Square Enix telah melancarkan demo percuma untuk Final Fantasy VII Rebirth bagi Xbox Series X|S, Switch 2, dan juga PC melalui Microsoft Store. Demo ini hadir kira-kira sebulan sebelum tarikh pelancaran penuh game tersebut di platform berkenaan pada 3 Jun nanti.
Apa yang Ada dalam Demo Ini?

Ia merangkumi dua bab pertama yang menawarkan kandungan selama beberapa jam, bermula daripada flashback sinematik hinggalah kepada penerokaan open-world.
- Bab 1: The Nibelheim Incident – Bab ini membawa pemain kembali ke lima tahun yang lalu. Anda akan mengawal watak Cloud Strife versi muda bersama Sephiroth untuk menyiasat serangan raksasa di kampung halaman Cloud. Tarikan utama di sini sudah tentulah peluang untuk mengawal Sephiroth dalam combat menggunakan pedang Masamune miliknya.
- Bab 2: A New Journey Begins – Selepas bab pertama, dunia permainan mula terbuka. Anda boleh meneroka kawasan Grasslands di luar kota Midgar. Bahagian ini memperkenalkan sistem combat “Synergy”, membolehkan kita menunggang Chocobo, dan mencuba permainan kad Queen’s Blood.

Square Enix turut menambah mod “Streamlined Progression” untuk demo ini. Jika hanya ingin menikmati jalan cerita tanpa perlu pening memikirkan combat, anda boleh mengaktifkan fungsi seperti HP dan MP tanpa had, ATB gauge yang sentiasa penuh, serta abiliti senjata yang lebih mudah dipelajari.
Sebarang kemajuan yang dicapai dalam demo ini boleh dipindahkan ke versi penuh apabila ia dilancarkan pada 3 Jun nanti. Selain itu, sesiapa yang mempunyai save data demo pada sistem mereka akan menerima dua barangan bonus dalam versi penuh:
- Kupo Charm: Aksesori yang meningkatkan jumlah sumber yang ditemui semasa meneroka.
- Survival Set: Koleksi barangan sembuh seperti potion dan ether untuk membantu di peringkat awal permainan.
Cara Memuat Turun
Demo Final Fantasy VII Rebirth sudah boleh dimuat turun sekarang di Xbox Store dan Microsoft Store. Bagi pengguna Switch 2 di Asia Tenggara, anda boleh mendapatkan demo ini dengan memasukkan kod berikut di Nintendo eShop: D3GM3304HQ7BBMVB.
Final Fantasy VII Rebirth merupakan bahagian kedua dalam trilogi remake, membawakan semula elemen klasik dari tahun 1997 untuk generasi baharu.
Walaupun pemain PlayStation 5 dan Steam sudah lama menikmatinya, pelancaran pada 3 Jun ini merupakan kali pertama pengguna Xbox dan Nintendo dapat menyertai Cloud, Tifa, dan rakan-rakan lain dalam misi mereka menghalang Sephiroth.









Discussion about this post