Predator kembali dengan memberikan kemas kini terbaru pada Predator Helios 300 versi 2022. Dengan menampilkan gabungan CPU Intel i7 12 gen dan GPU NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti, sudah pasti ia menjadi salah satu laptop yang ramai gamer inginkan.
Walaupun begitu, kami tahu sesetengah orang mesti tidak puas hati dengan hanya lihat spesifikasi penuh dan ingin melihat review daripada orang yang menggunakannya. Terima Kasih kepada Acer kerana memberikan kami peluang untuk mencuba Predator Helios 300 2022 ini. Tanpa membuang masa lagi, jom kita lihat kehebatan laptop ini.
Reka Bentuk

Reka bentuk yang didatangkan pada Predator Helios 300 adalah hampir sama dengan versi 2021. Predator mengekalkan warna hitam pada aluminium dan logo Predator yang menyala. Yang membezakan versi lama dan versi baru adalah jalur lampu yang ada pada sebelah kiri dan kanan logo Predator.

Walaupun versi baru tidak didatangkan dengan jalur lampu, ia masih mempunyai logo yang mampu menghasilkan lampu berwarna biru semasa laptop ini dihidupkan. Dengan ketiadaan jalur lampu, ia nampak lebih molek dan segak.
Predator Helios 300 mempunyai berat sebanyak 2.6kg dan ketebalannya pula dalah 25.9mm. Apabila ditambah dengan charger, berat yang anda akan pikul adalah sebanyak 3.5kg dan ianya agak berat bagi saya.
Sistem penyejukan yang hadir pada laptop ini adalah seimbang dan simetri kerana terdapat banyak lubang udara disediakan di sebelah kiri dan kanan serta belakang laptop. Lubang udara di bahagian bawah laptop digunakan untuk mengeluarkan udara daripada dalam laptop supaya pengaliran udara berjalan dengan lancar. Jika tengok pada bahagian bawah laptop, anda akan melihat kipas penyejuk dwi dan jalur RGB yang lampunya selari dengan RGB pada keyboard.
Bergerak kepada bahagian port I/O, terdapat dua port USB Type-A di sebelah kanan di mana ia menyokong sehingga USB3.2 Gen2. Manakala di bahagian kiri, Helios 300 dilengkapi dengan USB Type-A 3.2 Gen2, RJ-45 ethernet dan bicu audio 3.5mm 2 dalam 1. Di bahagian belakang pula, terdapat Thunderbolt 4 USB-C, HDMI 2.1 dan Mini DisplayPort 1.4.
Port I/O yang disediakan sangat serasi dengan spesifikasi yang tinggi dan ia memenuhi keperluan gamer yang ingin membuat pemindahan dengan laju dan paparan external ultra-HD. Laptop ini didatangkan dengan hanya satu port USB Type-C Thunderbolt 4 di mana ia tidak membenarkan anda menggunakannya banyak USB Type-C dalam masa yang sama kecuali membeli external multi USB Hub.
Keyboard

Helios 300 didatangkan dengan keyboard yang diperbuat daripada aluminium alloy. Terdapat tindak balas yang diberikan untuk menandakan “key” yang anda tekan sedang didaftarkan dan bunyi yang dihasilkan adalah sangat perlahan dan ringan. Semasa saya menggunakannya, saya mendapati yang lantunan pada setiap “key” adalah sangat cepat dan kuat. Secara tidak langsung, ia memberikan pengalaman bermain dan bekerja yang sangat baik.

Pada bahagian atas keyboard, terdapat satu button “shortcut” untuk menghidupkan mode Turbo. Dengan hadirnya mode Turbo pada Helios 300, ia membenarkan laptop ini berjalan pada prestasi yang tertinggi dan dalam masa yang sama meningkatkan kelajuan kipas untuk mendapatkan pengaliran udara yang lancar supaya laptop tidak terlalu panas.

Button on laptop ini terletak pada bahagian atas kanan bersama tiga button tambahan untuk pengawalan media. Laptop ini didatangkan dengan saiz keyboard yang penuh di mana ia terdapat “key” numpad pada sebelah kanan laptop bersama dengan button yang berlogo Predator padanya.
Button tersebut berfungsi sebagai “key Shortcut” untuk membuka PredatorSense. Dengan membuka aplikasi tersebut, gamer boleh menukar prestasi laptop, kipas lampu RGB dan banyak lagi.

Reka bentuk keyboard baru memberikan penambahbaikan kepada kebolehgunaan, fungsi dan rupa secara keseluruhan. Ia didatangkan dengan lampu LED mini pada setiap keycap. Jadi, anda boleh mengubah warna lampu LED keyboard sesuka hati dengan menggunakan PredatorSense dan yang paling penting boleh tetapkan warna pada setiap key.
Dengan adanya PredatorSense, anda boleh mengubah warna lampu dengan sangat mudah kerana mereka telah menyediakan banyak efek yang cantik.
Paparan & Audio

Predator Helios 300 didatangkan dengan skrin 15.6 inci dengan resolusi 2560 x 1440 QHD. Skrin laptop ini juga dilengkapi dengan panel IPS yang mempunyai bezel yang nipis pada bahagian kiri dan kanan serta bahagian atas pada ukuran 7.8mm. Pada bezel bahagian atas, terdapat satu kamera 1080p yang boleh digunakan untuk mesyuarat harian dan juga live stream. Lid laptop ini juga boleh diangkat dan sudah pasti boleh ditutup dengan satu tangan sahaja.
Skrin laptop ini juga mempunyai refresh rate sehingga 165Hz, tindak balas low latency 3ms dan menyokong teknologi NVIDIA Advance Optimus. Jadi, anda boleh merasakan yang spesifikasi didatangkan adalah cukup bersedia untuk game terutamanya game FPS.

Laptop ini juga dilengkapi dengan paparan gamut warna lebar 100% DCI-P3 dan menggunakan LCD TFT lampu belakang LED ComfyView yang membolehkan laptop memberikan prestasi warna yang sangat menarik serta sudut tontonan yang luas. Tambah pula dengan resolusi 2K, sudah pasti paparan yang dihasilkan akan lebih terperinci dan secara tidak langsung menjadikannya lebih mudah untuk gamer bermain game atau menonton filem.

Bergerak ke bahagian audio. Speaker laptop ini terletak di bahagian bawah dan langsung tidak terkesan pada kualiti audio. Tambah pula dengan DTS: X Ultra Audio, sudah pasti audio yang dihasilkan lebih kuat dan jelas lagi-lagi untuk audio game ataupun filem.
Tidak lupa juga dengan speaker stereo yang didatangkan dengan efek “surround sound” yang lebih tepat. Jadi anda boleh mengesan musuh datang daripada arah mana sahaja dengan lebih tepat.
Prestasi & Benchmark

Tidak kurang juga pada prestasinya juga. Ia dilengkapi dengan prosessor Intel Core i7-12700H dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti bersama-sama dengan RAM 16GB serta storan 1TB PCIe Gen4 NVMe SSD. Berdasarkan spesifikasi dalamannya sahaja, kita sudah tahu yang laptop ini dicipta untuk para gamer.
Untuk mencuba prestasi Predator Helios 300 2022, saya telah mencuba pelbagai jenis benchmark dan juga game. Berikut adalah skor yang kami dapat semasa membuat ujian benchmark:
3DMark – 10,315

PCMark – 6,504

VRMark – 10,299

Manakala untuk prestasi semasa bermain game, saya mencuba 4 game di mana saya menetapkan kesemua tetapan grafik pada yang tertinggi dengan menghidupkan mode Ray Tracing. Bukan setakat itu sahaja, saya juga bermain pada mode Turbo.
Days Gone

Semasa saya bermain Days Gone, saya mendapati yang game berjalan dengan sangat lancar walaupun pada tetapan yang tertinggi. FPS yang saya dapat semasa menggunakan mode Turbo adalah sebanyak 135 manakala tanpa mode Turbo hanya sekitar 100 sahaja.
Ghostwire: Tokyo

Untuk Ghostwire: Tokyo, saya meletakkan pada tetapan yang tertinggi dengan menghidupkan mode Ray Tracing dan DLSS. Game berjalan dengan sangat lancar dengan memberikan 75 FPS pada mode biasa dan 85FPS pada mode Turbo.
Dying Light 2

Sedikit mengecewakan apabila saya bermain Dying Light 2 dengan 40FPS pada mode biasa dan 50FPS untuk mode Turbo. Walau bagaimanapun, anda boleh rendahkan lagi tetapan grafik untuk mendapatkan FPS yang cun dan game berjalan dengan lancar.
Apex Legends

Sudah pasti game kompetitif tidak boleh ditinggalkan. Saya bermain Apex Legends dengan sangat lancar dengan 120FPS.
PredatorSense

Ini adalah aplikasi yang disediakan untuk gamer mengawal segala “hardware” yang didatangkan pada laptop ini. Anda boleh buka PredatorSense dengan menggunakan button Predator pada keyboard atau klik pada laptop. Dengan menggunakan PredatorSense, anda boleh tukar mode laptop, kelajuan kipas dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, anda boleh gunakan aplikasi untuk menukar lampu RGB yang ada pada keyboard pada bahagian Pulsar Lighting. Pelbagai mode yang disediakan oleh Predator untuk digunakan pada situasi yang berbeza.
Mode Quiet disediakan untuk membenarkan laptop anda dalam keadaan yang sesenyap yang boleh. Biasanya mode ini digunakan untuk penggunaan yang rendah semasa mesyuarat atau melayari internet.

Kebiasaannya, ketika anda membuka laptop, ia akan ditetapkan pada mode Default. Ia boleh digunakan semasa anda sedang bekerja, bermain dan banyak lagi. Tetapi untuk bermain game yang lebih berat, saya recommend anda untuk menggunakan mode Extreme dan Turbo. Dengan menggunakan mode Extreme, anda akan bermain dengan lebih lancar kerana CPU dan GPU telah overclock untuk memberikan prestasi yang lebih bagus.
Jika mode Extreme masih tidak cukup untuk membuat anda terpegun, di sini lah mode Turbo beraksi dengan memberikan anda prestasi yang sudah pasti lancar. CPU, GPU dan kipas akan bekerja lebih keras untuk memastikan anda bermain game dengan gembira.
Cooling

Predator Helios 300 2022 menggunakan AeroBlade 3D Fan Technology generasi kelima dan Liquid Metal Thermal Grease pada CPU. Jadi, anda tidak perlu risau tentang sistem penyejukan laptop ini. Semasa saya menggunakan laptop ini untuk pelbagai kerja dan bermain, saya tidak rasa panas pada bahagian keyboard tetapi anda akan rasa sedikit panas pada bahagian kiri atas kerana disitulah terletaknya sistem cooling laptop ini.

Bercakap tentang kipas, bilahnya diperbuat daripada logam yang nipis dan mempunyai sebanyak 89 bilah. Reka bentuknya pula datang dengan penuh bergerigi untuk meningkatkan aliran udara. Jika nak dibandingkan dengan kipas laptop biasa, ia memberikan 55% lebih banyak dalam pemindahan haba tetapi anda perlu menggunakan mode Turbo.
Apabila membuka mode Turbo, sudah pasti kipas akan mencapai 7000rpm dan menghasilkan bunyi seperti hujan. Jika, anda tidak mahu rasa terganggu dengan bunyi itu, anda boleh menggunakan headphone.
Bateri

Laptop ini dilengkapi mempunyai bateri sebanyak 90Whr sahaja. Ia akan bertahan selama 4 jam sahaja walaupun dengan penggunaan biasa sahaja. Pada saya, laptop gaming tidak perlu ada bateri yang besar kerana anda akan bermain dengan menggunakan pengecas juga akhirnya.
Walaupun begitu, pengecas yang didatangkan cukup laju untuk mengecas laptop ini. Daripada 17% bateri untuk ke 83%, ia akan mengambil masa selama sejam. Pengecas yang disediakan adalah Adapter 230W AC.
Kesimpulan

Reka bentuk baru Predator Helios 300 adalah lebih ringkas dengan reka bentuk port I/O yang cukup berspesifikasi tinggi. Skrin 2K disertakan dengan refresh rate yang tinggi sudah pasti memberikan paparan yang lebih cantik dan lancar.
Tambah pula dengan Intel i7 12-gen dan NVIDIA RTX 3070 Ti, memang tidak boleh disangkal lagi. Gabungan CPU dan GPU ini akan memberikan peningkatan prestasi yang ketara dan berjalan dengan seimbang walaupun bermain game dalam masa yang lama.

Walau bagaimanapun, bunyi yang dihasilkan oleh kipas laptop ini sangat kuat dan menganggu apabila melakukan kerja. Bila difikirkan balik, saya rasa semua laptop gaming akan menghasilkan bunyi kipas yang kuat seperti hujan. Bagi saya, situasi seperti ini tidak perlu dipandang dengan begitu serius kerana anda sudah mendapat prestasi yang tinggi dan membuat kerja dan bermain game dengan begitu seronok.

Jadi, jika anda ingin bekerja atau bermain game, saya rasa laptop ini tidak akan memberikan sebarang masalah yang serius. Abaikan pada bunyi kipas dan fokuskan kepada spesifikasi tinggi yang disediakan. Saya pasti anda akan jatuh cinta pada Predator Helios 300 2022. Untuk spesifikasi penuh, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post