Koei Tecmo dan Gust telah mengesahkan bahawa Atelier Ryza Secret Trilogy Deluxe Pack akan dilancarkan di seluruh dunia pada 13 November ini. Koleksi serba lengkap ini, yang pernah diumumkan sebelum ini, akan menuju ke platform PlayStation 5, Switch 2, PlayStation 4, Nintendo Switch, dan juga PC melalui Steam.
Pengumuman terbaharu ini turut mengupas dengan lebih lanjut kandungan tambahan yang menanti pemain, termasuk watak, babak cerita, dan pelbagai penambahbaikan quality-of-life.
Koleksi istimewa ini menghimpunkan ketiga-tiga game popular dalam siri ini dalam versi DX yang telah ditambah baik, dan setiap satunya diperluaskan dengan kandungan eksklusif yang tiada dalam versi asal.
Dalam Atelier Ryza: Ever Darkness & the Secret Hideout DX, pemain akan diperkenalkan kepada tiga watak baharu yang boleh dikawal: Agatha, Kilo, dan Romy.
Game ini juga akan diserikan dengan babak cerita tambahan yang berjalan selari dengan jalan cerita utama, termasuk sebuah episod khas mengenai pertemuan Kilo dan Bos di Underworld serta beberapa babak lain yang menjadi penghubung cerita ke game kedua.

Bagi Atelier Ryza 2: Lost Legends & the Secret Fairy DX pula, pemain kini berpeluang untuk mengawal mentor kepada Ryza, iaitu Empel dan Lila.
Kemunculan mereka disertakan dengan episod cerita baharu di mana kedua-duanya bertemu semula dengan Ryza di ibu kota untuk membantunya dalam pengembaraan sambil meneroka sebuah peta yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Siri penamatnya, Atelier Ryza 3: Alchemist of the End & the Secret Key DX, tidak ketinggalan dengan penambahan besar. Watak kegemaran peminat seperti Clifford, Serri, dan Kilo kini boleh dikawal sepenuhnya.
Sebuah kisah sampingan khas akan memfokuskan kepada pengembaraan peribadi Clifford dan Serri selepas mereka berpisah daripada kumpulan Ryza.
Peminat juga akan disajikan dengan babak cerita yang meneroka dengan lebih mendalam hubungan antara Kilo dan Bos, selain berpeluang untuk menjelajahi sebuah pulau misteri yang penuh dengan runtuhan purba.

Bukan sekadar cerita baharu, pek ini juga membawakan pelbagai penambahbaikan untuk pengalaman gameplay. Mod “Custom Combat” akan diperkenalkan dalam ketiga-tiga game, membolehkan pemain menetapkan sendiri tahap kesukaran dan jenis raksasa yang ingin dilawan. Penambahbaikan lain termasuk:
- Dalam Atelier Ryza 2 DX, makhluk comel Fi kini akan sentiasa mengekori Ryza untuk membantunya mencari petunjuk di runtuhan serta memulihkan sedikit nyawa parti semasa pertempuran.
- Atelier Ryza 3 DX pula memperkenalkan “Wind Beast,” sejenis mount baharu yang boleh mengutip bahan-bahan sintesis secara automatik semasa pemain sedang meneroka.

Lebih menarik lagi, koleksi ini turut memuatkan semua DLC yang pernah dikeluarkan secara percuma atau berbayar sebelum ini, seperti kostum pakaian renang, peta, dan resipi.
Sebagai bonus tambahan, pemain yang mempunyai data simpanan daripada siri “Secret” yang asal akan dihadiahkan item eksklusif untuk memulakan pengembaraan mereka.
Bersempena dengan pengumuman ini, Koei Tecmo dan Gust turut meraikan satu pencapaian besar, mengesahkan bahawa jualan siri “Secret” Atelier Ryza telah pun melepasi angka 2.5 juta unit di seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut tentang Atelier Ryza Secret Trilogy Deluxe Pack, sila layari laman web rasmi.









Discussion about this post