Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Omelet Super Joy-Pad – Cita-Cita ‘Super’, Tapi Adakah Prestasinya Serupa?

Razin Syafiq by Razin Syafiq
December 18, 2025
in Aksesori, Artikel, Berita, Handheld, Review, Review Produk, Teknologi
0 0
0
Reviu Omelet Super Joy-Pad – Cita-Cita ‘Super’, Tapi Adakah Prestasinya Serupa?
Share on FacebookShare on Twitter

Walaupun pasaran sudah dipenuhi dengan alat kawalan pihak ketiga untuk Nintendo Switch, tidak selalu kita dapat melihat produk yang cuba menawarkan pengalaman yang lebih unik berbanding hanya meniru Joy-Con atau Pro Controller. Omelet Super Joy-Pad, hasil ciptaan Omelet Gaming, merupakan salah satu contoh produk sedemikian.

Secara teori, ia diperkenalkan sebagai satu solusi hibrid yang versatil: sebuah alat kawalan yang boleh diceraikan seperti Joy-Con, tetapi juga boleh digabungkan menjadi alat kawalan cengkaman penuh.

Ia turut dilengkapi dengan pelbagai komponen modular, butang yang boleh diprogramkan, analog stick Hall-effect yang tahan lasak, serta trigger yang boleh dilaraskan.

Setelah mengujinya di pelbagai jenis game dan senario penggunaan, saya mendapati Omelet Super Joy-Pad adalah alat kawalan yang memuaskan secara ‘sederhana’.

Ia mempunyai beberapa kelebihan yang ketara, menampilkan idea-idea yang inovatif, namun turut dibelenggu oleh beberapa kelemahan yang menyukarkan saya untuk menyarankannya kepada semua pengguna—terutamanya kepada mereka yang memiliki konsol perkakasan yang lebih baharu.

Pengalaman Unboxing dan Tanggapan Pertama

Sejak dari mula lagi, Omelet Super Joy-Pad cuba menonjolkan nilai yang ditawarkannya. Kotak pembungkusannya penuh dengan maklumat; setiap sisi—depan, belakang, dan tepi—memaparkan ciri-ciri utama alat kawalan ini.

Ternyata, Omelet Gaming mahu setiap pembeli memahami sepenuhnya apa yang bakal mereka perolehi sebelum membuka kotak.

Di dalam bungkusan, alat kawalan ini diletakkan di dalam sebuah kotak dan didatangkan dengan beberapa aksesori tambahan. Selain daripada alat kawalan itu sendiri, pakej ini turut menyertakan dua set analog stick gantian dan dua D-pad yang boleh ditukar.

Namun begitu, ketiadaan kabel pengecas di dalam kotak adalah satu kekurangan. Walaupun banyak aksesori lain yang disertakan, keputusan untuk tidak menyertakan kabel pengecas dirasakan kurang wajar, lebih-lebih lagi kerana alat kawalan ini bergantung sepenuhnya kepada sambungan USB-C untuk pengecasan.

Ketika pertama kali memegangnya, perkara yang paling mengejutkan adalah beratnya, atau lebih tepat lagi, keringanannya. Alat kawalan ini terasa jauh lebih ringan berbanding jangkaan, terutamanya bagi pemain yang biasa dengan Nintendo Switch Pro Controller atau alat kawalan pihak ketiga yang lain.

Walaupun ia tidak memberikan rupa produk murahan atau mudah rosak, binaannya yang ringan mungkin terasa sedikit janggal pada mulanya. Namun, lama-kelamaan, ia masih cukup teguh untuk sesi gaming biasa.

Apabila dipasang dalam mod cengkaman penuh, tahap ergonomiknya boleh diterima, tetapi tidak ada apa-apa yang istimewa. Ia selesa digenggam, tetapi tidak menyerlah berbanding alat kawalan premium yang lain.

Apabila diceraikan, kedua-dua belah alat kawalan ini menggunakan sistem rail yang sama seperti Joy-Con Nintendo, membolehkannya dipasang terus pada konsol Switch atau Switch OLED. Setiap bahagian juga selesa dipegang secara berasingan dengan sebelah tangan.

Susun atur butangnya kebanyakannya mengikut reka bentuk konvensional. Walau bagaimanapun, setelah melihat dengan lebih teliti, anda akan menyedari bahawa jumlah butang yang ada adalah lebih banyak daripada jangkaan awal, baik di bahagian hadapan mahupun di belakang.

Keserasian dan Sokongan Konsol

Reka bentuk fizikal Super Joy-Pad direka khas untuk keserasian. Dengan adanya rail terbina pada setiap sisi, ia boleh disambungkan secara terus kepada konsol Nintendo Switch atau Nintendo Switch OLED, berfungsi sebagai pengganti penuh kepada Joy-Con standard.

Apabila terpasang, ia memberikan rasa seakan-akan menggunakan “Pro Controller dengan skrin di tengah,” satu konsep yang menarik secara teori.

Namun, pengalaman praktikalnya bercampur-baur. Walaupun ia terasa lebih selesa dipegang berbanding Joy-Con biasa, saiz dan panjang keseluruhan menjadikan bahagian tengah—di mana skrin Switch terletak—terasa sedikit rapuh.

Wujud rasa bimbang berterusan bahawa tekanan yang berlebihan mungkin boleh menyebabkan konsol tergelincir atau membengkok.

Meskipun begitu, selepas sesi gaming handheld selama kira-kira sejam, termasuk ujian goncangan dan hentakan sengaja untuk menguji kestabilannya, alat kawalan ini terbukti mampu bertahan tanpa sebarang masalah. Jadi, kebimbangan ini lebih kepada faktor psikologi berbanding isu praktikal, tetapi ia tetap sesuatu yang wajar diberi perhatian.

Proses pemasangan pada konsol Switch dan Switch OLED adalah sangat mudah secara plug-and-play, tanpa memerlukan sebarang tetapan tambahan. Sebaliknya, sambungan secara tanpa wayar pula mendatangkan cabaran yang berbeza.

Proses untuk memadankan Super Joy-Pad secara tanpa wayar dengan Nintendo Switch dan Nintendo Switch 2 ternyata agak merumitkan. Setiap sisi alat kawalan boleh disambungkan secara individu dengan pantas, tetapi untuk memadankan kedua-duanya supaya berfungsi serentak sebagai satu alat kawalan adalah sangat tidak konsisten.

Kedua-dua bahagian sering kali gagal untuk disegerakkan pada masa yang sama, menyebabkan kami terpaksa mencuba berulang kali dan membuang masa. Malah selepas berjaya dipadankan, sambungannya terputus beberapa kali semasa sesi ujian.

Isu ini menjadi lebih kritikal pada Nintendo Switch 2, di mana Super Joy-Pad hanya boleh digunakan melalui sambungan tanpa wayar. Ini menjadikan kestabilan sambungan tanpa wayar sebagai salah satu kelemahan terbesar alat kawalan ini.

Butang, Kawalan dan Prestasi Input

Dari segi susun atur, Super Joy-Pad tidak banyak berbeza daripada reka bentuk yang sudah biasa digunakan oleh para pemain. Butang, D-pad, trigger, dan butang atas semuanya diletakkan pada kedudukan yang dijangkakan, dengan tahap responsif yang secara umumnya memuaskan.

Setiap input diterima dengan baik, dan tiada masalah seperti input terlepas dikesan semasa gaming biasa.

Namun, ada satu kelemahan reka bentuk yang ketara iaitu kedudukan butang turbo di bahagian hadapan. Butang-butang ini diletakkan betul-betul di bawah butang ‘+’ dan ‘–’, menjadikannya titik sentuhan pertama ibu jari apabila bergerak ke atas.

Ini menyebabkan saya sering kali menekannya secara tidak sengaja ketika cuba menjedakan game atau membuka peta. Masalah ini biasanya diselesaikan pada alat kawalan lain dengan meletakkan butang-butang ini pada kedudukan yang sedikit terasing atau lebih rendah, tetapi di sini, ia diletakkan selari dan terlalu rapat.

Di bahagian belakang pula, ada dua butang tambahan yang boleh diprogramkan. Ini memberikan lebih fleksibiliti, terutamanya untuk game yang memerlukan input pantas semasa ibu jari sedang digunakan pada analog stick.

Namun, walaupun ciri ini berguna, pelaksanaannya dirasakan agak terhad kerana butang belakang ini tidak boleh dipetakan kepada fungsi trigger atau bumper, sekaligus mengehadkan potensinya.

Menggunakan setiap sisi Super Joy-Pad secara berasingan sebagai alat kawalan individu juga agak selesa, tetapi tahap kepraktisannya bergantung kepada jenis game. Jarak antara butang dan analog stick yang terlalu rapat menjadikannya sukar untuk bermain game yang kompleks atau memerlukan tindak balas pantas dalam mod ini.

Ciri-ciri dan Pilihan Penyesuaian

Inilah aspek di mana Omelet Super Joy-Pad benar-benar menonjol. Jika dinilai dari segi ciri-ciri yang ditawarkan, ia boleh dianggap lebih daripada mencukupi untuk sebuah alat kawalan Switch.

Teknologi Adaptrix Triggers yang telah dipatenkan membolehkan pengguna melaraskan jarak pergerakan trigger menggunakan tombol fizikal—satu ciri yang jarang ditemui dan sangat dialu-alukan.

Penggunaan Hall Elite Joystick pula memberikan jaminan ketahanan untuk jangka masa panjang, sekali gus menangani masalah stick drift yang sering berlaku. Komponen modular seperti analog stick dan D-pad juga sangat mudah untuk ditukar ganti tanpa memerlukan sebarang alatan.

Antara ciri-ciri lain yang disertakan ialah port pengecasan pada bahagian cengkaman yang membolehkan kedua-dua belah alat kawalan dicas serentak, lampu halo RGB di sekeliling analog stick yang warnanya boleh diubah secara manual, tahap getaran yang boleh disesuaikan, fungsi turbo, serta butang belakang yang boleh diprogramkan.

Secara teorinya, senarai ciri ini sangat mengagumkan dan jelas menunjukkan usaha Omelet Gaming untuk memberikan nilai terbaik kepada pengguna.

Hayat Bateri dan Pengecasan

Setiap sisi Super Joy-Pad dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3.7V 500mAh. Berdasarkan penggunaan sebenar, hayat baterinya mampu bertahan secara purata selama kira-kira empat jam untuk gaming tanpa henti, satu tempoh yang boleh diterima tetapi tidak luar biasa.

Proses pengecasan dilakukan melalui port USB-C dan ia mengambil masa sekitar satu jam untuk dicas sepenuhnya. Pengguna juga boleh terus bermain sambil mengecas, dan proses penyambungannya agak mudah. Namun, ketiadaan kabel pengecas di dalam kotak tetap menjadi satu perkara yang mengecewakan.

Pengalaman Bermain Pelbagai Genre

Untuk game yang penuh dengan aksi seperti The Legend of Zelda: Tears of the Kingdom (pada kedua-dua Nintendo Switch dan Nintendo Switch 2), prestasi Super Joy-Pad adalah cukup baik. Inputnya responsif dan fungsi gyro-aim juga berfungsi dengan memuaskan, walaupun tidak mencapai tahap cemerlang.

Begitu juga dalam game Mario Kart World, pengalamannya masih lancar, tetapi responsif gyro dirasakan sedikit kurang tepat berbanding alat kawalan rasmi daripada Nintendo.

Dalam semua game yang diuji, termasuk judul yang lebih berat seperti Cyberpunk 2077, alat kawalan ini secara konsisten berjaya mendaftarkan input tanpa sebarang kelewatan. Ketepatan analog stick juga sangat baik, membolehkan kawalan kamera dan bidikan yang stabil.

Namun, satu kelemahan besar ialah walaupun semua butang dan trigger berfungsi dengan responsif, ia kekurangan maklum balas sentuhan (tactile feel) yang memuaskan apabila ditekan.

Pergerakan butang terasa sedikit “kosong” dan kurang impak, yang mana selepas sesi gaming yang panjang, ia menjadikan pengalaman keseluruhan kurang mengasyikkan.

Walaupun ini tidak menjejaskan prestasi secara teknikal, ia menyumbang kepada rasa kurang puas, terutamanya bagi pemain yang sudah terbiasa dengan alat kawalan premium yang memberikan maklum balas sentuhan yang lebih baik.

Walaupun dengan kekurangan ini, Super Joy-Pad masih boleh dianggap kompeten untuk kebanyakan genre game, tetapi ia gagal memberikan tahap maklum balas fizikal atau kemasan yang setanding dengan produk alternatif yang lebih mahal.

Pendapat

Omelet Super Joy-Pad adalah sebuah alat kawalan yang dicipta dengan cita-cita yang tinggi. Ia menawarkan pelbagai ciri, pilihan modulariti yang luas, dan prestasi yang secara amnya baik.

Namun, ia dikecewakan oleh masalah sambungan tanpa wayar yang tidak konsisten, kedudukan butang yang kurang praktikal, serta beberapa keputusan reka bentuk yang terasa kurang teliti. Dengan harga jualan RM229.90, ia bukanlah sebuah alat kawalan yang murah, dan harga tersebut secara natural membuat ramai mencari alternatif lain.

Bagi pemilik Nintendo Switch dan Switch OLED, Super Joy-Pad masih boleh dianggap sebagai pilihan yang berpatutan jika anda mencari kelainan daripada Joy-Con standard dan amat mementingkan aspek penyesuaian. Ciri pemasangan fizikalnya berfungsi dengan baik, dan binaannya cukup kukuh untuk sesi gaming handgeld yang lama.

Walau bagaimanapun, bagi pemain yang hanya inginkan sebuah alat kawalan yang selesa dan boleh diharap, mungkin ada pilihan lain yang lebih murah dengan ciri yang lebih sedikit tetapi menawarkan pengalaman yang lebih fokus dan sempurna.

Bagi pemilik Nintendo Switch 2 pula, cadangan lebih sukar untuk diberikan. Walaupun ia serasi secara teknikal, kebergantungannya sepenuhnya pada sambungan tanpa wayar—beserta dengan ketidakstabilannya—menjadikannya satu pilihan yang berisiko pada harga ini.

Dalam situasi ini, adalah lebih baik untuk menunggu versi yang telah ditambah baik atau menaik taraf kepada alternatif lain yang lebih terbukti kualitinya.

Secara keseluruhan, Omelet Super Joy-Pad bukanlah alat kawalan yang tidak bagus. Ia cuma berada di kedudukan yang janggal: harganya setaraf aksesori premium dan padat dengan ciri, tetapi ia kekurangan tahap kemasan yang diperlukan untuk mewajarkan harganya.

Ia terasa seperti sebuah produk yang berpotensi untuk menjadi hebat, tetapi masih belum cukup sempurna.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi produk.

Tags: Omelet Super Joypadreviu
ShareTweetSend
Previous Post

Pandangan Pertama Anime LIAR GAME, Akan Tayang April 2026!

Next Post

Ghost of Yōtei Mendominasi Anugerah PS Blog Game of the Year 2025!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi
Berita

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi

June 6, 2026
Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars
Berita

Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars

June 6, 2026
Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri
DLC

Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri

June 6, 2026
Next Post
Ghost of Yōtei Mendominasi Anugerah PS Blog Game of the Year 2025!

Ghost of Yōtei Mendominasi Anugerah PS Blog Game of the Year 2025!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd