Dalam satu temu bual baru-baru ini, produser Dragon Ball, Akio Iyoku, mengesahkan bahawa anime baharu Dragon Ball Daima sememangnya dihasilkan sebagai versi baharu Dragon Ball GT. Walaupun GT tidak dianggap sebagai sebahagian daripada “canon” rasmi, pengaruhnya—terutama elemen ikonik seperti Super Saiyan 4—telah meninggalkan kesan besar dalam francais shonen ini.

“Saya ingin mencipta anime yang boleh ditonton oleh ibu bapa dan anak-anak,” jelas Iyoku. Beliau turut menyatakan bahawa anime Dragon Ball Daima direka khas untuk peminat GT yang kini telah dewasa—mereka yang membesar dengan GT dan kini berada dalam lingkungan usia 30-an ke atas. Pendekatan penuh nostalgia ini, digabungkan dengan elemen cerita yang segar, mengembalikan semangat asal Dragon Ball dengan menampilkan semula Goku dalam bentuk kanak-kanak.

Bagi yang kurang tahu, Dragon Ball Daima merupakan anime baharu berdasarkan manga popular karya Akira Toriyama dan kini disiarkan sempena ulang tahun ke-40 Dragon Ball. Ini juga menandakan kemunculan semula siri anime baharu selepas enam tahun sejak tamatnya Dragon Ball Super pada Mac 2018.
Pada awalnya, rancangan asal adalah untuk menjadikan Goku sahaja kembali menjadi kanak-kanak, seperti dalam GT. Namun, Toriyama tampil dengan idea lebih berani—mengubah keseluruhan watak utama menjadi kecil. “Goku dewasa memang hebat, tetapi Goku kecil bukan sahaja kelihatan hebat, malah dia juga comel dan memiliki daya tarikan tersendiri,” dedah Iyoku. Beliau turut menekankan adegan aksi utama di mana Goku kecil bertarung menggunakan tongkat ikoniknya—suatu babak yang memberikan kelainan berbanding Dragon Ball Super.

Dengan Toriyama sendiri menguruskan jalan cerita asal dan rekaan watak, siri ini menggabungkan tema-tema klasik dengan penceritaan yang lebih segar. “Kami tidak cuba menambah elemen baharu secara paksa ke dalam cerita, sebaliknya kami mendedahkan aspek yang sememangnya telah lama wujud dalam dunia Dragon Ball,” kata Iyoku, menekankan bahawa siri ini masih berpijak pada akar asal francais.

Berlatarbelakangkan garis masa antara saga Majin Buu dan Battle of Gods, pasukan produksi mahu menunjukkan bagaimana setiap elemen dalam Dragon Ball sebenarnya saling berkaitan. “Kami ingin menonjolkan bagaimana semua perkara dalam dunia ini saling berhubungan,” jelas Iyoku, satu konsep yang menjadi teras dalam penceritaan siri ini.

Siri ini juga menggali lebih dalam tentang hubungan antara watak-watak dalam dunia Dragon Ball. Iyoku mendedahkan bahawa satu butiran yang telah lama dirancang oleh Toriyama akhirnya didedahkan dalam Daima—bahawa semua watak yang mempunyai telinga runcing berasal dari Great Demon Realm. “Saya terkejut apabila mengetahui bahawa ‘semua watak bertelinga runcing berasal dari Great Demon Realm.’ Ini adalah butiran yang telah lama berada dalam fikiran Toriyama!” katanya.

Dengan episod finale Dragon Ball Daima dijadualkan pada 28 Februari ini, ramai tidak sabar untuk melihat hala tuju bagi siri ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post