Nintendo telah memenangi satu tindakan undang-undang terhadap seorang streamer bernama Jesse Keighin, yang dikenali dalam talian sebagai “EveryGameGuru.” Dia terkenal kerana memuat turun secara haram dan menyiarkan secara langsung game-game syarikat itu sebelum tarikh pelancaran rasminya.
Sebuah mahkamah persekutuan Colorado telah memerintahkan Keighin untuk membayar ganti rugi sebanyak $17,500.
Tindakan undang-undang itu berpunca daripada pelanggaran hak cipta Nintendo secara berulang kali oleh Keighin, termasuk menyiarkan game bagi sekurang-kurangnya 10 judul yang belum dikeluarkan.
Antara game cetak rompak yang terlibat ialah judul-judul seperti The Legend of Zelda: Echoes of Wisdom, Super Mario Party Jamboree, dan Mario & Luigi: Brothership. Menurut saman yang difailkan pada November lalu, Keighin telah menyiarkan game Nintendo yang bocor sekurang-kurangnya dalam 50 siaran sejak 2022.

Keighin menjadi terkenal bukan sahaja kerana aktiviti haramnya tetapi juga kerana sikapnya yang ingkar terhadap syarikat gergasi gaming itu.
Dia dilaporkan pernah bercakap besar kepada Nintendo dengan menyatakan dia mempunyai “seribu saluran ‘burner'” untuk meneruskan siarannya dan mengejek syarikat itu di media sosial dengan kenyataan seperti, “Anda mungkin menguruskan sebuah korporasi, tetapi saya menguasai jalanan.”


Saman Nintendo menuduh Keighin terlibat dalam “pemerdagangan” “peranti pemintasan” haram dengan menyediakan pautan kepada penontonnya untuk memuat turun emulator seperti Yuzu dan Ryujinx, yang boleh digunakan untuk bermain game cetak rompak.
Syarikat itu berhujah bahawa tindakan ini menyebabkan kerugian “berjuta-juta dolar” akibat kehilangan jualan permainan video.

Kes ini adalah sebahagian daripada usaha Nintendo yang lebih luas dan agresif untuk membanteras cetak rompak. Dalam pertempuran undang-undang yang berasingan dan sedang berlangsung, syarikat itu menyaman James “Archbox” Williams, seorang moderator Reddit, sebanyak $4.5 juta.
Williams dituduh mengendalikan beberapa laman web cetak rompak Switch, menjual pengubahsuaian perkakasan, dan mengedarkan game cetak rompak. Nintendo mendakwa bahawa Williams memainkan peranan penting dalam satu rangkaian yang menawarkan perpustakaan game cetak rompak Switch yang luas kepada orang ramai.









Discussion about this post