Memandangkan Resident Evil 3 Remake sudah dikeluarkan pada awal bulan ini, game seterusnya dalam senarai untuk dibangunkan adalah Resident Evil 4 Remake, dan khabar angin terbaru daripada Video Games Chronicle mengatakan ia akan dikeluarkan pada tahun 2022.
Pada November lepas, VGC melaporkan bahawa Resident Evil 3 Remake sedang dibangunkan yang rupa-rupanya benar, dan khabar angin terbarunya datang daripada “pelbagai sumber” yang memberitahu laman web tersebut bahawa Resident Evil 4 Remake juga dalam pembikinan. Lebih spesifik lagi, ia telah memasuki produksi penuh dengan tarikh pelepasan anggaran pada tahun 2022.
Maklumat mengatakan bahawa Shinji Mikami yang mengarahkan Resident Evil 4 asal memberi kata persetujuan dan restu untuk versi Remake. Namun, apabila ditanya untuk memimpin projek tersebut, Mikami menolak dan sebaliknya memberikan beberapa nasihat mengenai arah tuju permainan.
Resident Evil 3 Remake kebanyakannya dibangunkan oleh M-Two, studio yang disokong oleh Capcom dan diasaskan oleh bekas CEO PlatinumGames, Tatsuya Minami. Studio ini terdiri daripada banyak bekas pekerja PlatinumGames dan Capcom. Tidak ada maklumat lanjut untuk Resident Evil 4 Remake, tetapi ia dilaporkan sedang dalam pembangunan sejak tahun 2018.
Resident Evil 4 pada asalnya dikeluarkan untuk GameCube pada Januari 2005. Ia diikuti dengan keluaran di PlayStation 2 pada tahun 2005, PC dan Wii pada tahun 2007, kemudian PlayStation 3 dan Xbox 360 pada September 2011. Game ini turut dikeluarkan untuk PlayStation 4 dan Xbox One pada Ogos 2016, dan baru-baru ini di Nintendo Switch pada Mei 2019.
@gamersantaimy
Discussion about this post