Nexon mendedahkan projek terbaharu mereka, Embers of the Uncrowned; sebuah MMORPG dark fantasy yang akan dilancarkan di PC.
Setakat sekarang, game ini sudah pun disenaraikan secara rasmi di Steam. Walaupun Nexon belum menetapkan tarikh pelancaran yang tepat, projek ini sudah mula dibandingkan dengan tajuk-tajuk besar dalam genre isometric kerana sistem combat yang ganas dan estetika visual yang ‘gory’.
Game ini meletakkan pemain di sebuah benua yang hancur akibat pencerobohan kaum elf. Anda memegang watak sebagai anak tak sah taraf daripada keluarga House Harborwell yang dahulunya sangat berkuasa. Selepas disisihkan dan terpaksa hidup sebagai tentera upahan, takdir akhirnya memanggil anda pulang.
Dengan tentera elf dan makhluk-makhluk tercemar yang semakin merebak di seluruh pelosok, andalah harapan terakhir untuk merampas semula wilayah keluarga dan mengembalikan kegemilangan House Harborwell.

Berbeza dengan MMO lain yang hanya fokus kepada kekuatan watak semata-mata, Embers of the Uncrowned menghubungkan kemajuan pemain dengan kawasan kediaman.
Apabila membebaskan lebih banyak wilayah, pangkalan operasi anda yang asalnya hanyalah sebuah kem kecil akan berkembang menjadi bandar yang pesat, mencerminkan pengaruh pemain yang semakin kuat di dunia tersebut.

Gameplay menggunakan perspektif isometric (pandangan atas ke bawah seperti francais Diablo), namun tumpuan utamanya adalah pada abiliti dan timing. Semasa pelancaran nanti, game ini akan menampilkan tiga class berbeza:
- Spectral Blade: Pahlawan laju yang menggunakan longsword untuk menumbangkan musuh dengan tepat.
- Executioner: Penyerang damage tinggi yang bergantung kepada kapak gergasi untuk memberikan serangan maut.
- Stormbringer: Ahli sihir yang mengawal elemen, menurunkan kilat dan ribut untuk menghapuskan musuh di medan perang.

Pemain tidak bertarung sendirian. Game ini mempunyai sistem “Loyal Companion” di mana anda boleh merekrut dan membina pasukan sekutu untuk mencipta kombinasi serangan yang kuat. Bagi mereka yang mahukan cabaran lebih besar, ada “Domain Boss” dan raid berskala besar yang memerlukan kerjasama dengan pemain lain.
Nexon memberikan penekanan tinggi kepada pilihan pemain. Game ini mempunyai sistem “Skill Gem” dan mekanik “Ancient Bloodline” yang membolehkan pemain mengubah suai build mereka dengan terperinci.

Dari segi visual, game ini menawarkan sistem customization watak untuk bahagian wajah dan tubuh. Walaupun pendedahan awal menunjukkan watak mengikut class tertentu, Nexon mengesahkan bahawa ciri pemilihan jantina sedang dalam pembangunan dan akan tersedia tidak lama lagi.
Pemain juga boleh mengumpul pelbagai kostum menarik untuk tampil menyerlah dalam dunia permainan.









Discussion about this post