IO Interactive, studio yang terkenal dengan siri Hitman, akhirnya mendedahkan 007 First Light – sebuah interpretasi semula yang berani terhadap kisah asal-usul ejen perisik ikonik, James Bond.
Game ini akan dilancarkan pada tahun 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch 2, serta PC melalui Steam dan Epic Games Store, dan menjanjikan sudut pandang baharu terhadap watak legenda ini.
Dalam 007 First Light, pemain akan mengawal versi muda James Bond — seorang perisik yang berbakat, tangkas, namun kadang kala bertindak secara terburu-buru— ketika dia menjalani latihan intensif di bawah program khas MI6.
Kisahnya bermula ketika Bond masih seorang ahli Tentera Laut sebelum direkrut ke dalam program Double 0 yang baru diaktifkan semula selepas dia menunjukkan keberanian luar biasa.
Namun, ketika sebuah misi untuk menangkap seorang ejen pengkhianat bertukar menjadi tragedi, Bond terpaksa berganding bahu dengan mentornya yang berat hati, Greenway, untuk membongkar konspirasi besar dan menggagalkan rampasan kuasa yang mengancam keselamatan negara.

Game ini membawakan pengalaman pengintipan sinematik dengan pengembaraan ke pelbagai lokasi menakjubkan di seluruh dunia, kenderaan ikonik, dan misi-misi berisiko tinggi.
Pemain akan menjejak ejen pengkhianat yang licik dan sentiasa mendahului langkah, sambil diberi kebebasan untuk menyelesaikan objektif dengan cara mereka sendiri.
Sama ada memilih pendekatan senyap menggunakan alat perisik, pertempuran jarak dekat yang intensif, atau tembak-menembak penuh aksi, 007 First Light memberi penekanan kepada pilihan pemain.
Malah, anda boleh memperdaya pengawal dengan helah licik, menambah elemen taktikal dalam bentuk penipuan dalam setiap pertempuran.

IO Interactive turut menekankan aspek kebolehmainan semula game ini, di mana pemain boleh mengulangi misi dengan pelbagai modifier bagi mencipta cabaran yang lebih tersendiri.
Daripada penyusupan senyap sehinggalah ke aksi tanpa kompromi, 007 First Light mengajak pemain untuk membentuk jalan cerita mereka sendiri dalam perjalanan menjadi ejen 007.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi.









Discussion about this post