Peminat Genshin Impact yang bermain di konsol PlayStation 4 (PS4) perlu bersedia untuk beralih ke platform lain. HoYoverse, syarikat pembangun di sebalik game popular itu, secara rasmi mengesahkan bahawa sokongan dan update untuk versi PS4 akan dihentikan sepenuhnya pada 8 April 2026.
Langkah ini diambil kerana had prestasi perkakasan konsol tersebut yang sudah usang dan keperluan teknikal yang kian bertambah. Pengumuman ini dibuat melalui platform HoYoLAB dan media sosial dan bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada pemain untuk membuat peralihan tanpa kehilangan sebarang kemajuan.
Bagaimanapun, pemain di PlayStation 5 tidak perlu risau kerana versi tersebut tidak terjejas dan akan terus disokong seperti biasa.
Proses Hentian Secara Berperingkat

Proses penamatan ini akan dijalankan secara berperingkat dalam tiga fasa utama:
- Pengeluaran dari Kedai Digital (10 September 2025): Genshin Impact tidak lagi boleh dicari atau dimuat turun oleh pemain baharu melalui PlayStation Store. Namun, mereka yang pernah memuat turunnya sebelum ini masih boleh memasangnya semula dari pustaka (library) akaun mereka.
- Urus Niaga Dalam Game Dihentikan (25 Februari 2026): Segala urusan pembelian dalam game seperti Genesis Crystals dan tambah nilai (top-up) akan dihentikan sepenuhnya di platform PS4.
- Sokongan Ditamatkan Sepenuhnya (8 April 2026): Semua sokongan teknikal dan update akan dihentikan. Selepas tarikh ini, pemain tidak lagi boleh mengakses atau log masuk ke dalam game melalui konsol PS4.
Mengapa Sokongan PS4 Ditamatkan?

Keputusan HoYoverse ini bukan dibuat tanpa sebab. Faktor utama adalah perkakasan PS4, yang dilancarkan pada 2013, kini tidak lagi mampu menampung keperluan grafik dan prestasi Genshin Impact yang semakin canggih.
Update besar seperti wilayah Natlan dan saiz fail permainan yang terus berkembang memberi tekanan hebat kepada konsol generasi lama ini, menyebabkan masalah seperti masa muat turun yang lama dan prestasi yang tidak stabil.
Langkah Seterusnya untuk Pemain: Pindahkan Akaun Anda

HoYoverse memberi jaminan bahawa tiada kemajuan permainan akan hilang dalam proses ini. Untuk memastikan semuanya berjalan lancar, pemain hanya perlu memautkan akaun PlayStation Network (PSN) mereka kepada satu akaun HoYoverse. Proses ini boleh dibuat terus di dalam game melalui Paimon Menu > Settings > Account > User Center.
Setelah dipautkan, semua data permainan seperti watak, senjata, dan rekod pengembaraan boleh dibawa ke platform lain yang disokong, termasuk:
- PlayStation 5
- PC dan Mac
- Xbox Series X/S
- Peranti iOS dan Android
Bagi memudahkan proses ini, notifikasi untuk memautkan akaun akan mula dipaparkan dalam game secara berkala bermula 17 Disember 2025.
Pemain disarankan agar tidak menunggu sehingga saat-saat akhir untuk membuat pertukaran ini. Untuk butiran lanjut dan jawapan kepada soalan lazim, sila rujuk pengumuman rasmi di laman web HoYoLAB.









Discussion about this post