Lebih sedekad lamanya, kumpulan muzik dari Jepun, ClariS, berjaya menawan hati peminat anime menerusi adunan istimewa antara melodi indah dan aura penuh misteri. Kumpulan ini bermula sebagai sebuah duo yang dianggotai oleh dua orang pelajar sekolah menengah, Clara dan Alice.
Nama mereka mula melonjak naik selepas menyiarkan lagu-lagu saduran anime dan Vocaloid di platform perkongsian video Niconico.
Tidak lama kemudian, mereka dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu tema anime popular, menyumbangkan suara mereka untuk siri-siri ikonik termasuk Puella Magi Madoka Magica (“Connect”), Oreimo (“Irony”), Nisekoi (“CLICK”), dan Eromanga Sensei (“Hitorigoto”).

Selama bertahun-tahun, identiti sebenar mereka dirahsiakan di sebalik ilustrasi unik, satu langkah yang membolehkan mereka menumpukan perhatian pada pelajaran sementara populariti muzik mereka terus meningkat. Kini, setelah melalui beberapa fasa perubahan barisan ahli, ClariS telah melangkah ke satu fasa yang baharu.
Ketika membuat persembahan di Anime Festival Asia Singapura 2025, kumpulan ini tampil sebagai sebuah trio, yang terdiri daripada ahli pengasas Clara bersama dua ahli baharu, Elly dan Anna.
Menerusi satu sesi temu bual bersama kami, ketiga-tiga artis ini berkongsi tentang dinamik terbaharu mereka, cita-cita untuk menghasilkan bunyi yang lebih berani, serta ikatan istimewa mereka dengan para peminat di Asia Tenggara.
Kehidupan Baharu ClariS Sebagai Trio

Perubahan kepada format tiga ahli ternyata telah membuka ruang kreativiti baharu buat anggota asal, Clara. Dia berkongsi:
“Dengan penyertaan ahli baharu, kami dapat meneroka teknik-teknik baharu. Kehadiran tiga orang membolehkan kami mencipta harmoni vokal yang lebih kaya dalam lagu-lagu kami, sekali gus memperluas lagi elemen muzik kami. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini.”
Di sebalik kerja studio, hubungan mereka juga bertambah erat seperti sebuah keluarga.
“Sebelum ini saya sering bekerja sendiri, tetapi kehadiran mereka membuatkan saya rasa seperti mempunyai adik-beradik dan keluarga baharu. Saya sangat menikmati suasana ini,” jelas Clara, sambil menyatakan keyakinan bahawa kemesraan ini turut dapat dirasai oleh para peminat.
Bagi ahli baharu, Elly dan Anna, peluang untuk menyertai kumpulan legenda ini merupakan satu penghormatan besar di samping menjadi satu cabaran yang disambut baik. Anna meluahkan perasaannya:
“Pertama sekali, saya (Anna) berasa amat terharu kerana diberi peluang menyanyikan semua lagu ClariS yang sudah terkenal.”
Dia turut mengakui tanggungjawab yang digalasnya:
“Sudah tentu, saya selalu berasa gementar setiap kali membuat persembahan, tetapi saya berusaha sehabis baik untuk menyampaikan setiap makna dalam lagu itu kepada para peminat.”
Elly turut menyuarakan pandangan yang sama dan melahirkan rasa terujanya untuk menjadi sebahagian daripada masa depan ClariS.
“Saya mahu memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada harmoni dalam karya-karya akan datang, sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah baharu yang kami cipta bersama,” katanya dengan penuh semangat.
Eksplorasi Gaya Muzik Baharu
Dengan barisan ahli baharu ini, ClariS merancang untuk menceburi arah muzik yang lebih berani. Walaupun belum ada karya baharu yang spesifik, Clara mendedahkan hasrat mereka untuk menghasilkan sebuah lagu yang benar-benar menonjolkan kekuatan vokal setiap anggota.
“Perancangan utama kami adalah untuk menghasilkan sebuah lagu yang benar-benar boleh mempamerkan suara utama setiap daripada kami dalam lagu tersebut,” terangnya.
Memberi idea bahawa mereka akan lari daripada gaya kebiasaan, dia menambah:
“Meskipun bukan bergenre rock, kami berhasrat untuk mencipta sebuah karya yang mempunyai bunyi yang sangat bertenaga dan agresif.”
Keinginan untuk menghasilkan bunyi yang lebih berani ini jelas mencerminkan fasa keyakinan dan sinergi kreatif yang baharu untuk kumpulan yang sedang berevolusi ini.
Makna Khas di Sebalik Lagu Pilihan Mereka
Dalam katalog lagu tema anime mereka yang luas, ada sebuah lagu yang sangat bermakna bagi trio ini. Elly mendedahkan bahawa lagu “Umitsuki” merupakan kegemaran mereka bertiga. Sebab utamanya ialah penglibatan aktif setiap ahli dalam proses penciptaan lagu tersebut.
“Lagu ini istimewa kerana ia merupakan hasil sentuhan kami bertiga dalam proses pembikinannya,” kata Elly.
Lagu ini juga menjadi medium untuk menyampaikan mesej bersatu mereka kepada peminat. Seperti yang dijelaskan Elly:
“Segala emosi dan, anda tahu, perkara yang ingin kami sampaikan kepada peminat terkandung dalam lagu ini, sebab itulah kami amat menyukainya.”
Mesej untuk Peminat di Asia Tenggara
Kunjungan ke Singapura ini merupakan satu detik yang penting bagi ClariS. Ia bukan sahaja penampilan sulung mereka di Asia Tenggara sebagai sebuah trio, tetapi juga menandakan kepulangan mereka ke negara itu selepas tujuh tahun, dengan persembahan terakhir pada tahun 2017.
Clara menyatakan betapa gembiranya mereka dapat bertemu semula dengan peminat di rantau ini.
“Sepanjang dua hari yang lalu, kami amat seronok dapat bertemu dengan semua peminat dan membuat persembahan untuk mereka,” katanya.
Menutup perbualan, dia turut menyampaikan janji untuk lawatan yang lebih kerap pada masa hadapan.
“Selepas ini, kami akan berusaha sedaya upaya untuk datang ke Asia Tenggara dengan lebih kerap lagi bagi menyalurkan semangat kepada para peminat di sini.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi mereka.
![[AFASG25] Kini Trio, ClariS Janjikan Sisi Lebih ‘Agresif’ & Muzik Lebih Berani Dalam Temu Ramah Eksklusif!](https://cdn.gamersantai.com/2025/12/ClaRis_INTERVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post