Netflix telah mengesahkan sebuah animasi khas dua bahagian berjudul LEGO One Piece, yang dijadualkan keluar di platform tersebut pada 29 September 2026.
Projek istimewa ini menghidupkan semula naratif siri live-action Netflix dalam versi blok LEGO yang cukup mencuit hati. Mengikut trailer terbaharu yang dikongsikan hari ini, plot ceritanya akan merangkumi semula babak-babak penting daripada dua musim pertama versi live-action.
Ini sekaligus membawa peminat mengikuti semula jejak langkah Monkey D. Luffy ke Grand Line dengan sentuhan visual yang lebih unik.

Gaya penceritaan kali ini turut mengekalkan elemen jenaka klasik LEGO. Menerusi trailer tersebut, kita dapat melihat Usopp dalam versi LEGO (yang memang terkenal dengan “bohongnya”) sedang asyik mengisahkan kehebatan dirinya serta kru Straw Hats.
Pendengar setianya pula tidak lain tidak bukan adalah LEGO Chopper. Memandangkan Usopp mempunyai tabiat suka melebih-lebihkan setiap ceritanya, penonton boleh menjangkakan babak pertarungan yang lebih lucu dan aksi yang luar biasa berbanding versi asal.

Karya ini merupakan hasil kolaborasi besar antara Netflix, Shueisha, dan The LEGO Group. Tanggungjawab penghasilan animasi pula diserahkan kepada Atomic Cartoons, iaitu studio yang cukup dikenali menerusi siri Marvel’s Spidey and His Amazing Friends.
Satu hal yang melegakan hati peminat adalah penglibatan pencipta asal manga ini, Eiichiro Oda. Beliau bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi memastikan semangat One Piece tetap terpelihara walaupun dalam format LEGO.









Discussion about this post