Bagi peminat setia yang masih gemar game dengan cakera fizikal, anda mungkin tergolong dalam kelompok yang semakin kecil. Laporan kewangan terbaru daripada Sony mendedahkan satu perubahan besar dalam tabiat pemain: sebanyak 85% daripada keseluruhan jualan game PlayStation 5 dan PlayStation 4 bagi suku tahun lepas (berakhir 31 Mac) adalah melalui muat turun digital.
Malah bagi sepanjang tahun kewangan 2025, purata jualan digital mencatatkan angka 78%; satu rekod tertinggi dalam sejarah PlayStation.
Jika kita imbas kembali sedekad lalu, jualan digital hanyalah sekadar 19%. Namun, segalanya berubah pada tahun 2020; gara-gara pandemik, ramai mula beralih ke pembelian atas talian sehingga melonjakkan angka tersebut ke 65%. Sejak itu, trend ini terus memecah rekod dan nampaknya sukar untuk berpatah balik.
Kenapa ramai mula tinggalkan cakera?
Faktor utamanya sudah tentu adalah kemudahan. Dengan capaian internet fiber dan rangkaian 5G yang semakin meluas di Malaysia, isu menunggu berhari-hari untuk download game bersaiz 100GB kini bukan lagi masalah besar.
Selain itu, PlayStation Store sering menawarkan promosi jualan yang kadangkala jauh lebih murah berbanding harga cakera fizikal di kedai-kedai runcit.
Adakah game fizikal akan terus pupus? Tidak semestinya. Walaupun jualan digital mendominasi pasaran, sebanyak 70 juta unit game dalam kotak masih terjual di seluruh dunia tahun lalu. Ini membuktikan permintaan terhadap media fizikal sebenarnya masih lagi besar.
Di Malaysia sendiri, kedai-kedai game masih lagi rancak dikunjungi. Salah satu sebab utamanya adalah budaya jual-beli game “second-hand” yang sangat kuat di sini.
Kelebihan utama cakera fizikal adalah anda boleh menjualnya semula selepas habis bermain untuk mendapatkan balik sedikit wang… sesuatu yang mustahil dilakukan dengan versi digital.









Discussion about this post