Blumhouse Productions dan Scott Cawthon kembali bersama pengarah Emma Tammi untuk Five Nights at Freddy’s 2, filem sekuel kepada adaptasi permainan video seram yang mencatat kejayaan komersial pada tahun 2023, meskipun mendapat ulasan yang bercampur-baur.
Menjanjikan plot yang lebih gelap, pertaruhan yang lebih besar, serta penerokaan yang lebih mendalam terhadap asal-usul Freddy Fazbear’s Pizza, fiilem ini menyaksikan kepulangan barisan pelakon asal seperti Josh Hutcherson, Elizabeth Lail, dan Piper Rubio, yang turut disertai oleh pelakon seram veteran, Matthew Lillard.
Jadi, bagaimanakah hasil akhirnya? Walaupun menampilkan barisan pelakon yang lebih ramai, set penggambaran yang lebih megah, dan jumlah animatronik yang bertambah, Five Nights at Freddy’s 2 bergelut untuk menyajikan sebuah pengalaman seram yang benar-benar padu.
Kisah Terlalu Padat, Animatronik Terpinggir
Filem sekuel ini dimulakan dengan flashback yang seram, memaparkan pembunuhan watak Charlotte ketika zaman kanak-kanaknya di lokasi asal Freddy Fazbear’s Pizza.
Dengan latar masa satu setengah tahun selepas peristiwa filem pertama, Mike (Josh Hutcherson) bersama seorang pegawai polis, Vanessa (Elizabeth Lail), berusaha untuk kembali kepada rutin harian yang biasa sambil merahsiakan peristiwa sebenar daripada adik perempuan Mike, Abby (Piper Rubio).
Kisah menjadi rumit apabila Abby menyelinap keluar untuk berjumpa semula dengan Freddy, Bonnie, Chica, dan Foxy, menyebabkan sejarah silam kembali menghantui mereka, sekali gus mendedahkan pelbagai rahsia dan ancaman yang terpendam.

Meskipun membawa tajuk Five Nights at Freddy’s, kemunculan majoriti watak animatronik, termasuk Freddy sendiri, sangat terhad.
Tempoh tayangan mereka yang singkat telah mengubah babak-babak yang sepatutnya menjadi pertemuan menakutkan kepada sekadar kemunculan sekilas atau disebut secara tidak langsung, menyebabkan kebanyakan elemen seram hanya mampu dibayangkan tanpa direalisasikan di skrin.
Bagi sebuah francais yang sinonim dengan keganasan animatronik, kekurangan ini merupakan satu kehampaan.
Janji untuk menampilkan “lebih banyak animatronik berbanding filem pertama”, yang dijayakan melalui rekaan dan seni gerak boneka oleh Jim Henson’s Creature Shop, juga gagal diterjemahkan sebagai satu ancaman yang benar-benar dirasai di layar perak.

Dari sudut naratif, filem ini cuba menyeimbangkan pelbagai watak dan lokasi, bermula dari restoran piza baharu Freddy Fazbear (yang secara teknikalnya adalah sebuah restoran lama) dengan tarikan bot sungai, sehinggalah ke bilik-bilik rahsia dan lorong-lorong terbiar.
Walaupun latar-latar ini kelihatan gah secara visual, aliran ceritanya tidak teratur. Momen-momen emosi dipaparkan secara tergesa-gesa, peralihan adegan terasa janggal, dan babak-babak yang sepatutnya membina debaran sering kali diganggu oleh jump scare yang kurang berkualiti.

Pengembangan asal-usul juga tidak selaras. Ada beberapa aspek yang diterangkan secara berlebihan, manakala sebahagian yang lain dibiarkan tanpa penjelasan.
Penceritaannya adakalanya terasa seolah-olah cuba setia kepada permainan video sambil pada masa yang sama memberi elemen baharu, lantas menghasilkan sebuah naratif yang bercelaru dan tidak seimbang.
Lakonan Mantap Dihalang oleh Pembangunan Watak yang Tergesa-gesa
Kekuatan lakonan barisan pelakon menjadi antara elemen terbaik dalam filem ini. Josh Hutcherson berjaya menggalas peranan utama sebagai Mike dengan berkesan, seorang bekas pengawal keselamatan yang dihantui trauma lampau tetapi masih komited untuk melindungi Abby.
Piper Rubio mempamerkan lakonan cemerlang sebagai Abby, dengan mengimbangi sifat ingin tahu seorang kanak-kanak dengan penghayatan emosi. Watak Vanessa yang dibawakan oleh Elizabeth Lail kekal memikat, walaupun perwatakannya kelihatan tidak konsisten akibat perubahan dalam penulisan skrip.
Matthew Lillard kembali menghidupkan watak William Afton dengan memberikan aura jahat dan mengancam (walaupun untuk tempoh yang sangat singkat), manakala watak-watak baharu yang dilakonkan oleh McKenna Grace dan Skeet Ulrich menambah dimensi kepada cerita, meskipun hanya secara ringkas.

Keserasian di antara trio pelakon utama yang kembali memberikan sedikit kestabilan, namun potensi kebanyakan pelakon sampingan, termasuk Freddy Carter dan Wayne Knight, tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Perkembangan watak-watak mereka sering kali dipercepatkan, mengakibatkan kesan emosi yang minimum walaupun mutu lakonan yang dipamerkan agak baik.
Hebat pada Suasana, Lemah pada Ancaman
Aspek seram dalam filem ini boleh dianggap bercampur-baur. Di satu sisi, Five Nights at Freddy’s 2 berusaha untuk mewujudkan persekitaran yang mencengkam melalui set yang luas, koridor yang suram, serta penggunaan kesan praktikal yang pintar.
Pengarah Emma Tammi banyak memanfaatkan elemen bayang-bayang, permukaan yang memantulkan cahaya, dan sudut kamera yang sempit untuk menghasilkan suasana klaustrofobik dan menggelisahkan, yang merupakan identiti terkenal siri permainan video tersebut.
Detik-detik kemunculan animatronik, khususnya Marionette dan Mangle, memaparkan reka gerak dan seni boneka yang sangat inventif.
Babak-babak ini menonjolkan kepakaran teknikal Jim Henson’s Creature Shop, di mana pergerakan animatronik kelihatan sangat hidup dan mengerikan, sekali gus berjaya mengembalikan seketika perasaan debaran yang dijangkakan oleh para peminat.

Namun begitu, tahap seramnya tidak menentu. Filem ini kerap kali mengetepikan pembinaan tension yang perlahan dan menggantikannya dengan jumps scare yang tiba-tiba. Walaupun ia mampu mengejutkan, ia sering terasa tidak kena pada masanya dan mudah dijangka.
Masa tayangan yang terhad bagi animatronik utama, termasuk Freddy, telah mengurangkan ruang untuk membina saspens yang berpanjangan. Babak-babak yang sepatutnya menimbulkan ketakutan berterusan sebaliknya hanya bergantung pada suntingan pantas atau reaksi watak di luar skrin, sekali gus melemahkan potensi impaknya.
Wujud perbezaan yang jelas antara reka bentuk set yang hebat secara visual dengan momen seram yang hanya sekejap; penonton seolah-olah hanya diacah dengan kemunculan animatronik, bukannya merasai ancaman mereka secara menyeluruh.
Ini menghasilkan ketegangan yang reda dengan begitu pantas, meninggalkan penonton dengan perasaan resah, bukannya ketakutan sebenar.

Bunyi persekitaran, pencahayaan, dan reka bentuk set yang teliti sedikit sebanyak dapat menampung kekurangan ini. Namun, wujud perasaan berterusan bahawa cita-cita filem ini untuk memperluaskan dunia Freddy Fazbear’s Pizza telah mengorbankan debaran yang menjadi kekuatan filem pertamanya.
Secara ringkasnya, walaupun visualnya hebat, ia gagal menimbulkan rasa takut yang sebenar.
Animatronik dan Set Hebat Sekadar Hiasan Latar

Aspek produksi filem ini sememangnya cemerlang. Jim Henson’s Creature Shop telah menghasilkan jumlah animatronik yang hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding filem pertama, termasuk Mangle yang mempunyai rekaan teknikal yang rumit serta boneka Marionette yang memerlukan sebuah pasukan dalang untuk menggerakkannya.
Set Freddy Fazbear’s Pizza direka dengan begitu megah, menampilkan sebuah tarikan bot sungai sepanjang 200 kaki dan sistem gua sepanjang 150 kaki.
Pereka produksi Marc Fisichella dan pereka kostum Whitney Anne Adams telah mencipta semula pelbagai era dan persekitaran dengan sangat terperinci, bermula dari sebuah restoran piza yang baru beroperasi sehinggalah ke lokasi-lokasi usang dan terbiar, semuanya dihasilkan dengan ketelitian yang tinggi.

Walau bagaimanapun, di sebalik nilai produksi yang menakjubkan ini, animatronik kebanyakannya hanya berfungsi sebagai elemen sampingan dan bukannya sebagai sumber ancaman utama. Babak-babak yang menampilkan mereka selalunya terlalu ringkas untuk memanfaatkan kehadiran mereka sepenuhnya.
Ini menyebabkan penonton berasa tidak puas, satu masalah yang diburukkan lagi oleh tajuk filem itu sendiri, yang menjanjikan pengalaman “Five Nights at Freddy’s” tetapi gagal menunaikannya.
Skor Muzik dan Bunyi Sebagai Elemen Paling Cemerlang
Reka bentuk audio dalam Five Nights at Freddy’s 2 merupakan antara aspek yang paling cemerlang. Skor muzik oleh The Newton Brothers mengadunkan elemen tension dengan unsur ‘kenakalan’, sejajar dengan gabungan unik antara seram dan keanehan yang menjadi identiti francais ini.
Bunyi-bunyi mekanikal seperti desingan robotik disusun dengan mahir untuk memberikan gambaran seolah-olah mesin-mesin tersebut mempunyai kesedaran. Petunjuk audio juga digunakan untuk memberi isyarat bahaya walaupun animatronik tidak kelihatan di skrin, namun malangnya ia jarang sekali dimanfaatkan dalam babak visual.

Reka bentuk bunyi memainkan peranan besar dalam membina debaran. Elemen audio persekitaran, seperti bunyi sayup-sayup gelak tawa kanak-kanak atau mesin arked, mencipta satu perasaan yang tidak menyenangkan, sekali gus membuatkan penonton sentiasa berhati-hati.
Ia juga pasti akan mengingatkan pemain tentang pengalaman dalam game Five Nights at Freddy’s 2. Malah, momen-momen sunyi—seperti di lorong-lorong kosong atau pergerakan perlahan kamera keselamatan—diperkaya dengan kehadiran audio halus, yang mengisi kekosongan di antara babak-babak seram dan mengekalkan ketegangan.
Reka bentuk bunyi sering kali berjaya di tempat visual gagal, dengan memberikan ancaman dan suasana yang merangsang imaginasi penonton untuk melengkapkan babak yang ditinggalkan oleh kemunculan animatronik yang terhad.

Pun begitu, penggunaan bunyi yang mengejut secara tiba-tiba adakalanya menjejaskan momen-momen seram yang lebih halus. Jump scare sering kali diiringi oleh kesan bunyi keterlaluan, yang lebih bertujuan untuk mengejutkan penonton berbanding membina ketakutan berpanjangan.
Walaupun pendekatan ini mungkin digemari oleh sesetengah penonton, para peminat seram yang mengharapkan pengalaman yang membina ketakutan secara beransur-ansur mungkin akan mendapati momen-momen ini terlalu klise.
Apapun, kualiti keseluruhan skor muzik dan reka bentuk bunyi masih menjadi satu kelebihan utama, membuktikan bagaimana audio mampu mengangkat sebuah filem walaupun ketika elemen-elemen lain kurang menjadi.
Rentak Kelam-kabut Melemahkan Tension
Rentak merupakan salah satu cabaran terbesar dalam Five Nights at Freddy’s 2. Dengan barisan pelakon yang lebih ramai, latar tempat yang lebih luas, dan plot yang lebih rumit, filem ini sering kali terasa sarat dengan pelbagai elemen.
Babak aksi, pembangunan watak, dan pendedahan maklumat dipadatkan dalam segmen-segmen pendek, lantas menghasilkan ritma penceritaan yang tidak sekata. Momen-momen yang penuh debaran sering kali diikuti oleh babak ‘rehat’ yang tidak perlu, menyebabkan ketegangan sukar untuk dikekalkan.
Sebaliknya, babak-babak yang lebih perlahan adakalanya terasa meleret, terutamanya apabila penceritaan dihentikan untuk menerangkan asal-usul yang sepatutnya boleh disampaikan dengan cara yang lebih natural.

Penerokaan geografi Freddy Fazbear’s Pizza yang lebih luas, termasuk tarikan bot sungai dan sistem guanya, sememangnya memberikan kepelbagaian sinematik, tetapi ia juga menyumbang kepada masalah aliran cerita.
Adegan-adegan yang melibatkan persekitaran rumit ini dipaparkan dengan penuh gaya, namun peralihan antara lokasi adakalanya terasa kurang kemas, sekali gus menjejaskan naratif.
Momen-momen menyentuh hati, seperti hubungan adik-beradik antara Mike dan Abby atau konflik dalaman Vanessa yang dibayangi oleh ayahnya, sering kali tenggelam oleh adegan-adegan yang hebat, menyebabkan penonton tidak mempunyai cukup masa untuk benar-benar terhubung dengan nasib watak-watak tersebut.

Di sebalik kelemahan-kelemahan ini, filem ini masih mampu menyajikan beberapa babak yang cukup berkesan sekali-sekala, yang menjadikan kewujudannya relevan.
Pertembungan dengan animatronik yang dirancang dengan teliti, penggunaan kesan praktikal, dan detik-detik suspens yang tulen memberikan gambaran tentang potensi besar francais ini di layar perak.
Namun, ritma yang tidak konsisten telah menghalang Five Nights at Freddy’s 2 daripada mencapai tahap keganasan berterusan dan penghayatan emosi yang jelas menjadi sasarannya.
Penonton mungkin akan meninggalkan panggung dengan rasa kagum terhadap nilai produksi dan cita-citanya, tetapi pada masa yang sama, berasa sedikit kecewa dengan apa yang sepatutnya boleh menjadi sebuah pengalaman yang lebih solid dan mengerikan.
Pendapat

Five Nights at Freddy’s 2 merupakan sebuah filem yang beraspirasi tinggi, menampilkan set, animatronik, dan mutu lakonan yang hebat. Namun, ia gagal memenuhi jangkaan seram atau menyampaikan sebuah penceritaan yang padu seperti yang diharapkan oleh para peminat.
Walaupun menampilkan lebih banyak animatronik, watak Freddy sendiri dan kebanyakan watak ikonik lain sebahagian besarnya tidak muncul dalam babak-babak penting, menjadikan keganasan yang sepatutnya menjadi sorotan utama hanya kelihatan sekilas.
Aliran cerita yang bercelaru, penceritaan yang tidak konsisten, serta kebergantungan pada jump scare menjadikannya sebuah sekuel ‘sederhana’—ia mungkin menghiburkan bagi peminat tegar yang ingin melihat lebih banyak tentang dunianya, tetapi kurang berkemungkinan untuk memuaskan pencinta filem seram yang mencari debaran sebenar.
Anda boleh menonton filem ini sekarang di seluruh Malaysia.
The Review
Five Nights at Freddy’s 2
Five Nights at Freddy’s 2 adalah sekuel yang sangat bercita-cita tinggi dengan nilai produksi, visual, dan reka bentuk audio yang mengagumkan. Namun, di sebalik kehebatan teknikalnya, filem ini gagal sebagai sebuah filem seram yang padu kerana penceritaannya yang kelam-kabut, rentak yang tidak sekata, dan terlalu bergantung pada babak kejutan yang klise.
PROS
- Pembinaan set dan dunia yang mengagumkan dan berskala besar, menjadikan alam Freddy Fazbear terasa begitu nyata dan hidup
- Kualiti animatronik dan seni gerak boneka yang sangat baik
- Muzik dan reka bentuk bunyi oleh The Newton Brothers sangat berkesan dalam membina tension dan suasana sepanjang filem
CONS
- Kemunculan kebanyakan animatronik utama, termasuk Freddy, sangat terhad, menyebabkan kami berasa tidak puas
- Aliran cerita tidak seimbang, dengan beberapa babak terasa perlahan dan penggunaan jump scare yang berlebihan telah menjejaskan elemen saspens.
- Penceritaan boleh terasa terlalu sesak dengan pelbagai lokasi dan watak, yang adakalanya menjadikan plot kurang jelas
- Babak-babak seram tertentu terlalu bergantung pada formula klise, menyebabkan beberapa elemen kejutan terasa biasa dan kurang memberi impak









Discussion about this post