Game pengembaraan open-world yang dinanti-nantikan, Upin & Ipin Universe, telah dilancarkan semalam di pelbagai platform seperti PC (Steam, Epic Games Store), PlayStation 4, PlayStation 5, dan Nintendo Switch.
Namun, harga jualannya—yang bermula sekitar RM170—telah menimbulkan perdebatan hebat, khususnya dalam kalangan netizen tempatan yang merasakan ia terlalu mahal untuk sebuah game indie yang menyasarkan golongan keluarga.
Dibangunkan oleh Streamline Studios dengan kerjasama Les’ Copaque Production, game ini membawa pemain ke Kampung Durian Runtuh, dengan lebih 12 jam gameplay berasaskan jalan cerita. Aktiviti yang ditawarkan termasuk berkebun, memancing, memasak, berlawan gasing dan banyak lagi.
Menggunakan enjin Unreal Engine 5, Upin & Ipin Universe menawarkan visual 3D, suara latar penuh dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, serta mod single-player dan local split-screen co-op, tanpa sebarang mikrotransaksi.
Walaupun kaya dengan unsur budaya tempatan, harga jualannya (iaitu RM172.18 di PlayStation Store, RM177.39 di Steam dan Epic Games Store, serta USD39.99 (~RM169) di Nintendo Store) telah mengundang reaksi negatif.
Di platform seperti Facebook, X, dan Reddit, ramai netizen Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati, menganggap harganya “terlalu mahal” untuk sebuah game indie yang ditujukan kepada kanak-kanak.
Ada yang membandingkan harganya dengan game AAA yang lazimnya dijual pada harga sekitar RM250–300, dan menyatakan bahawa mekanik game yang lebih ringkas tidak sewajarnya dikenakan harga sedemikian.




Komen negatif di media sosial termasuk tuduhan bahawa pembangun cuba “mengaut untung cepat” dan “game harga Yahudi” untuk meluahkan kekecewaan mereka. Sebagai tambahan, ramai yang memilih untuk “tunggu diskaun.” Malah lebih buruk lagi, ada juga yang ingin memuat turun game ini secara haram.
Di Malaysia, di mana kuasa beli lebih rendah berbanding negara Barat, RM170 dianggap satu perbelanjaan besar. Ini menyukarkan sasaran utama game ini, iaitu keluarga dan pemain muda, untuk menikmatinya.



Di sebalik kritikan, terdapat juga suara yang membela harga tersebut, menyeru peminat agar menyokong pembangunan game tempatan. Mereka berpendapat harga itu konsisten dengan standard antarabangsa bagi platform seperti PlayStation Store dan Steam.
Ada juga yang mempersoalkan sama ada pengkritik benar-benar gamer sebenar, dengan sindiran bahawa mereka mungkin hanya bermain game percuma di telefon atau sekadar menebus game percuma di PC tanpa sebarang pembelian.
Ulasan di Steam mencerminkan perbezaan ini, apabila hanya 49% daripada 37 ulasan setakat ini memberi penilaian positif. Walaupun pujian diberikan kepada aspek budaya, banyak ulasan turut mengadu tentang kehadiran pepijat, gangguan visual, grafik yang tidak stabil dan prestasi gameplay yang kurang memuaskan.


Menambahkan kontroversi, muncul dakwaan berkaitan operasi dalaman Streamline Studios, termasuk isu kelewatan bayaran gaji dan caruman KWSP selama beberapa bulan, serta pemberhentian pekerja tanpa pampasan.
Tuduhan ini, yang dibincangkan secara terbuka di platform seperti X dan Reddit, mencetuskan spekulasi bahawa harga tinggi game ini mungkin bertujuan menampung masalah kewangan syarikat.
Ada juga pengguna yang mendakwa disekat daripada forum Steam selepas mengutarakan isu-isu ini, namun sehingga kini, Streamline Studios masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Walaupun menerima banyak kritikan, pelancaran Upin & Ipin Universe tetap merupakan satu pencapaian besar untuk industri gaming digital tempatan yang sedang berkembang, seiring dengan usaha kerajaan dalam memajukan sektor kreatif.
Pelancaran serentak di platform utama antarabangsa menunjukkan potensi Malaysia dalam pembangunan permainan video. Namun begitu, kontroversi harga dan tuduhan terhadap pembangun berpotensi menjejaskan reputasi projek ini.

![[Eksklusif] Sejarah di Sebalik Penubuhan Massive Monster Bersama Co-Founder Jay Armstrong](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/Jay-Armstrong_IWX-2026_FI-350x250.jpg)







Discussion about this post