Penyanyi terkenal Jepun, Nami Tamaki, telah mengumumkan konsert jelajah Asia terbaharunya, dengan Kuala Lumpur disahkan sebagai destinasi pertama.
Bertajuk Nami Tamaki LIVE 2026 -STARBOUND TOUR-, siri jelajah ini bakal bermula di Malaysia pada 27 September 2026. Ini merupakan kali kedua beliau ke tanah air kita selepas persembahan sulung di Malaysia semasa acara LEVEL UP PLAY di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada September 2024.
Selepas membuka tirai persembahan di Kuala Lumpur, Nami Tamaki akan meneruskan jelajah ke Taipei pada 17 Oktober dan Hong Kong pada 24 Oktober, sebelum menutup tirai di Tokyo pada 14 November.
Tamaki, yang baru sahaja meraikan ulang tahun ke-23 penglibatannya dalam industri muzik pada April lalu, bukanlah nama asing bagi peminat tegar anime.
Beliau sangat dikenali melalui sumbangannya kepada francais Mobile Suit Gundam SEED dan Gundam SEED Destiny, dengan menyanyikan lagu-lagu ikonik seperti “Believe”, “Realize”, dan “Reason”.
Beliau turut menyumbangkan lagu “Reborn” untuk filem Mobile Suit Gundam SEED Freedom (2024) di samping melancarkan album ulang tahunnya, Singularity.
Walaupun jadual konsert jelajah sudah disahkan, maklumat terperinci mengenai lokasi konsert di Kuala Lumpur, harga tiket, dan tarikh jualan masih belum diumumkan. Pihak penganjur meminta para peminat untuk terus menantikan perkembangan terbaharu yang akan dikongsikan dalam masa terdekat.









Discussion about this post