Syarikat pembuat cip dari China, Lisuan, kini melangkah masuk ke pasaran GPU dengan pelancaran kad grafik terbaharunya, LX 7G100.
Setakat hari ini, NVIDIA dan AMD dilihat lebih memberikan tumpuan kepada pasaran pusat data AI yang lebih lumayan. Kesannya, pasaran kad grafik mid-range kini dilanda harga yang sangat tinggi namun hanya menawarkan peningkatan prestasi yang sedikit. Melihat keadaan tersebut, Lisuan cuba hadir sebagai alternatif.

Tarikan utama LX 7G100 terletak pada kestabilan perisiannya. Lisuan berjaya menjadi pengeluar bukan Barat pertama yang menerima pensijilan rasmi Microsoft WHQL. Ini bermakna kad ini dijamin serasi dan boleh berfungsi dengan lancar pada Windows sebaik sahaja dikeluarkan dari kotak.
Selain menyokong standard moden seperti DirectX 12 dan Vulkan 1.3, ia juga dilengkapi empat output DisplayPort yang mampu memaparkan resolusi sehingga 8K.
Dari segi luaran, ia tampil dengan reka bentuk dual-slot yang dilengkapi tiga kipas serta menggunakan satu penyambung kuasa 12-pin, tidak tumpas dengan kad grafik high-end yang lain.

Menurut ulasan awal daripada media teknologi China seperti Chaowanke, kad ini menunjukkan potensi yang menarik walaupun belum mampu menggugat kedudukan gergasi sedia ada. Dalam ujian sintetik seperti 3DMark, prestasi LX 7G100 (12GB) dilihat hampir setanding dengan RTX 3060.
Bagaimanapun, realiti dunia gaming sebenar jauh lebih mencabar berbanding ujian makmal. Dalam Cyberpunk 2077, kad ini berjaya mencatatkan purata 88FPS pada resolusi 1080p, namun ia memerlukan bantuan ciri “frame generation” dan AI upscaling. Tanpa bantuan teknologi digital tersebut, kad ini bergelut untuk mengekalkan kelancaran.
Sebagai perbandingan, pesaing seperti AMD Radeon RX 6600 XT atau Intel Arc B580 mampu mencatatkan kelajuan hampir tiga kali ganda lebih pantas dalam senario yang sama.
LX 7G100 juga menghadapi kesukaran untuk mengendalikan beberapa judul game AAA masa kini:
- Black Myth: Wukong: Hanya mencapai purata 56 FPS, berbanding 80+ FPS pada kad grafik buatan syarikat lain.
- Forza Horizon 5: Mencatatkan purata 48 FPS, namun kadangkala mengalami masalah stuttering sehingga jatuh ke tahap 18 FPS.
- Kekurangan Ciri Moden: Kad ini masih belum mempunyai sokongan “hardware-accelerated Ray Tracing” yang merupakan standard wajib pada tahun 2026, manakala perisian kawalannya juga masih di peringkat asas.

Meskipun teknologinya menarik, harga jualan juga menjadi penghalang terbesar buat LX 7G100. Ia dijual pada harga 3,300 RMB (sekitar RM1,920).
Tanda harga tersebut meletakkannya dalam persaingan terus dengan NVIDIA RTX 5060 Ti (16GB). Masalahnya, kad NVIDIA bukan sahaja jauh lebih canggih dan jimat tenaga, malah disokong oleh ekosistem perisian yang jauh lebih matang.
Bagi kebanyakan gamer, melabur hampir RM2,000 untuk prestasi yang setaraf dengan teknologi lima tahun lepas merupakan satu pilihan yang agak sukar untuk diterima buat masa ini.

![[Eksklusif] Sejarah di Sebalik Penubuhan Massive Monster Bersama Co-Founder Jay Armstrong](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/Jay-Armstrong_IWX-2026_FI-350x250.jpg)







Discussion about this post