Perjalanan siri anime popular Kaguya-sama: Love is War akan sampai ke penghujungnya, bukan melalui musim baharu, tetapi menerusi sebuah filem finale yang istimewa.
Berita ini dihebahkan sejurus selepas siaran program televisyen khas, Kaguya-sama wa Kokurasetai: Otona e no Kaidan (The Steps to Become an Adult), pada 31 Disember 2025.
Sempena pengumuman tersebut, satu trailer acah telah pun dilancarkan. Walau bagaimanapun, judul rasmi filem itu serta tarikh ia akan ditayangkan masih lagi belum diumumkan.
Peminat yang berharap untuk melihat kesinambungan cerita seperti di dalam manga akan disajikan dengan sesuatu yang berbeza sama sekali. Ini kerana filem yang bakal ditayangkan nanti akan menampilkan naratif serba baharu sepenuhnya, yang ditulis khas oleh pengkarya siri itu sendiri, iaitu Aka Akasaka.
Ini bermaksud bahawa pengakhiran siri anime ini tidak akan mengikut manga, sekali gus mencipta cerita tersendiri untuk penutupnya.

Menerusi pesanan kepada para peminat, Akasaka menjelaskan bahawa idea untuk menerbitkan sebuah filem dengan cerita serba baharu ini telah diputuskan bersama pasukan produksi anime sekitar empat tahun yang lalu.
Beliau turut menyifatkan filem tersebut sebagai sebuah karya yang “baharu, tetapi pada masa yang sama membangkitkan nostalgia,” dan menyatakan hasratnya agar filem ini menjadi “penghasilan Kaguya-sama yang benar-benar terakhir.”
Episod televisyen istimewa yang disiarkan sebelum ini, Stairway to Adulthood, dilihat sebagai ‘permulaan’ yang mempersiapkan penonton untuk arah tuju baharu ini.
Episod khas tersebut juga membawakan sebuah kisah yang baharu, dengan melangkaui beberapa babak penting dalam manga yang belum dianimasikan untuk memaparkan fasa yang lebih matang dalam hubungan Kaguya Shinomiya dan Miyuki Shirogane.









Discussion about this post