Selepas berminggu-minggu dalam ketidakpastian serta lambakan meme di internet, Netflix mengumumkan bahawa “2nd Stage” (bahagian kedua) anime Steel Ball Run akan ditayangkan di platform tersebut pada Musim Luruh (sekitar September hingga Disember) 2026.
Netflix juga mengesahkan episod baharu akan ditayangkan pada setiap minggu.
Pada 19 Mac lalu, Netflix telah menayangkan “1st Stage”. Namun, pelancaran ini hanya memaparkan satu episod yang berdurasi 47 minit. Tanpa sebarang pengumuman susulan atau perancangan yang jelas untuk episod akan datang, penonton mula panik.
Bagi meredakan keadaan, Netflix telah memberi penjelasan secara langsung dengan mengeluarkan kenyataan penuh:
“Terima kasih atas sokongan luar biasa anda untuk STEEL BALL RUN JoJo’s Bizarre Adventure. Siri ini sedang dalam fasa produksi dan akan ditayangkan untuk tontonan semua. Kami merancang untuk menggunakan format tayangan “split-cour” bagi keseluruhan episod. “Cour” seterusnya (2nd STAGE) akan mula ditayangkan pada musim luruh 2026 di Netflix, dengan satu episod baharu dikeluarkan setiap minggu. Jadual tayangan ini memang sebahagian daripada rancangan asal kami dan selari dengan kehendak jawatankuasa produksi. Semangat dan minat mendalam anda sangat bermakna kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan siri ini. Kami menghargai kesabaran dan sokongan berterusan anda sementara kami berusaha untuk membawakan 2nd STAGE kepada anda.”
Bagi mereka yang mungkin tidak biasa dengan istilah anime, “cour” selalunya berlangsung selama kira-kira tiga bulan, dan biasanya mengandungi 11 hingga 13 episod.
Tayangan “split-cour” pula bermaksud siri tersebut akan menayangkan sebahagian episod dahulu, direhatkan selama tiga bulan atau lebih, dan kemudian bersiaran semula untuk menyambung baki episod seterusnya.
Steel Ball Run merupakan adaptasi daripada bahagian ketujuh siri manga karya Hirohiko Araki yang sangat digemari ramai. Anime ini diterbitkan oleh david production.









Discussion about this post