Susulan kejayaan Black Myth: Wukong, pembangun Game Science secara rasminya telah mengumumkan projek mereka yang seterusnya, Black Myth: Zhong Kui.
RPG aksi single-player terbaharu ini merupakan game kedua dalam siri Black Myth studio tersebut yang semakin berkembang dan sedang dibangunkan untuk PC serta “platform konsol arus perdana.”
Pengumuman tersebut dibuat selaras dengan tradisi studio itu untuk berkongsi laporan kemajuan dengan para pemain pada setiap 20 Ogos. Memandangkan tiada gameplay yang boleh dikongsikan buat masa ini, pihak pembangun telah melancarkan sebuah video pendek sinematik CG bagi mengesahkan projek baharu ini telah dimulakan.

Dalam sesi Soal Jawab (FAQ) di laman web rasmi mereka, Game Science berterus-terang tentang tahap pembangunan game ini yang masih di peringkat sangat awal, dan menggambarkannya sebagai “tidak lebih daripada sebuah folder kosong pada tahap ini.”
Justeru, tarikh pelancaran masih belum diumumkan, dan platform konsol yang spesifik akan disahkan kelak menjelang pelancarannya.

Mengulas tentang keputusan untuk memberi tumpuan kepada protagonis baharu dan bukannya sekuel langsung kepada Wukong, pihak studio menjelaskan cita-cita mereka “untuk membina pengalaman game yang lebih unik” dan “mencabar diri dengan ciri-ciri yang lebih berani.”
Mereka melihat Zhong Kui sebagai pilihan natural yang membolehkan mereka membuat “perubahan yang menyegarkan, mencipta perkara baharu, sambil meneliti kelemahan dan kekesalan pada masa lalu.”

Bagi peminat Monkey King, pihak pembangun memberi jaminan dengan menyatakan, “pengembaraan ke barat tidak akan berakhir di sini.”

Black Myth: Zhong Kui akan berkongsi asas yang sama dengan game sebelumnya. Ia akan kekal sebagai sebuah RPG aksi single-player yang berasaskan mitos dan cerita dongeng Cina kuno, serta akan mengikut model perniagaan yang sama. Walau bagaimanapun, perbezaan paling ketara yang telah disahkan ialah protagonisnya.
Seperti yang dinyatakan oleh studio, “anda tidak akan memainkan peranan sebagai seekor monyet kali ini.” Perbezaan-perbezaan lain dari segi gameplay masih lagi dalam peringkat penerokaan dan eksperimen.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post