu lencana logam, satu set tiket koleksi (terdiri daripada 6 rekaan berbeza), dan sekeping kad ilustrasi bersaiz A5.
Sebagai bonus tambahan, para penonton juga berpeluang mendengar mesej audio khas yang dirakam oleh pelakon suara popular, Minami Takayama (suara Conan Edogawa) dan Rikiya Koyama (suara Kogoro Mori).
Jualan tiket awal untuk tayangan khas ODEX ini telah pun dibuka kepada orang ramai bermula 22 Ogos 2025. Oleh itu, para peminat disarankan agar segera mendapatkan tiket mereka bagi mengelak kekecewaan dan untuk tidak melepaskan peluang menyertai acara tayangan perdana yang penuh eksklusif ini.









Discussion about this post