Berita gembira untuk peminat siri animasi popular BoBoiBoy kerana tayangan bagi filem ketiga yang amat dinanti-nantikan “BoBoiBoy Movie 3: Gur’latan” telah dijadualkan pada bulan Disember 2026.
Pengumuman ini dibuat menerusi senarai “filem akan datang tahun 2026” yang dikeluarkan oleh dua syarikat pawagam terbesar di Malaysia, TGV Cinemas dan GSC. Walaupun tarikh tepat masih belum ditetapkan, pengesahan bulan tayangan ini pasti cukup untuk mengubat rindu para peminat.
Dalam filem terbaharu, penonton akan mengikuti pengembaraan wira kesayangan ramai, BoBoiBoy, yang memulakan misi penting untuk menguasai Kuasa Elemental Tahap Ketiga. Misi ini bakal melihat beliau berhadapan dengan pelbagai rintangan yang mencabar dan musuh-musuh yang jauh lebih hebat.
Filem ini merupakan adaptasi animasi yang merangkumi enam edisi terakhir bagi “Arc Gur’latan” daripada siri komik “BoBoiBoy Galaxy Musim 2”.

Filem ini diarahkan oleh Nizam Razak dan dihasilkan oleh Animonsta Studios. Perjalanan “BoBoiBoy Movie 3” bukanlah satu perjalanan yang mudah. Asalnya, filem ini dirancang untuk keluar pada tahun 2022, namun terpaksa ditangguhkan ekoran wabak COVID-19.
Beberapa tarikh tayangan baharu telah diumumkan selepas itu, sehinggalah pengesahan rasmi untuk tayangan pada tahun 2026 dibuat sendiri oleh Nizam Razak pada Disember 2024.









Discussion about this post