Monster Hunter, sebuah francais yang terkenal dengan sistem combat yang penuh aksi dan pertemuan raksasa yang epik, kini bersedia untuk menakluki sempadan baharu: peranti mobile. Melalui satu kerjasama bercita-cita tinggi, Capcom telah bekerjasama dengan TiMi Studio Group untuk mencipta Monster Hunter Outlanders.
Game aksi survival open world free-to-play ini bertujuan untuk memebawa keseronokan unik siri ini ke dalam pengalaman mudah alih. Kami telah menemubual Produser Capcom, Genki Sunano, dan Produser TiMi Studio, Huang Dong, untuk membincangkan permulaan kerjasama ini, cabaran menyesuaikan sebuah judul gergasi konsol untuk skrin kecil, dan visi mereka untuk masa depan pemburuan ini.

Kerjasama Baharu Untuk Pemburuan Baharu

Kerjasama ini lahir daripada minat yang mendalam terhadap IP tersebut. Sunano menjelaskan bahawa TiMi mendekati Capcom dengan visi yang meyakinkan.
“TiMi sentiasa sangat berminat dengan IP Monster Hunter,” katanya, “dan mereka mencadangkan sebuah projek yang akan mengintegrasikan dunia Monster Hunter sedia ada. Kami mendapati konsep ini sangat menarik.”
Bagi Capcom, kerjasama ini juga merupakan langkah strategik untuk meluaskan jangkauan siri ini, terutamanya di Asia. “Membawa Monster Hunter ke platform mobile bermakna lebih ramai orang dapat mengalami dunia ini,” tambah Sunano, menekankan matlamat untuk menjadikan francais ini lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.
Objektif utamanya, seperti yang dijelaskan oleh Huang Dong, adalah untuk mencipta game yang mengalu-alukan semua orang.
“Matlamat kami adalah untuk membolehkan seramai mungkin pemain menikmati keseronokan Monster Hunter… kami mahu semua orang—sama ada mereka peminat tegar atau pemain mobile kasual—dapat menikmati game ini.”
Melancarkan Aksi untuk Mobile Gameplay

Intipati Outlanders terletak pada perancangan yang teliti: mengekalkan DNA Monster Hunter sambil memperkenalkan sistem baharu yang sesuai untuk platform baharunya. Game ini memperkayakan kitaran memburu-dan-mencipta yang klasik dengan mekanik survival dan pembinaan yang diperluaskan.
Huang menjelaskan bahawa penambahan ini direka untuk mendalami, bukan mengalih perhatian, daripada pengalaman utama.
“Pemain boleh membuat persediaan untuk memburu di pangkalan mereka sendiri sebelum keluar, yang selaras dengan konsep asal Monster Hunter iaitu persediaan sebelum memburu,” katanya.
Pendekatan ini bertujuan untuk mencipta irama yang lebih holistik dan terasa natural bagi pemain baharu dan veteran.

Walau bagaimanapun, peminat lama yang bimbang tentang sistem combat ikonik siri ini boleh bertenang. Genki Sunano memberikan jaminan yang kukuh:
“Pasukan Capcom telah terlibat sepenuhnya dalam pembangunan, memastikan combat mengekalkan kualiti yang sama seperti siri asal. Pemain boleh yakin bahawa pengalaman memburu terasnya masih terpelihara.”
Falsafah adaptasi ini juga merangkumi penyederhanaan beberapa mekanik tertentu untuk kebolehan mudah alih yang lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kepentingan strategi ketajaman senjata kekal, animasi mengasah senjata secara manual telah dibuang.
“Tindakan mengasah telah dibuang,” jelas Huang, “tetapi elemen ketajaman dalam combat masih dikekalkan.”
Sunano mengkontekstualisasikan ini sebagai sebahagian daripada evolusi semula jadi francais, membandingkannya dengan pembuangan ‘paintball’ dalam judul-judul yang lebih baru.
Cabaran Reka Bentuk Dari Konsol ke Mobile

Menterjemahkan pengalaman konsol yang kompleks ke telefon pintar adalah penuh dengan cabaran, satu realiti yang dihadapi oleh para pembangun. Huang mengenal pasti kawalan sebagai halangan utama.
“Mencipta semula pengalaman game Monster Hunter pada skrin telefon pintar bukanlah mudah—halangan utamanya ialah susun atur butang, kawalan kamera, dan mekanik ‘lock-on’.”
Memanfaatkan pengalaman luas TiMi dalam game aksi mobile adalah penting untuk mengatasi kesulitan ini. Cabaran besar yang lain ialah menyesuaikan UI permainan yang padat untuk skrin yang lebih kecil. Prinsip utama pasukan mereka adalah kejelasan dan fokus.
“Kami bertanya kepada diri sendiri: apakah perkara yang paling penting pada bila-bila masa?” dedah Huang.
Ini membawa kepada UI dinamik di mana item yang disyorkan muncul secara kontekstual dan butang aksi penting akan menyala, membimbing perhatian pemain.

Pasukan ini juga melabur banyak dalam penterjemahan dan prestasi. Menyedari bahawa siri ini mengandungi “banyak istilah unik dan khusus,” mereka berusaha untuk menjadikan bahasa lebih mudah diakses oleh audiens yang lebih luas.
Selain itu, usaha besar telah ditumpukan kepada “pengoptimuman prestasi dan keseimbangan combat” untuk memastikan Outlanders berjalan lancar merentasi pelbagai peranti mobile, memberikan pengalaman yang konsisten dan digilap untuk semua pemain.
Tahap Kesukaran, Co-op, dan Model Free-To-Play

Monster Hunter Outlanders akan menjadi game free-to-play, sebuah model yang direka untuk menjemput audiens seluas mungkin ke dalam dunianya.
Mengenai monetization, Huang mengesahkan game ini akan menampilkan “pembelian dalam aplikasi biasa, seperti item kosmetik dan pemerolehan watak,” tetapi menegaskan bahawa sistem itu belum dimuktamadkan.
Pasukan ini merancang untuk menggunakan maklum balas pemain dari ujian tertutup akan datang untuk mengemas kini ekonomi permainan, dengan komitmen untuk memastikan pengalaman akhir kekal “seimbang dan adil.”

Tahap kesukaran game ini juga dilaraskan untuk platform mobile. Sunano mengakui gameplay pemain mobile yang berbeza, yang mungkin bermain “semasa menaiki kereta api, atau bila-bila masa mereka mempunyai sedikit masa lapang.” Oleh itu, tahap kesukaran direka agar sesuai untuk sesi gameplay yang lebih pendek dan kasual.
Walau bagaimanapun, Huang menekankan bahawa keseronokan, bukan hanya kesukaran, adalah matlamat utama.
“Bukannya tentang menyamakan kesukaran dengan keseronokan,” katanya. “Matlamat kami adalah untuk menjadikan game ini benar-benar menyeronokkan untuk semua pemain.”
Falsafah ini juga merangkumi gameplay cooperatif, di mana kerja berpasukan direka untuk menjadi lebih penting berbanding sebelum ini, membolehkan setiap pemburu memainkan peranan unik dan mengurangkan “beban pada setiap pemain individu.”
Kandungan Masa Depan dan Kemas Kini Pasca-Pelancaran

Pelancaran Monster Hunter Outlanders hanyalah permulaan. Pasukan pembangunan mempunyai rancangan jangka panjang untuk kandungan pasca-pelancaran, dengan pelbagai cadangan telah disediakan melalui perbincangan bersama pemain profesional.
Huang memberi bayangan bahawa kemas kini masa depan “bukan sahaja akan mengubahsuai pelbagai aspek gameplay Monster Hunter, tetapi juga memperkenalkan beberapa kandungan original.” Ini termasuklah penambahan senjata untuk pemain.
Walaupun senarai awal menampilkan lima jenis senjata, beliau mengesahkan bahawa “apa yang kami ada sekarang bukanlah gambaran penuh,” dengan lebih banyak senjata dari siri asal akan ditambah sebelum dan selepas pelancaran.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS25] “Pengalaman Memburu Masih Terpelihara” – Bagaimana Capcom & TiMi Membawa Monster Hunter Outlanders Ke Mobile](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/Monster-Hunter-Outlanders_INTERVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post