Game tempatan, “Upin & Ipin Universe,” telah menerima penurunan harga kekal di PC, yang mungkin menjadi berita gembira buat para peminat siri animasi popular tersebut. Sejak 11 Disember 2025, harga game ini di Steam dan Epic Games Store telah diturunkan lebih 50%, daripada harga asalnya RM177 kepada RM88 yang lebih mampu milik.
Semasa pelancarannya, game ini dijual pada harga RM177.39 di Steam dan Epic Games Store untuk pengguna PC di Malaysia. Ia juga telah dilancarkan di PlayStation 4, PlayStation 5, dan Nintendo Switch.
Walaupun pemain PC sedang menikmati penurunan harga kekal untuk Upin & Ipin Universe, harga untuk judul ini di konsol PlayStation dan Nintendo Switch kekal tidak berubah.

Harga pelancaran untuk Upin & Ipin Universe di PlayStation Store bagi kedua-dua PlayStation 4 dan PlayStation 5 ialah RM172.18. Bagi pengguna Nintendo Switch, game ini tersedia di Nintendo eShop pada harga USD 39.99, iaitu sekitar RM169 hingga RM188, bergantung pada kadar pertukaran mata wang semasa.

Dibangunkan oleh Les’ Copaque Production dan Streamline Studios, “Upin & Ipin Universe” membolehkan pemain meneroka persekitaran ‘open-world’ Kampung Durian Runtuh. Game ini direka agar mesra keluarga, tanpa elemen combat atau ‘gagal’, menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur. Pemain boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, termasuk bercucuk tanam, memancing, memasak, dan mengambil bahagian dalam permainan tradisional Malaysia seperti bermain gasing.
Game ini menawarkan pengalaman yang imersif dengan lakon suara penuh dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Pemain boleh mengawal pasangan kembar ikonik ini dan berinteraksi dengan pelbagai watak yang dikenali dari siri animasi, seperti Kak Ros, Opah, dan Mei Mei. Dengan lebih 12 jam kandungan penceritaan dan pelbagai aktiviti sampingan, game ini menyediakan pengalaman yang padat bagi warga peminat.









Discussion about this post