Bandai Namco Filmworks telah mengumumkan inisiatif RG Project, yang memperkenalkan timeline serba baharu; berasingan daripada alam Universal Century dan Cosmic Era. Projek ini diterajui oleh siri anime Mobile Suit Gundam RG XARX-ZERO (disebut “Alex Zero”), yang dijadualkan tayang pada tahun 2027.
Siri ini diarahkan oleh pengarah terkemuka, Kenji Kamiyama (Ghost in the Shell: Stand Alone Complex, The Lord of the Rings: The War of the Rohirrim), bersama novelis sains fiksyen Toh EnJoe (Godzilla Singular Point). Produksi animasi pula dikendalikan oleh SOLA ANIMATION.
Mobile Suit Gundam RG XARX-ZERO berlatarkan garis masa baharu yang lahir daripada satu peristiwa dahsyat bersama entiti makhluk asing.
Kisah bermula apabila sebuah entiti bernama “Autonomous Interstellar Object” tiba dari galaksi luar dan membawakan tiga teknologi canggih kepada manusia: Gravity Control, Faster-Than-Light / FTL Communication, dan Cognitive Materialization. Teknologi ini memulakan era kemakmuran di seluruh sistem suria.

Namun, tidak sampai sepuluh tahun selepas itu, entiti tersebut tiba-tiba mengamuk lalu melahirkan ekosistem makhluk asing yang agresif dan mampu membiak sendiri… yang digelar oleh manusia sebagai “Apocalypse”. Selepas perang sengit selama tiga bulan di orbit Bumi, manusia terpaksa mengalah dan berpindah ke angkasa lepas. Tragedi ini menandakan titik permulaan kalendar baharu: A.A. 1 (After Apocalypse 1).
Anime ini bermula pada tahun A.A. 45 di permukaan Bulan, di mana generasi muda yang lahir di koloni angkasa tidak pernah mengenali kehidupan aman, tetapi membesar di bawah ancaman Apocalypse.

Kisah ini menumpukan kepada Ray Azumi, seorang anak yatim perang yang kehilangan ibu bapanya dalam serangan Apocalypse. Selepas tersedar di Bulan, Ray terpilih menjadi juruterbang bagi Gundam ZERO.
Watak Ray disuarakan oleh pelakon suara popular, Takeo Otsuka, yang dikenali menerusi watak Aqua Hoshino dalam anime popular Oshi no Ko.

RG Project direka sebagai sebuah alam yang berkongsi beberapa generasi. Selain anime, Bandai Namco turut mengumumkan GUNDAM ROGUE ORBIT, sebuah game aksi yang bakal diekluarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam) pada tahun 2027.
Walaupun kedua-duanya adalah projek kendiri, kisahnya saling berhubung:
- Mobile Suit Gundam RG XARX-ZERO berfungsi sebagai titik mula yang menjelaskan punca kejatuhan dunia.
- GUNDAM ROGUE ORBIT pula berlatarkan 100 tahun kemudian, di mana pemain akan mengawal Gundam Helix pada zaman masa depan yang dibentuk oleh peristiwa daripada anime.
Melalui anime dan permainan video ini, peminat dapat menyelami konflik yang sama daripada dua sudut pandang berbeza.









Discussion about this post