Dalam artikel sebelum, kami memilih empat game aksi yang menarik perhatian saya di BIC 2024 – pada masa yang sama, rakan kami juga mencuba beberapa game kasual indie juga, dan berikut adalah beberapa contoh yang berjaya menarik perhatiannya!
GREAT TOY SHOWDOWN

GREAT TOY SHOWDOWN ialah game shooter strategik kasual di mana pasukan (yang terdiri daripada 8 pemain) bertarung sebagai mainan haiwan comel untuk memenangi kasih sayang pemiliknya. Game ini menggabungkan mekanik Battle Royale yang ‘simple’, menjadikannya mudah untuk dicuba oleh sesiapa sahaja.
Pemain boleh memilih untuk menghadapi pemain lain atau bekerjasama. Dalam game, pemain perlu melawan raksasa dengan rakan sepasukan mereka, mendapatkan pengalaman dan meningkatkan level. Dengan memperuntukkan peranan dengan bijak dan merangka laluan perkembangan terbaik, kekuatan pasukan secara beransur-ansur meningkat.
Pemain juga boleh menggunakan Chick Drone untuk menerokai khazanah dan ruang yang tersembunyi, memburu barang penting yang dijaga oleh raksasa untuk mendapatkan kelebihan dalam pertempuran.
Semakin anda maju, pemain akan menghadapi tiga pasukan lain dan mesti menggunakan senjata dan barang yang dikumpulkan untuk mengalahkan pihak lawan. Dalam konfrontasi yang sengit, walaupun kena ‘knocked down’, pemain boleh bangun semula dan terus berjuang selagi rakan sepasukan mereka masih dalam permainan.
Hanya dengan menewaskan pasukan lain, barulah anda boleh menuntut kemenangan.
Keep It UP

Keep It UP ialah game aksi teka-teki memanjat yang mencabar di mana pemain menggunakan kawalan ‘tap’ untuk menakluk pelbagai puncak berbahaya.
Mekanik utama dalam game menumpukan pada kawalan ‘tap’, membolehkan pemain memilih titik sokongan dalam kawasan bulat di sekeliling watak dan merancang laluan pendakian mereka.
Setiap langkah melibatkan strategi, memerlukan pemain membuat pilihan terbaik dalam situasi berbeza untuk mengatasi halangan. Semakin tinggi anda panjat, semakin susah lah game, di mana kemahiran pemain akan sentiasa diuji.
Game ini menekankan kepentingan rehat dan rentak semasa mendaki, menggalakkan pemain untuk terus mara melalui perancangan yang teliti untuk akhirnya menakluki puncak.
Color Lim

Color Lim ialah game pengembaraan platform side-scrolling dalam dunia pasca apokalips di mana pemain mengawal slime kecil bernama Lim dalam usaha mencari warna. Dalam dunia di mana warna mewakili segala-galanya, Lim boleh menyerap dan menggunakan warna sekeliling untuk menghadapi pelbagai cabaran.
Mekanik utama memfokuskan pada penggunaan warna, memerlukan pemain menggunakan warna yang sepadan untuk mengalahkan musuh yang berbeza warna, manakala musuh dengan warna yang sama tidak boleh dicederakan. Ini memaksa pemain untuk sentiasa menukar warna secara strategik untuk mengatasi halangan dan musuh.
Walaupun bersaiz kecil, Lim memiliki pelbagai abiliti yang mesti digunakan secara bijak oleh pemain bersama elemen alam sekitar untuk mencapai objektif level. Premis game ini menggabungkan realiti dan fantasi, mempersembahkan dunia unik yang dibina semula selepas malapetaka, penuh dengan penerokaan dan penemuan.
Tiny Cafe

Tiny Cafe ialah game simulasi yang santai di mana pemain membantu seekor tikus kecil bernama Dolce menguruskan sebuah kafe mini.
Di bandar yang penuh dengan kucing, kafe Dolce bermula sebagai sebuah kedai kecil tanpa nama dan secara beransur-ansur berkembang menjadi kafe yang popular, dengan aspirasi untuk menjadi kafe yang terkenal di seluruh dunia.
Dalam game, pemain akan bertemu dengan pelbagai pelanggan kucing, mendengar cerita mereka dan menghiburkan mereka dengan minuman dan pencuci mulut yang menyegarkan.
Pemain boleh bereksperimen dengan resipi baharu, membuat kopi, espreso, latte dan pelbagai pencuci mulut. Dengan menaik taraf mesin kopi dan ketuhar, pemain boleh mengembangkan menu untuk memenuhi pelbagai keperluan kucing. Game ini menampilkan muzik latar belakang yang menenangkan, memberikan pengalaman gaming yang tenang.



@gamersantaimy
Discussion about this post