Akses kepada chatbot AI “Grok” untuk pengguna di Malaysia kini telah dihadkan, berikutan arahan sekatan sementara yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Langkah ini diambil selepas MCMC mendapati platform AI yang dibangunkan oleh xAI milik Elon Musk dan diintegrasikan ke dalam media sosial X itu, telah disalahgunakan untuk mencipta kandungan yang bersifat lucah dan jelik.

Menerusi satu kenyataan rasmi, MCMC memaklumkan bahawa keputusan tegas tersebut terpaksa diambil sebagai tindak balas terhadap penggunaan Grok secara berulang kali bagi menjana bahan yang tidak wajar.
Ini termasuklah imej-imej yang dimanipulasi secara seksual dan tanpa persetujuan, di mana sebahagian daripadanya menyasarkan golongan wanita dan kanak-kanak secara spesifik.
Tindakan penguatkuasaan ini bukanlah satu langkah yang dibuat tanpa amaran. Pihak MCMC sebelum ini telahpun menghubungi pembangun platform tersebut, iaitu X Corp dan xAI LLC, dengan menghantar notis rasmi pada 3 dan 8 Januari lalu.
Notis tersebut menuntut agar syarikat-syarikat itu memperkenalkan perlindungan teknikal dan mekanisme penyeliaan kandungan yang lebih ketat untuk membendung penghasilan kandungan janaan AI yang melanggar undang-undang tempatan, khususnya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walau bagaimanapun, maklum balas yang diberikan oleh X Corp pada 7 dan 9 Januari dianggap tidak memadai. Menurut MCMC, penyelesaian yang diusulkan oleh syarikat itu dilihat terlalu bergantung pada mekanisme pelaporan oleh pengguna.
Pendekatan yang bersifat reaktif ini, menurut suruhanjaya, “gagal menangani risiko sedia ada yang berpunca daripada reka bentuk dan operasi alatan AI berkenaan,” dan justeru itu tidak cukup berkesan untuk mencegah kemudaratan atau menjamin pematuhan undang-undang.

MCMC menjelaskan bahawa sekatan ini merupakan satu “langkah pencegahan yang wajar” yang dikuatkuasakan sementara proses siasatan dan kawal selia masih berjalan. Keutamaan ketika ini adalah untuk menyekat penularan kandungan janaan AI yang berbahaya, terutamanya yang mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak.
Sekatan ini akan terus dikuatkuasakan sehinggalah X Corp dan xAI melaksanakan sistem perlindungan yang benar-benar berkesan seperti yang dituntut oleh MCMC.
Pihak suruhanjaya masih membuka pintu untuk rundingan lanjut, namun ia bersyaratkan pembuktian yang jelas bahawa syarikat-syarikat tersebut mampu mematuhi perundangan Malaysia.

Tindakan Malaysia mencerminkan kebimbangan global yang semakin meningkat terhadap alatan AI seumpamanya.
Baru-baru ini, Indonesia telah menjadi negara pertama yang menyekat Grok atas sebab yang sama, menandakan kebimbangan antarabangsa terhadap penyalahgunaan generative AI untuk menghasilkan kandungan pornografi deepfake dan bahan berbahaya yang lain.
Meskipun sekatan telah berkuat kuasa secara rasmi, pelaksanaannya kelihatan masih di peringkat awal. Ada laporan daripada sesetengah pengguna yang menyatakan Grok masih boleh diakses sama ada melalui aplikasi mobile X ataupun pelayar web pada komputer.
Ini berkemungkinan kerana proses sekatan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan internet di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, MCMC menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak teragak-agak untuk melaporkan sebarang kandungan dalam talian yang berpotensi memudaratkan kepada pihak mereka, dan membuat laporan polis sekiranya perlu.









Discussion about this post