Konami mengesahkan bahawa siri adaptasi anime yang dinanti-nantikan, Suikoden: The Anime, yang berdasarkan JRPG klasik Suikoden II, akan memulakan tayangan pada tahun 2026. Pengumuman ini dibuat bersama pendedahan visual baharu dan maklumat lanjut mengenai pasukan produksi serta hala tuju penceritaannya.
Projek ini akan diterajui oleh studio animasi dalaman Konami sendiri, iaitu KONAMI animation, yang ditubuhkan pada 2023. Ini juga merupakan siri televisyen besar pertama yang dihasilkan oleh studio tersebut.
Barisan produksinya diterajui oleh nama-nama hebat, termasuk pengarah veteran Yūzō Satō (Hunter × Hunter: The Last Mission, Police in a Pod), manakala tanggungjawab penerbitan diserahkan kepada Ryō Hino dari NBCUniversal Entertainment Japan.
Bagi menjamin kualiti dan kesetiaan adaptasi ini kepada karya asal, sebuah Jawatankuasa Produksi Anime Suikoden khas telah dibentuk. Penerbit IP Suikoden, Rui Naito, juga akan memantau proses adaptasi secara langsung untuk memastikan legasi game ini terus terpelihara.

Anime ini akan membawa penonton menyelami jalan cerita epik Suikoden II, yang diilhamkan daripada novel klasik Cina, Water Margin. Penceritaannya berpusat pada hubungan seorang wira dan rakan karibnya, Jowy, yang terperangkap dalam peperangan dahsyat.
Kisah perpisahan haluan antara mereka berdua—seorang menjadi ketua pemberontak, manakala seorang lagi menyelinap ke dalam barisan musuh—menjadi nadi utama siri ini, yang penuh dengan tema persahabatan, kesetiaan, dan pengorbanan.
Menurut penerbit, anime ini akan memberi fokus kepada tiga watak utama: protagonis, Jowy, dan Nanami. Berbeza dengan permainan video, ia tidak akan menampilkan sistem parti yang membenarkan pemain memilih watak secara bebas.
Walau bagaimanapun, watak-watak ikonik 108 Stars of Destiny yang lain masih akan membuat kemunculan apabila relevan dengan penceritaan.

Salah satu berita yang paling menggembirakan peminat ialah pengesahan daripada Penerbit Rui Naito bahawa anime ini akan dikembangkan dalam format berbilang musim.
Langkah ini diambil untuk memastikan keseluruhan kisah Riou dan Jowy dapat disampaikan secara menyeluruh, sekaligus menunjukkan kesungguhan pihak produksi untuk mengadaptasi plotnya yang luas.
Projek anime ini adalah sebahagian daripada gelombang baharu untuk menghidupkan semula francais Suikoden. Ia hadir selepas pelancaran Suikoden I&II HD Remaster Gate Rune and Dunan Unification Wars pada 6 Mac 2025, serta projek game mobile dan prekuel, Suikoden Star Leap, yang sedang dibangunkan.









Discussion about this post