Netflix perlahan-lahan sedang memperbanyak kandungan anime, di mana banyak siri dan adaptasi baru sudah mula membuat kemunculan. Akan dikeluarkan 27 Mei nanti, Eden adalah satu lagi anime hebat dan saya harap anda tidak terlepas kisah menakjubkan ini dengan animasinya yang sangat hebat. Diberi peluang oleh Netflix, saya sudah menonton anime ini sampai habis, dan sekarang tiba masanya untuk memberitahu apa yang saya tahu dari A hingga Z. Mari kita mulakan review Eden tanpa spoiler ini!
Watak & perwatakan
Saya hanya akan menyenaraikan lima watak iaitu Sara, Dr. Fields, E92 & A37 dan Zero kerana mereka adalah watak utama dalam anime ini.
Sara Grace: Merupakan seorang kanak-kanak manusia, tanpa pertalian darah dengan Dr. Field. Ibu bapanya meninggalkannya di dalam sebuah “pod”, untuk sebab yang tidak diketahui. Perkembangan wataknya agak linear, di mana kita melihat dia membesar dari seorang bayi kepada remaja yang memberontak lalu menjadi dewasa.
E92 & A37: Sepasang robot yang menemui dan membesarkan Sara. E92 adalah lelaki dan A37 adalah wanita. E92 agak kasar seperti seorang ayah, manakala A37 memberi lebih banyak kasih sayang seperti ibu.
Western Fields: Watak yang lebih rumit daripada yang digambarkannya. Dia mencipta Project Eden untuk menyelamatkan umat manusia, tetapi malangnya, misi ini gagal kerana syarikat yang jahat. Dalam proses menyelamatkan manusia, dia telah kehilangan segalanya. Walaupun projeknya berjalan dengan sempurna, tetapi apa yang tinggal untuk dia selamatkan?
Zero: Robot jahat (merah dan hitam) yang mengajar robot lain bahawa semua manusia adalah jahat, dan harus dihapuskan. Dia juga akan memprogramkan semula robot yang mempercayai manusia.
Sinopsis *tanpa spoiler*
Jalan cerita Eden memang mudah untuk faham, jadi saya akan memberi rumusan pendek di bawah.
Eden berlangsung jauh di masa depan, sehinggalah kepupusan manusia. Dalam dunia ini, robot kini menghuni majoriti dunia dan berpendapat bahawa manusia hanyalah kisah dongeng. Seterusnya, kita diperkenalkan kepada dua robot (E92 dan A37) yang sedang bekerja ladang di luar bandar Eden 3. Mereka berjaya jumpa sesuatu.
Ternyata ia adalah sejenis pod asing, dan ketika membukanya, pasangan robot ini tanpa sengaja diperkenalkan kepada seorang bayi perempuan manusia (Sara). Dalam dunia yang masih menganggap manusia sebagai mitos, kedua-dua robot itu membesarkan Sara dengan sebaik mungkin, sambil mengelakkkan diri dari Zero dan askar robotnya yang jahat. Sama ada Sara mampu bertahan hidup untuk menyelamatkan umat manusia atau dihapuskan sebelum diberi peluang, anda semua akan tahu apabila menonton anime penuh ini nanti.
Itu sahaja yang saya mampu cerita buat masa ini tentang Eden. Kalau saya cerita lebih, terlebih banyak spoiler pula untuk kamu semua. Berikut adalah rumusan rasmi daripada Netflix (diterjemahkan oleh saya):
Beribu-ribu tahun di masa depan, sebuah kota yang dikenali sebagai “Eden” dihuni oleh robot Artificial Intelligence yang bekas tuannya, telah lama hilang. Semasa membuat tugas harian di dalam kota, dua robot penyelenggaraan secara tidak sengaja terbangunkan seorang bayi perempuan dari stasis lantas mempersoalkan semua yang mereka diajar selamai ini – iaitu manusia hanyalah mitos kuno yang dilarang. Bersama-sama, kedua-dua robot itu secara diam, membesarkan bayi itu di tempat selamat di luar Eden.
Kemajuan & rentak jalan cerita
Saya agak terkejut kerana mereka berjaya sumbat begitu banyak elemen dalam 4 episod sahaja, di mana setiap episod kira-kira mempunyai 20 minit. Tidak ada sedikit rasa ‘rushing’ dari segi perkembangan watak. Saya dapat memahami dan mempunyai empati sepenuhnya untuk setiap perkara yang dialami oleh watak. Sebagai contoh, jika saya pun berada di posisi Dr. Fields, kemungkinan besar saya pun akan mengambil langkah yang sama sebab manusia juga yang membuatkan dia kehilangan segalanya.
Bagi Sara, kita dapat melihat dia membesar, dari bayi hingga kanak-kanak, hingga dewasa yang matang. Yang peliknya adalah penggunaan waktu dalam anime kerana ia umpama seperti Sara berjaya matangkan diri dalam durasi satu malam.
Seterusnya, anime ini mempunyai kesimpulan yang memuaskan. Sekurang-kurangnya, ia tidak ada “cliffhanger“. Premis keseluruhan cerita pun dijelaskan dengan lancar, seperti “flashback“ Dr. Fields, jadi penonton pun tidak perlu pening kepala untuk tahu apa jadi, siapa yang jahat, siapa yang baik.
Persembahan & muzik
Animasi Eden sangat bagus dan saya sebenarnya sangat menyukainya. Ia sedikit berbeza daripada anime popular di masa kini, tapi masih rasa moden. Setiap adegan, setiap pemandangan -semuanya indah, di mana animasinya memastikan rentak cerita pun bergerak lancar.
Untuk bahagian muzik, telinga saya tidaklah bagus sangat sehingga boleh membezakan muzik apa yang baik atau buruk. Namun, saya berpendapat bahawa muzik di Eden agak sesuai dan sepadan dengan situasi semasa. Digubah oleh Kevin Penkin (juga komposer muzik untuk Made in Abyss), ia sangat padan dengan dunia yang berlatar belakang pasca-apokaliptik/dystopian. Ketika pemandangan menunjukkan pemandangan yang indah, muziknya amat menenangkan, manakala bila Sara dikejar, muzik akan menjadi “suspense” sehingga saya pun merasa cemas sekali.
Pendapat
Sejujurnya, Eden lebih kepada sebuah filem animasi berbanding anime berepisod. Durasi keseluruhan siri adalah kira-kira sama seperti filem, di mana kisah dan perkembangan watak mengikuti jalan linear yang sama. Saya sarankan anda semua supaya menganggap Eden sebagai filem dan bukannya anime yang dipisahkan ke beberapa episod berbeza, kerana pengalaman ini akan terasa lebih imersif untuk penonton yang khusyuk.
Untuk mereka yang suka kisah “good vs bad” yang tipikal, anda mesti suka Eden. Walaupun agak “cliche” kerana protagonis akan menyelamatkan semua orang dunia yang hampir kiamat, tetapi ia tetap menarik. Gaya “storytelling” pun hebat, dan penonton pasti tidak akan terlepas apa-apa. Jika anda keliru tentang satu aspek tertentu, biasanya ia akan dijelaskan kemudian dalam jalan cerita. Cuma ada satu perkara sahaja yang saya nak tahu. Di mana Eden Two? Kita ada Eden Zero (rumah Dr. Fields), Eden One (pusat kawalan pod cryosleep/bilik AI Zurich), dan Eden Tree (kawasan utama dalam jalan cerita), tetapi di mana Eden Two?
Bagaimanapun, kisah ini mempunyai kesimpulan yang bagus dan saya rasa ramai yang akan berpuas hati. Untuk kawan-kawan yang inginkan sekuel, awal-awal saya beritahu kemungkinannya adalah kosong. Bagi saya, kesimpulannya sudah cukup sesuai dengan anime. Buat pertama kalinya, saya tidak kisah jika anime ini tidak mendapat sekuel. Semuanya SEMPURNA dari segi jalan cerita.
Jika anda bersemangat untuk menonton anime ini, terdapat tiga pilihan untuk tetapan audio, iaitu Bahasa Inggeris, Jepun dan Jepun dengan Penerangan Audio. Pilihan terakhir adalah untuk orang yang mempunyai kekurangan penglihatan, kerana tukang cerita akan menerangkan segala-galanya untuk anda. Bagi sari kata, terdapat bahasa Inggeris, Melayu dan Cina di Malaysia.
Rasanya itu sahaja untuk review Eden saya! Bakal keluar 27 Mei nanti, saya harap anda semua dapat menikmati anime seperti mana saya menikmatinya. Sehingga kita berjumpa lagi dalam ulasan seterusnya, selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post