Peminat setia siri Persona dari ATLUS perlu bersabar lebih lama untuk menikmati Persona 4 Revival, kerana remake ini dijangka hanya akan dilancarkan selepas bermulanya tahun fiskal 2027, iaitu antara 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027.
Perkara ini didedahkan melalui pembentangan SEGA SAMMY Management Meeting 2025 yang diterbitkan pada 18 Jun, sekali gus menepis kemungkinan pelancaran pada tahun 2025.
Persona 4 Revival merupakan versi remake penuh bagi game klasik tahun 2008, Persona 4. Ia diumumkan pada awal bulan ini untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, serta PC melalui Steam dan Microsoft Store.
Teaser trailer memberikan gambaran awal tentang hala tuju visualnya, yang kini lebih moden dan selari dengan gaya visual Persona 5 (2016) dan Persona 3 Reload (2024).
Remake ini bertujuan memberi nafas baharu kepada RPG asal dengan peningkatan dari segi grafik dan sistem gameplay, sambil mengekalkan semangat asalnya sebagai game utama kelima dalam siri Persona, yang merupakan sebahagian daripada francais Megami Tensei.
Dengan latar di pekan kecil dan tenang bernama Inaba di Jepun, Persona 4 Revival menghidupkan semula jalan cerita menarik dari versi asal. Pemain akan mengawal seorang pelajar sekolah menengah yang baru berpindah, yang kemudiannya membentuk pasukan penyiasat bersama rakan-rakan bagi menyelesaikan siri pembunuhan misteri yang dikaitkan dengan dunia ghaib di dalam televisyen.
Dalam perkembangan berkaitan, game Stranger Than Heaven dari Ryu Ga Gotoku Studio turut dijadualkan untuk tempoh pelancaran yang sama, iaitu selepas April 2026. Game ini pertama kali diperkenalkan di The Game Awards 2024, dan awal bulan ini menerima nama rasmi serta trailer baharu.
Walaupun platform belum diumumkan, tempoh pelancarannya menunjukkan ada usaha tersusun di pihak pembangun untuk mengatur pelancaran kedua-dua game besar ini.
Dengan Persona 4 Revival dan Stranger Than Heaven sedang dibangunkan, ATLUS dan SEGA dilihat bersedia menawarkan dua pengalaman yang mengujakan kepada pemain, walaupun ia memerlukan sedikit lagi kesabaran sehingga tahun 2026 dan seterusnya.
@gamersantaimy
Discussion about this post