Sony Interactive Entertainment bersama Arc System Works akhirnya mengesahkan butiran tarikh pelancaran MARVEL Tokon: Fighting Souls, yang bakal menemui peminat pada 6 Ogos 2026 di PlayStation 5 serta PC melalui Steam dan Epic Games Store.
Selain tarikh pelancaran, trailer baharu turut memberi tumpuan kepada naratif dan memperkenalkan barisan mutan ikonik yang digelar sebagai “The Unbreakable X-Men.”
The Unbreakable X-Men

Trailer mendedahkan pasukan X-Men yang terpaksa dibentuk semula bagi mengekang ancaman besar yang sedang menghampiri Bumi. Menurut latar cerita permainan, barisan ahli utama X-Men sebelum ini terpaksa berehat akibat kecederaan dalam peperangan lalu.
Memandangkan kekuatan pasukan semakin terhad, Storm telah dipilih oleh Charles Xavier untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua bagi pasukan “The Unbreakable X-Men.”
Senarai ahli pasukan yang disahkan adalah:
- Storm: Selaku ketua pasukan, beliau memiliki abiliti untuk memanipulasi unsur alam seperti angin dan kilat.
- Magik: Mutan muda yang sangat lincah, menggabungkan kepakaran sihir dan senjata buatan sendiri yang dikenali sebagai “Soulsword.”
- Wolverine: Walaupun sudah melalui pelbagai pertarungan, veteran ini tetap tidak goyah dengan kuku Adamantium.
- Danger: Watak ini asalnya merupakan sistem AI bagi bilik latihan Danger Room. Kini, ia mendapat kesedaran sendiri dan memiliki jasad fizikal untuk turut serta bertarung.

Mod Episod Interaktif

Arc System Works memperkenalkan “Episode Mode” untuk Fighting Souls. Mod ini dibangunkan dengan kerjasama Marvel Games dan skripnya ditulis oleh penulis komik Marvel yang cukup terkenal.
Gaya penceritaannya merangkumi elemen komik Barat dan manga Jepun dalam format “motion comic” yang diadaptasi mengikut kesesuaian game moden.
Maklumat Pra-Tempahan dan Bonus Eksklusif

Bagi peminat yang tidak sabar untuk memiliki game ini, pra-tempahan akan mula dibuka pada 19 Februari 2026. Pemain yang membuat tempahan awal akan menerima barangan digital khas untuk kegunaan di dalam social lobby:
- Infinity Gauntlet: Lobby Equipment untuk avatar anda.
- Baby Groot: Lobby Pet yang akan menemani anda.
- Cosmic Surfboard: Lobby Ride bertemakan Silver Surfer.









Discussion about this post