Sony Interactive Entertainment bersama Bend Studio dan Climax Studios secara rasmi mengumumkan Days Gone Remastered. Versi yang diperbaharui ini akan dilancarkan pada 25 April 2025 dan tersedia di PlayStation 5 dan PC melalui Steam dan Epic Games.
Menampilkan peningkatan ketara di PlayStation 5, Days Gone Remastered kini hadir dengan grafik yang lebih tajam, jarak render tumbuh-tumbuhan yang lebih jauh, bayang dan pencahayaan yang lebih realistik, serta sokongan Tempest 3D Audio dan Variable Refresh Rate (VRR).
Pemain boleh memilih antara mod Quality untuk resolusi lebih tinggi atau mod Performance untuk kadar bingkai lebih lancar.

Pengalaman bermain juga dipertingkatkan dengan penggunaan penuh keupayaan DualSense, termasuk haptic feedback dan adaptive trigger. Setiap gegaran enjin motosikal, cengkaman tayar di jalan berdebu, serta perubahan cuaca seperti hujan dan guruh kini boleh dirasakan.
Senjata yang digunakan oleh Deacon turut mempunyai sensasi unik ketika bertarung dengan gerombolan Freakers.

Selain daripada peningkatan visual dan audio, Days Gone Remastered memperkenalkan pelbagai ciri aksesibiliti baharu seperti mod High Contrast, kawalan Game Speed, UI Narration, isyarat audio untuk mengumpul item, Controller Remapping, dan pelaras sudut pandangan (Field of View).
Bagi pemain yang mencari cabaran baharu, mod Horde Assault menawarkan pengalaman survival bergaya arked, di mana anda akan berhadapan dengan kumpulan musuh yang semakin besar, termasuk kumpulan manusia ganas dan Freakers yang telah berevolusi.
Setiap wilayah seperti Cascade, Belknap, Lost Lake, dan Crater Lake kini lebih dinamik, memaksa pemain untuk terus menyesuaikan strategi. Semakin lama anda bertahan, semakin sukar cabarannya, tetapi anda juga akan memperoleh ganjaran dalam bentuk watak baharu, kosmetik unik, dan Injectors khas untuk meningkatkan gameplay.

Satu lagi ciri menarik dalam versi remaster ini adalah mod Permadeath. Dalam mod ini, setiap keputusan membawa risiko besar—jika anda mati, anda perlu memulakan semula dari awal atau dari Act Two, bergantung pada tetapan yang dipilih.
Pemain yang berjaya menyelesaikan cabaran ini akan menerima penghargaan khas yang merekodkan masa penyelesaian, jumlah Freakers yang dikalahkan, dan statistik lain.

Pada hari pelancaran, Days Gone Remastered turut memperkenalkan mod Speedrun, di mana pemain perlu menyelesaikan jalan cerita secepat mungkin dengan bantuan nitrous.
Selain itu, mod Enhanced Photo Mode kini membolehkan pemain menyesuaikan pencahayaan tiga titik, menetapkan waktu dalam game, dan menambah logo baharu untuk gambar yang lebih menakjubkan.

Bagi pemain PC, Days Gone versi baharu ini turut akan tersedia di Steam dan Epic Games Store pada 25 April 2025. Pemilik versi PC boleh mendapatkan kandungan tambahan “Broken Road” yang merangkumi mod Horde Assault, Permadeath, Speedrun, sokongan DualSense, ciri aksesibiliti baharu, serta Enhanced Photo Mode.
@gamersantaimy
Discussion about this post