Pengalaman menguruskan ladang, menternak haiwan, atau memulakan perniagaan pembalakan mungkin menjadi impian bagi sesiapa yang mendambakan kehidupan santai dan dekat dengan alam semula jadi. Jadi, Farming Simulator 26 membawakan suasana tersebut terus ke telefon pintar dan konsol Nintendo Switch.

Kami berpeluang mencubanya di Switch 2 untuk melihat sama ada ia benar-benar menawarkan pengalaman yang seronok atau sebaliknya, terlalu dipermudahkan. Berikut adalah hasil ulasan kami.
Pengalaman yang Lebih Kasual
Sama seperti Farming Simulator 23 dan versi mobile yang lain, game baharu ini direka khas untuk gameplay yang lebih kasual. Pendekatan ini dapat dilihat pada pelbagai aspek, bermula daripada rekaan menu yang memfokuskan penggunaan skrin sentuh sehinggalah kepada rutin tugasan harian ladang yang dipermudahkan.

Memandangkan UI menu direka khusus untuk skrin sentuh, bermain menggunakan controller biasa terasa sangat kekok. Jika bermain dalam mod docked, anda kerap perlu menekan pelbagai kombinasi butang yang merumitkan semata-mata untuk mengakses menu asas.
Namun, nasib baik game ini sentiasa memaparkan panduan butang di skrin, jadi anda tidak perlu menghafalnya. Sudah semestinya, bermain dalam mod handheld jauh lebih lancar kerana anda hanya perlu menekan skrin.

Aktiviti berkebun sendiri terasa lebih pantas, sama seperti versi mobile. Anda boleh mengupah pekerja AI hanya dengan menekan satu butang (dengan sedikit bayaran) dan bebas menukar kenderaan secara serta-merta… walaupun kenderaan tersebut sekadar disewa. Ini banyak menjimatkan masa dan tenaga.
Anda juga tidak perlu beria-ria ‘micromanage’ benih dan baja; satu kelebihan yang bagus jika hanya mahu bersantai.

Selain itu, ada juga Creative Mode yang sedia membuka segala-galanya sejak awal permainan. Mod ini memberikan cara yang menyeronokkan untuk menguji pelbagai jentera berat tanpa perlu grinding terlebih dahulu.
Kebolehcapaian dan Tetapan Tambahan
Pilihan kebolehcapaian yang ditawarkan agak terhad. Game ini hanya menyediakan mod Colorblind dan pilihan pemanduan menggunakan ‘motion control’ dengan cara mencondongkan konsol.
Walaupun kawalan pergerakan ini tidak diwajibkan, ia merupakan satu ciri menarik yang menjadikan pemanduan terasa lebih realistik, terutamanya ketika bermain dalam mod handheld.

Pemain turut diberi pilihan untuk mematikan trafik AI. Secara jujurnya, kehadiran kenderaan awam di jalan raya sama sekali tidak memberikan kesan kepada gameplay kami. Ia lebih dirasakan seperti hiasan latar semata-mata, dan adakalanya menyemak serta menghalang laluan.
Peta, Pertanian, dan Pembalakan
Dari segi kandungan, Farming Simulator 26 menawarkan dua peta berbeza. Harbuck memfokuskan kepada pertanian tradisional yang padat dengan ladang yang luas. Sementara itu, Dawnbridge pula lebih tertumpu kepada sektor industri dan pemprosesan barangan… salah satu ciri baharu yang paling menonjol dalam siri kali ini.
Kewujudan dua kawasan dengan fokus berbeza ini memberi variasi gameplay serta pelbagai jenis matlamat untuk dicapai.

Aktiviti pertanian klasik masih kekal sebagai daya tarikan utama game ini. Pengalaman memandu pelbagai jenis traktor dan jentera tuai cukup menyeronokkan. Malah, timbul rasa puas apabila benih yang anda tanam membesar dan akhirnya membuahkan hasil.
Aspek penternakan haiwan pula direka dengan agak ringkas: anda cuma perlu memberi makan, mengumpul hasil ternakan, dan kemudian memilih sama ada untuk menjualnya terus atau memprosesnya terlebih dahulu.

Pembalakan ialah alternatif yang hebat jika mahu mencari pendapatan dengan cara berbeza. Kerja-kerja menebang pokok, mengangkut kayu balak, dan menukarnya menjadi bahan bernilai tinggi sangat memuaskan.
Namun, jika bermain dalam mod Career, bersedialah untuk melaburkan sejumlah wang yang besar bagi membeli jentera dan peralatan khas sebelum perniagaan pembalakan anda benar-benar boleh beroperasi. Disebabkan kos permulaan yang tinggi, anda tidak boleh terus melompat menjadi pembalak pada hari pertama.

Walaupun game ini sering dipromosikan sebagai satu ‘eskapisme santai’, usaha untuk menguruskan pelbagai benda dalam satu masa sentiasa membuatkan kami sibuk. Anda akan terus melompat dari satu tugas ke tugas yang lain tanpa henti.
Game ini masih menyeronokkan, namun ia terasa lebih mirip seperti menguruskan sebuah syarikat yang sibuk berbanding menikmati kehidupan desa yang tenang.

Dalam hal ini, kemudahan mengupah pekerja AI sangat membantu meringankan beban kerja. Mereka kebiasaannya menjalankan tugas dengan cekap dan dapat menjimatkan berjam-jam masa, lebih-lebih lagi jika anda memiliki saiz ladang yang luas. Pun begitu, kecerdasan AI tidaklah sempurna.
Adakalanya mereka membuat keputusan yang kurang efisien, seperti memfokuskan kepada sisa ruang kecil yang terlepas pandang dan bukannya terus menyelesaikan kawasan utama terlebih dahulu. Hal ini boleh mengganggu kelancaran kerja, lebih-lebih lagi apabila anda sedang mengejar masa.
Rentak dan Kemajuan Gameplay
Di sebalik pendekatan gameplay yang kasual, sistem ekonomi dan rentak kemajuan terasa agak perlahan dan saling bercanggah. Pada awal permainan, modal yang diberikan sangat terhad. Anda hampir tidak mampu untuk membeli walau sebuah kenderaan mahupun peralatan asas.
Oleh sebab itu, kita terpaksa grinding dengan gigih pada peringkat awal sebelum mengumpul cukup wang bagi membeli jentera untuk mengembangkan operasi.

Untuk melepasi fasa awal yang mencabar ini, anda perlu banyak bergantung kepada kerja kontrak daripada petani lain. Mujurlah, kerja-kerja kontrak ini memberi pilihan untuk menyewa peralatan yang diperlukan dengan bayaran minimum tanpa perlu membelinya secara tunai.
Kelemahannya pula, had masa yang ditetapkan untuk menyelesaikan kontrak selalunya tidak setimpal dengan jumlah beban kerja. Jadi, anda perlu bijak memilih kerja untuk menjana pendapatan sampingan sementara menunggu tanaman sendiri mendatangkan hasil.

Bagi merancakkan lagi progres perlahan ini, pembangun telah menambah sistem ‘Challenge’ baharu. Kita berpeluang memenangi wang tunai bonus mingguan dengan melengkapkan matlamat tertentu yang bertukar secara masa nyata.
Biarpun mekanik sebegini berkesan untuk game mobile, pendekatannya terasa sedikit janggal untuk dimainkan di konsol seperti Switch.

Bercakap tentang pengurusan masa, anda bebas mengubah suai kelajuan jam permainan menggunakan ciri Timescale. Anda boleh memilih kelajuan masa nyata atau melajukannya sehingga 90x… sangat berguna jika anda mahu mempercepatkan musim menuai.
Masalah timbul apabila masa dilajukan, kerana ia turut melajukan kira detik pada tugasan kontrak. Jika bermain mengikut kelajuan masa biasa, kerja kontrak mudah diselesaikan, tetapi tanaman membesar dengan sangat perlahan.
Sebaliknya, jika melajukan masa, tanaman cepat membesar, tetapi anda pula akan bergelut untuk menyiapkan kerja kontrak sebelum tamat tempoh. Percanggahan antara kedua-dua sistem ini akhirnya memaksa kita untuk memilih satu fokus sahaja pada satu-satu masa.

Dari sudut positif pula, Farming Simulator 26 memperkenalkan sistem Advanced Goods. Daripada menjual bahan mentah secara pukal, kita boleh memproses hasil tersebut menjadi barangan bernilai tinggi: seperti menukar susu menjadi keju atau kayu balak menjadi perabot demi mengaut keuntungan yang lebih besar.
Ini bermakna anda turut perlu menguruskan logistik serta proses pengangkutan, dan game ini ada menawarkan jenis kenderaan baharu yang direka khusus untuk tujuan tersebut.
Visual, Audio, dan Prestasi
Malangnya, kualiti teknikal dan grafik di Switch agak mengecewakan. Sejujurnya, Farming Simulator 23 (yang turut dibangunkan untuk konsol handheld) kelihatan jauh lebih baik dan realistik. Olahan warna dan butiran teksturnya terasa lebih dekat dengan standard kualiti yang diharapkan daripada sebuah game bergenre simulator.

Sebaliknya, game terbaharu ini memilih arah seni visual yang terlalu ringkas dan asas, menjadikannya kurang mengagumkan tidak kira sama ada anda bermain dalam mod docked atau handheld.
Grafik persekitaran dipenuhi dengan bucu objek yang bergerigi (seolah-olah ia tidak mempunyai anti-aliasing langsung) dan tampil tanpa sebarang naik taraf visual yang ketara.

Kekurangan dari segi visual ini turut tidak banyak dibantu oleh kualiti audionya, yang gagal menghidupkan lagi pengalaman simulasi sebenar. Bunyi enjin traktor dan pelbagai peralatan berfungsi sekadar memenuhi syarat sahaja, tetapi kehilangan deruman berat serta impak yang sepatutnya dirasai apabila mengawal jentera gergasi.
Akibatnya, sungguhpun pengalaman gameplay mengendalikan jentera ini menyeronokkan, game ini jarang sekali menyajikan suasana imersif sepertimana yang sinonim dengan nama Farming Simulator.

Dari segi prestasi pula, game ini tidak mampu mencecah tahap 60 FPS, sebaliknya dikunci pada 30 FPS.
Walaupun kelajuannya masih lancar untuk dimainkan, namun melihat grafik seringkas ini sekadar berjalan pada takat 30 FPS agak mengecewakan… terutamanya jika anda bermain di konsol Switch 2 yang lebih berkuasa, memandangkan tiada native upgrade disediakan untuk entri kali ini.
Pendapat
Rumusannya, Farming Simulator 26 di Nintendo Switch merupakan sebuah game yang memfokuskan kepada golongan pemain kasual dan handheld, berbanding peminat tegar simulasi yang mencari tahap mekanik yang serba kompleks.
Reka bentuk gameplay yang lebih ringkas membuatkannya sangat mudah diakses, manakala sistem produksi pula menawarkan matlamat baharu untuk dicapai.

Walau bagaimanapun, pengalaman bermain terasa tidak seimbang pada beberapa bahagian.
Kemajuan awal yang perlahan, isu yang meletihkan antara fungsi Timescale dan kontrak, navigasi UI yang kaku apabila menggunakan controller, serta kualiti grafik yang seakan menurun berbanding game dahulu, nyata mencacatkan pengalaman keseluruhan.

Jika sekadar mahu mencari sebuah game bertani santai yang mudah dimainkan di mana-mana sahaja, ia masih berbaloi.
Tetapi, bagi peminat setia yang mendambakan tahap simulasi tinggi atau sekurang-kurangnya peningkatan kualiti daripada game terdahulu, Farming Simulator 26 nampaknya telah mengorbankan terlalu banyak ciri penting semata-mata demi mengekalkan reka bentuk mudah alihnya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
The Review
Farming Simulator 26
Farming Simulator 26 di Nintendo Switch menawarkan gameplay kasual yang mesra pemula dengan skrin sentuh lancar dan sistem barangan baharu. Namun, kurang memuaskan bagi peminat simulasi tegar kerana grafik yang merosot, kawalan controller kekok, dan percanggahan antara mekanik Timescale dengan kontrak. Pun begitu, ia kekal sebagai game santai mudah alih yang berbaloi.
PROS
- Sangat mesra dan mudah difahami oleh pemain baharu
- Rentak perkembangan amat sesuai untuk sistem mudah alih
- UI skrin sentuh berfungsi dengan baik dalam mod handheld
- Pekerja AI amat efisien dalam membantu mengurangkan tugasan renyah
- Sistem pemprosesan bahan mentah kepada produk Advanced Goods menawarkan variasi menjana pendapatan yang menyeronokkan
CONS
- Menavigasi menu menggunakan controller terasa kaku dan merumitkan berbanding menggunakan skrin sentuh
- Timescale akan mengganggu dan merosakkan kerja kontrak
- Visual kelihatan lebih ringkas, asas, dan kasar jika dibandingkan dengan Farming Simulator 23
- Reka bentuk audio gagal menghidupkan suasana seolah-olah anda benar-benar sedang mengawal jentera berat yang realistik









Discussion about this post