Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Kisah Sebenar Kelahiran Pokémon & 30 Tahun Membina Dunianya Bersama CEO Tsunekazu Ishihara

Razin Syafiq by Razin Syafiq
August 29, 2026
in Acara, Anime, Artikel, Berita, Fakta & Trivia, Game, Industri, Pameran/Expo, Trading Card Game
0 0
0
Kisah Sebenar Kelahiran Pokémon & 30 Tahun Membina Dunianya Bersama CEO Tsunekazu Ishihara
Share on FacebookShare on Twitter

Tiga dekad selepas membantu melancarkan sepasang cartridge Game Boy di Jepun, Tsunekazu Ishihara melangkah ke atas pentas di PokémonXP 2026 untuk mengimbau empayar yang telah beliau bantu bina.

Sebagai Presiden dan CEO The Pokémon Company, beliau berkongsi retrospektif di sebalik tabir, menceritakan krisis teknikal pada peringkat awal, evolusi serentak permainan kad dan siri televisyen, serta pegangan bahawa game digital mestilah memperkaya realiti fizikal.

Bagaimana Miyamoto Menyelamatkan 151 Spesies dan Uruskan Isu Kabel Game Boy

Perjalanan untuk melancarkan Pokémon Red dan Pokémon Green mengambil masa selama enam tahun pembangunan yang mencabar di Game Freak… suatu era yang disifatkan oleh Ishihara seperti sudah terlalu lama berlalu.

Semasa pasukan cuba memanfaatkan kemampuan perkakasan Game Boy Nintendo, mereka sering kali berdepan dengan kekangan memori yang serius. Isu paling kritikal tertumpu kepada saiz static random-access memory (SRAM) yang diperlukan untuk menyimpan data Pokémon yang ditangkap.

Pendapat lazim di Nintendo ketika itu mencadangkan bahawa menyimpan sekitar 30 ekor Pokémon sudah memadai jika matlamat utama hanyalah untuk menamatkan permainan sehingga ke “end credits”.

Walau bagaimanapun, game ini telah direka dengan lebih 150 spesies, dan mengehadkan simpanan kepada 30 ekor sahaja akan memusnahkan konsep asas tentang keseronokan mengumpul Pokémon. Ishihara mengimbau bahawa jalan penyelesaian akhirnya tercapai apabila Shigeru Miyamoto dari Nintendo membantu:

“Akhirnya, kejayaan ini adalah hasil bantuan En. Shigeru Miyamoto dari Nintendo, yang telah meluluskan penggunaan saiz SRAM lapan kali ganda lebih besar daripada apa yang kami gunakan pada asalnya. Keputusan itulah yang benar-benar membolehkan pengalaman gameplay ‘Gotta Catch ’Em All’ yang kita semua kenali hari ini.”

Satu lagi krisis teknikal yang lebih mencemaskan timbul berkaitan Game Link Cable. Game Freak telah berjaya mengendalikan protokol “peer-to-peer trading” dengan pantas dalam makmal, tetapi semasa fasa debugging, ciri tersebut telah ditolak.

Pembangunannya tidak mengambil kira tindakan pemain yang tidak dijangka… khususnya, apa yang akan berlaku jika pemain mencabut kabel secara tiba-tiba di tengah-tengah proses trade semasa menukar Pikachu dengan Eevee.

Keadaan ini mencetuskan dua bug kritikal; sama ada kedua-dua Pokémon hilang lenyap terus dari data, ataupun trade selesai tetapi Pokémon asal masih kekal, menyebabkan Pokémon tersebut bertindih atau “duplicate” pada kedua-dua cartridge.

Disebabkan susah untuk menghapuskan setiap masalah ini, pasukan hampir-hampir membatalkan ciri trading sebelum akhirnya mengambil keputusan untuk memilih risiko berlakunya duplication melalui semakan masa secara rawak.

Walaupun Ishihara tersenyum menceritakan bagaimana berjuta-juta pemain berjaya menemui cara untuk mengeksploitasi glitch duplication ini sebaik sahaja game dilancarkan, beliau menegaskan bahawa pasukan tidak pernah menyesal.

Ini kerana mekanik trade itulah yang akhirnya membina jambatan kepada aktiviti mengumpul kad fizikal.

Peranan Kad TCG dan Animasi dalam Meluaskan Khalayak Pokémon

Walaupun Pokémon bermula sebagai sebuah permainan video, Ishihara menegaskan bahawa Pokémon Trading Card Game (TCG) tidak pernah dianggap sekadar produk spin-off komersial. Dibangunkan seiring dengan judul Game Boy, kedua-dua projek ini berkembang seperti adik-beradik yang saling bertukar konsep dan mekanik secara langsung.

Peraturan tentang kelebihan “elemental type advantages, weaknesses, resistances, dan encounter rarities” sentiasa saling mempengaruhi antara kod digital dan kad fizikal.

Selain itu, kad fizikal turut menyelesaikan kekangan estetika pada perkakasan mudah alih pada era awal tersebut. Oleh kerana skrin Game Boy original terhad kepada pixel art hitam putih dengan resolusi rendah, game tersebut tidak dapat menyampaikan sepenuhnya bentuk anatomi, butiran halus atau habitat semula jadi setiap Pokémon.

Ilustrasi lukisan TCG yang kaya dengan perincian berjaya menghidupkan dunia tersebut, lalu mengukuhkan gameplay loop asas (iaitu collecting, trading dan battling) di kedua-dua medium digital dan fizikal.

Bagi siri animasi pula, inisiatif tersebut lahir daripada cabaran dari segi “accessibility”. Aspek strategi serta keperluan membaca dalam video game dan TCG pada asalnya disasarkan kepada pelajar sekolah rendah tahap atas dan sekolah menengah, menyebabkan kanak-kanak yang lebih kecil dan murid prasekolah susah untuk menikmatinya.

Apabila rakan penerbitan Shogakukan mencadangkan konsep anime televisyen, ia telah merendahkan tahap kemasukan ini secara ketara.

Kisah perjalanan Ash (Satoshi) dan Pikachu yang berkawan dengan pelbagai trainer serta berusaha menjadi seorang master telah mewujudkan perkembangan pembelajaran semula jadi; kanak-kanak menonton anime, kemudian beralih bermain video game, dan akhirnya mula mengumpul trading card.

Membawa Pokémon ke Luar Negara

Walaupun meraih kejayaan luar biasa di Jepun, pasukan pembangun langsung tidak menyangka bahawa Pokémon akan menjadi fenomena antarabangsa.

Disebabkan terlalu sibuk dan memberi tumpuan penuh kepada sekuel Pokémon Gold dan Pokémon Silver, Game Freak kekurangan tenaga kerja dan kapasiti untuk mengendalikan proses localization bagi pasaran antarabangsa.

Namun begitu, mendiang Presiden Nintendo, Hiroshi Yamauchi, amat yakin dengan potensi global jenama ini dan berkeras untuk membawanya ke luar negara.

Apabila keutamaan tugas bertembung, Satoru Iwata (yang ketika itu berada di HAL Laboratory sebelum memegang jawatan sebagai Presiden Nintendo) telah menawarkan diri untuk membantu.

Ishihara mengimbau dengan rasa kagum bagaimana Iwata menyelesaikan kod localization yang rumit itu, seolah-olah ia hanyalah projek hobi pada hujung minggu.

Sebaik sahaja aspek teknikal selesai, Nintendo of America merangka strategi pemasaran dan pengedaran yang menterbalikkan susunan pelancaran di Jepun.

Setelah menganalisis bagaimana jenama ini berkembang di Jepun, pihak pengurusan luar negara memutuskan untuk menayangkan siri animasi televisyen terlebih dahulu bagi membina minat terhadap watak-wataknya, diikuti dengan pelancaran video game, dan diakhiri dengan trading card.

Percaturan strategi ini terbukti mencapai kejayaan luar biasa, sekali gus membuktikan ketepatan firasat Yamauchi serta meletakkan francais ini di persada dunia.

Mengapa Game yang ‘Sekadar Cukup Baik’ Pasti Gagal

Mengimbau semula pengalamannya selama berdekad-dekad sebagai penerbit game, Ishihara berkongsi satu nasihat bermakna daripada Hiroshi Yamauchi yang sentiasa menjadi panduan kreatifnya:

“Sebuah game itu sama ada ia menyeronokkan, atau langsung tidak seronok. Orang membeli game kerana ia seronok, dan tiada siapa yang akan membeli game jika ia tidak seronok, walaupun harganya murah. Pada akhirnya, hanya game yang benar-benar menyeronokkan dan memikat hatilah yang akan terus bertahan.”

Mengendalikan tempoh pembangunan yang panjang sering kali menggoda penerbit untuk mengambil jalan mudah.

Apabila berdepan dengan tarikh akhir kontrak, kos bajet yang meningkat, perubahan platform dan tekanan daripada pesaing, ketua produksi mudah terdorong untuk mewajarkan pelancaran build permainan yang belum sempurna… hanya dengan memuji kerja keras pasukan atau berpegang pada maklum balas positif daripada playtester.

Ishihara mengingatkan bahawa walaupun menepati kontrak, mengurus jadual, mengawal bajet dan menyokong pasukan pemasaran merupakan tanggungjawab asas seorang penerbit profesional, berkompromi dari segi kualiti adalah satu kesilapan yang membawa padah:

“Setiap kali anda melancarkan sesuatu produk selepas memujuk diri untuk menerima kompromi seperti itu, produk yang anda lancarkan pasti akan gagal. Itulah pengajaran paling penting yang saya pelajari sepanjang kerjaya saya.”

Pokémon Berfungsi Sebagai Jambatan Antara Realiti dan Dunia Digital

Falsafah The Pokémon Company (iaitu “memperkaya dunia maya dan dunia nyata melalui Pokémon”) bermula daripada satu interaksi dalam game yang dialami oleh Ishihara pada tiga puluh tahun lalu.

Semasa bermain Pokémon Red dan Green, beliau bertemu dengan seorang NPC di Vermilion City yang membuat trade seekor Farfetch’d bernama “Osho” (dikenali sebagai “Dux” dalam versi bahasa Inggeris).

Tidak lama selepas itu, apabila Ishihara membuat trade Pokémon bersama rakan di dunia sebenar menggunakan Link Cable, beliau sedar bahawa rakannya itu memainkan peranan yang sama seperti watak digital tadi. Hubungan antara mekanik maya dan interaksi fizikal inilah yang menjadi asas pegangan seluruh syarikat.

Reka bentuk ini sentiasa diilhamkan daripada geografi dunia sebenar, membentuk rantau seperti Kanto dan Johto sehinggalah ke Galar dan Paldea bagi membangkitkan rasa kebiasaan budaya di dalam dunia maya yang luas.

Konsep ini mencapai kemuncaknya pada tahun 2016 melalui pelancaran Pokémon GO, yang memetakan habitat digital ke atas geografi fizikal—membolehkan pemain menemui Lapras dan Magikarp berhampiran kawasan berair atau Kangaskhan di Australia.

Menyentuh tentang kepesatan teknologi masa kini, Ishihara berpandangan bahawa jalan penyelesaian kepada keletihan digital bukanlah dengan mengasingkan diri sepenuhnya ke dalam dunia maya, mahupun meninggalkan teknologi secara total.

Sebaliknya, kehidupan moden menjadi lebih bermakna apabila kita dapat bergerak dengan antara kedua-dua dimensi tersebut, di mana Pokémon bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan hiburan digital dengan realiti fizikal.

Menyatukan Keluarga Melalui TCG, Pokémon GO dan Kenangan

Seiring dengan pertambahan senarai spesies daripada 151 kepada lebih 1,000 ekor, demografi pemain Pokémon turut berkembang sama. Peminat yang membesar dengan judul Game Boy asal sekarang sudah berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an, dan mereka berkongsi francais ini bersama anak-anak mereka.

Walaupun ada ibu bapa yang tidak lagi aktif dalam gaming, mereka kerap berhubung semula dengan jenama ini melalui pameran seni kontemporari, kolaborasi kraf tradisional, dan produk gaya hidup.

Di seluruh komuniti, Ishihara melihat ibu-ibu yang bertarung sengit melawan anak-anak mereka dalam TCG, serta datuk dan nenek yang berjalan bersama cucu sambil memburu Pokémon dalam Pokémon GO.

Suasana ini mengingatkan Ishihara kepada kenangan zaman kanak-kanaknya sendiri semasa mempelajari permainan Go dan Shogi daripada bapanya, yang dianggap sebagai detik paling bermakna dalam hubungan mereka.

Beliau menegaskan bahawa aktiviti bermain bersama kekal menjadi pemangkin dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan sepanjang hayat.

Evolusi Dari Konsol Game Boy ke Peranti Boleh Pakai

Identiti Pokémon sentiasa terikat rapat dengan handheld gaming. Pada tahun 1996, jauh sebelum wujudnya telefon pintar, Game Boy berfungsi seperti “sangkar menangkap serangga digital” yang interaktif, di mana pemain boleh membawanya ke mana-mana sahaja untuk membesarkan, membuat trade dan bertarung.

Setiap generasi siri utama (daripada Red dan Green sehinggalah ke Scarlet dan Violet) sentiasa dibina berasaskan konsep mudah alih.

Minat terhadap mudah alih ini memulakan cinta peribadi Ishihara terhadap perkakasan sokongan khas, termasuklah Pocket Pikachu, pedometer Pokéwalker dan peranti Pokémon GO Plus. Beliau menekankan bagaimana falsafah reka bentuk di sebalik “companion devices” ini berubah secara drastik mengikut peredaran masa.

Pada era sebelum telefon pintar sekitar lewat 1990-an dan awal 2000-an, perkakasan sampingan direka untuk membekalkan keupayaan tambahan yang tiada pada konsol utama, serta bertindak sebagai peranti tambahan khusus.

Namun, sebaik sahaja telefon pintar diperkenalkan, peranti tersebut menggabungkan kamera, GPS, rakaman video dan komunikasi selular ke dalam satu unit mudah alih.

Kesannya, reka bentuk perkakasan sampingan beralih kepada “companion devices” yang dikuasakan oleh teknologi Bluetooth Low Energy (BLE) yang bersambung dengan aplikasi mudah alih.

Meninjau perubahan perkakasan pada masa hadapan, Ishihara menyatakan bahawa sempadan reka bentuk seterusnya adalah mengintegrasikan pengalaman Pokémon ke dalam wearable technology, meneroka bagaimana francais ini boleh dihubungkan dengan jam pintar, cermin mata pintar dan “smart ring”.

Visi 30 Tahun Akan Datang, Pokémon Kegemaran Ishihara dan Peluang Kerjaya

Apabila ditanya tentang apa yang terus membakar semangat kreatifnya, Ishihara memuji reka bentuk game asas yang solid oleh Game Freak, selain keterujaan meneroka teknologi baharu dan bekerjasama dengan pencipta-pencipta baharu.

Memandang ke hadapan untuk 30 tahun akan datang, beliau berharap para peneraju The Pokémon Company pada masa depan akan terus mencipta bentuk game baharu yang boleh dinikmati untuk tiga atau empat generasi pemain.

Semasa sesi soal jawab bersama komuniti, Ishihara menjawab pertanyaan peminat. Apabila ditanya Pokémon manakah yang akan dipilih sebagai rakan dalam kehidupan sebenar, beliau bergurau menyebut Pikachu kerana kecomelannya, sebelum mengakui bahawa memilih hanya seekor adalah perkara yang mustahil.

Setiap Pokémon baharu yang ditemui daripada generasi sentiasa mencetuskan imaginasinya tentang bagaimana rasanya mengembara bersama.

Berdasarkan pengalaman bermain sendiri, beliau meluangkan banyak masa bersama Exeggutor dan Koraidon, menggemari Miraidon dalam Trading Card Game, serta amat suka Tinkaton dalam Pokémon Pokopia.

Menyentuh sisi santai sebagai seorang pemimpin eksekutif, Ishihara secara gurai mengaku bahawa kelebihan terbaik bergelar CEO adalah peluang untuk mencuba dan bermain game terbaharu sedikit lebih awal berbanding orang lain.

Akhir sekali, bagi peminat yang berhasrat membina kerjaya di The Pokémon Company di pejabat wilayah seperti di Jepun, Amerika Syarikat atau China, beliau memberikan kata-kata semangat.

Beliau menegaskan bahawa memiliki minat serta pengetahuan yang luas tentang Pokémon bermakna pemohon telah pun melepasi cabaran utama yang pertama, lantas mengalu-alukan bakal rakan sepasukan untuk menyemak peluang kerjaya tempatan dan menyertai misi syarikat.

Untuk lihat panel penuh, sila tonton di YouTube.

Tags: PokémonTsunekazu Ishihara
ShareTweetSend
Previous Post

1001 Threads of Mizan – Sebuah Game Aksi Co-Op Arab Yang Hidupkan Hikayat Seribu Satu Malam

Next Post

Menolak Formula 30 Tahun! Mengapa Pokémon Pokopia Memilih Ketenangan Berbanding Pertarungan

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Bagaimana Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen Menguji Tahap Kemahiran Pemain, Termasuk Para Veteran
Temuramah

Bagaimana Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen Menguji Tahap Kemahiran Pemain, Termasuk Para Veteran

August 29, 2026
Menolak Formula 30 Tahun! Mengapa Pokémon Pokopia Memilih Ketenangan Berbanding Pertarungan
Berita

Menolak Formula 30 Tahun! Mengapa Pokémon Pokopia Memilih Ketenangan Berbanding Pertarungan

August 29, 2026
1001 Threads of Mizan – Sebuah Game Aksi Co-Op Arab Yang Hidupkan Hikayat Seribu Satu Malam
Berita

1001 Threads of Mizan – Sebuah Game Aksi Co-Op Arab Yang Hidupkan Hikayat Seribu Satu Malam

August 28, 2026
Next Post
Menolak Formula 30 Tahun! Mengapa Pokémon Pokopia Memilih Ketenangan Berbanding Pertarungan

Menolak Formula 30 Tahun! Mengapa Pokémon Pokopia Memilih Ketenangan Berbanding Pertarungan

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

Bleach: Zaraki Kenpachi Akhirnya Pakai Bankai; Hitsugaya Tōshirō Lepaskan Bankai Sebenar
Anime

Bleach: Zaraki Kenpachi Akhirnya Pakai Bankai; Hitsugaya Tōshirō Lepaskan Bankai Sebenar

August 20, 2026
Bos WIT Studio Dedah Sebab MAPPA Ambil Alih Attack on Titan Untuk Musim Terakhir
Anime

Bos WIT Studio Dedah Sebab MAPPA Ambil Alih Attack on Titan Untuk Musim Terakhir

August 19, 2026
Kingdom Hearts 4 – Gameplay Baru Dunia ‘Coco’, Pelancaran Lewat 2027 Serta Anime Original Disney+
Berita

Kingdom Hearts 4 – Gameplay Baru Dunia ‘Coco’, Pelancaran Lewat 2027 Serta Anime Original Disney+

August 15, 2026
Menurut Data, Ratusan Anak Indonesia Diberi Nama Naruto, Luffy, Nobita & Banyak Lagi
Anime

Menurut Data, Ratusan Anak Indonesia Diberi Nama Naruto, Luffy, Nobita & Banyak Lagi

August 12, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd