Sony Interactive Entertainment bersama pembangun Insomniac Games secara rasmi mengumumkan bahawa Marvel’s Wolverine akan dikeluarkan pada 15 September 2026 secara eksklusif di PlayStation 5.
Memandangkan tarikh pelancaran ini adalah berita paling besar buat masa ini, kami faham jika ada dalam kalangan anda yang mungkin terlepas butiran awal mengenai game ini. Sebagai persediaan sebelum menyarung cakar Logan, inilah apa yang menarik tentang standalone adventure ini.

Dihasilkan oleh Insomniac Games (studio sama di sebalik siri Marvel’s Spider-Man) game ini membawakan perspektif yang segar buat watak ikonik X-Men tersebut. Namun, jangan harapkan suasana ceria atau santai seperti pengembaraan Peter Parker di New York.
Pihak pembangun mengacah bahawa game kali ini jauh lebih gelap, serius, dan penuh dengan aksi ganas. Ia memfokuskan kepada “usaha tanpa henti” Logan dalam merungkai misteri masa silamnya. Pemain bakal merasai pengalaman “brutal claw combat” dan keganasan yang menjadi identiti Wolverine.

Kisah Logan kali ini tidak terperangkap di satu bandar sahaja, malah ia membawa pemain menjelajah pelbagai pelosok dunia.
Dalam misi mencari jawapan tentang siapa dirinya yang sebenar, pengembaraan Logan akan membawanya ke lokasi-lokasi yang sangat berbeza dan berbahaya, termasuklah Kanada yang sejuk, lorong-lorong di Tokyo, sehinggalah ke kota penuh jenayah, Madripoor.
Insomniac mengesahkan bahawa pemain akan bertembung dengan watak-watak popular Marvel seperti Mystique yang licik serta musuh kental, Omega Red.
Ada watak yang mungkin akan menjadi sekutu, namun ada juga yang memang tekad mahu menghapuskan Logan. Antara cabaran pemain akan berhadapan adalah The Reavers; kumpulan tentera upahan yang telah diubah suai secara mekanikal.









Discussion about this post