Lebih seminggu selepas Upin & Ipin Universe dilancarkan, pihak pembangunnya iaitu Streamline Studios dan Les’ Copaque telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi.
Kenyataan ini bertujuan untuk menjawab persoalan utama yang dibangkitkan oleh para pemain, terutamanya mengenai harga game dan isu hak cipta yang memberi kesan kepada para streamer. Pasukan pembangun juga turut berkongsi perancangan terdekat mereka untuk kemas kini dan kandungan akan datang.
Kenyataan tersebut dimulakan dengan jaminan kepada para peminat bahawa pasukan mereka sedang berusaha gigih untuk menambah baik game itu.
“Sepanjang minggu ini, pasukan kami fokus sepenuhnya pada penambahbaikan permainan termasuk pembetulan bug dan penyesuaian berdasarkan komen anda semua”.
Pasukan pembangun kemudiannya terus menyentuh dua isu hangat yang mendapat maklum balas paling banyak daripada komuniti.
Berkenaan isu harga, pihak studio berpendirian teguh dengan tanda harga yang diletakkan. Mereka menegaskan, “Harga semasa mencerminkan kualiti dan nilai permainan ini”, dan memberi jaminan bahawa lebih banyak kandungan baharu sedang dirancang untuk menambah dan memperkayakan lagi pengalaman pemain.
Kontroversi kedua yang dibincangkan ialah masalah demonetization yang dihadapi oleh para streamer kerana kandungan mereka ditanda (flag) atas sebab hak cipta. Pembangun mengakui masalah ini dan mengesahkan bahawa “muzik dalam permainan mungkin ditandakan (flag) secara automatik oleh platform penstriman”.
Walaupun penyelesaian jangka panjang seperti “Streamer Mode” sedang diusahakan, ia dijangka akan mengambil sedikit masa. Buat masa ini, mereka menyarankan agar para streamer mematikan audio muzik di dalam game untuk mengelak sebarang isu.
Selain menyentuh isu-isu tersebut, pihak pembangun juga memaklumkan bahawa patch besar pertama telah pun dikeluarkan pada hujung minggu lalu. Satu lagi kemas kini yang tertumpu pada penambahbaikan quality-of-life permainan juga dirancang untuk dilancarkan pada hujung minggu ini.
Mereka turut menyatakan usaha untuk menyelesaikan masalah teknikal utama yang disuarakan oleh komuniti, seperti isu kamera bagi mod two-player, mekanik basikal, dan prestasi rendering untuk konsol PlayStation 4 serta Nintendo Switch.
Mengenai perancangan masa hadapan, pihak studio memaklumkan bahawa mereka akan berkongsi pelan hala tuju yang lebih terperinci tidak lama lagi.
“Dalam masa terdekat, kami akan berkongsi hala tuju permainan ini serta rancangan kami untuk terus menyokong dan mengembangkannya”.
“Inilah cara kami berkongsi sebahagian kecil keunikan Malaysia dengan dunia,” jelas pasukan pembangun, sambil mengulangi komitmen mereka untuk terus membangunkan Upin & Ipin Universe bersama-sama para peminat.









Discussion about this post