Xenoblade Chronicles 3 merupakan entri terbaru dalam siri dan terikat pada penceritaan dalam game terdahulu. Jadi, kalau ada antara anda yang teringin nak main Xenoblade 3, main dahulu game yang pertama. Kalau sekilas pandang, Xenoblade 3 kelihatan serupa dengan game keduanya, tetapi nampaknya kami silap kerana banyak juga penambahbaikan yang diletakkan oleh Monolith Soft kepada game ini. Nak tahu apa yang menariknya Xenoblade Chronicles 3? Teruskan baca review daripada kami!
Penceritaan
Walaupun game ini sekuel kepada seluruh siri ini, tetapi boleh sahaja anda mainkan game tersebut macam game JRPG yang lain. Ia memang menceritakan sesuatu yang baru tetapi kalau boleh mainlah game yang terdahulu. Barulah dapat tahu konteks yang lebih mendalam tentang dunia Xenoblade.
Anda akan dibawa ke dunia Aionios yang musnah akibat daripada perang yang berpanjangan antara dua negara iaitu Keves dan Agnus. Setiap tentera daripada negara tersebut telah dijadikan senjata hidup, di mana mereka hanya mempunyai jangka hayat terhad selama 10 tahun. Kisah ini tertumpu pada perjalanan enam watak utama yang diketuai oleh dua protagonis utama iaitu Noah dan Mio. Mereka berdua ini adalah “Off-seer” yang memikul tanggungjawab untuk mengusir jiwa tentera yang kecundang dengan bermain seruling. Noah yang ditemani oleh sahabat rapatnya, Lanz dan Eunie manakalah Mio pula mempunyai rakan seperjuangnya, Sena dan Taion. Selain itu, ada bersama mereka juga ialah Nopon bernama Riku dan Manana.
Yang menariknya ialah, Noah berasal daripada Keves manakala Mio pula daripada Agnus. Mereka yang sepatutnya menjadi musuh antara satu sama lain telah bekerjasama selepas satu insiden yang melibatkan pembebasan Ouroboros Stone yang memberikan mereka kuasa untuk menjadi “Ouroboros”, makhluk berkuasa yang terhasil daripada Interlink atau senang cerita dua orang yang mempunyai kuasa yang sama. Selepas itu, mereka berdua telah didedahkan dengan kewujudan Moebius dengan organisasinya, di mana mereka sebenarnya musuh sebenar serta penyebab peperangan antara Keves dan Agnus. Kini, mereka perlu mencari jawapan dengan menjelajah ke “City” di Swordmarch.
Senang cerita, Xenoblade Chronicles 3 memberikan sebuah penceritaan yang hebat, lebih-lebih lagi dengan perkembangan yang diberikan kepada watak yang sangat natural. Dengan setiap interaksi antara watak yang masing-masing mempunyai jangka hayat yang pendek, mereka ingin meninggalkan sesuatu pada dunia tersebut. Hubungan antara watak juga ditulis dengan baik berbanding entri yang lalu. Ditambah dengan cutscene yang berkualiti tinggi memang seronok habis ceritanya.
Pertempuran
Pertempurannya masih lagi sama seperti game terdahulu. Ianya hampir sama seperti game MMO di mana anda terus menyerang musuh sambil mengecas Arts (skill normal) dan Talent Arts (skill ultimate) yang mempunyai efek berbeza. Itu benda yang paling asas untuk diketahui semasa bertarung. Makin jauh anda bermain, semakin kompleks pertempurannya nanti. Untuk permulaan, kita mempunyai tiga class asas seperti Attacker, Tank dan Healer.
Seperti biasa, tanpa Healer memang susah untuk anda menang ketika bertarung. Attacker sahaja perlukan beberapa serangan musuh sebelum dia tumbang. Lagi dahsyat, tiada item penyembuh yang tersedia kerana kesemua benda bergantung kepada Arts. Nasib baik dalam Xenoblade 3, kumpulan parti anda sentiasa bersama dan kesemua tujuh watak akan turut berlawan.
Setiap watak mempunyai set Arts yang terikat dengan jenis senjata yang dipakai atau dipinjam daripada ahli parti yang lain. Anda juga akan boleh gabungkan dua Arts yang berbeza untuk mendapatkan damage yang lebih tinggi dan cetuskan efek berganda. Contohnya anda boleh memberikan serangan AOE sambil memberikan buff pada waktu yang sama.
Inilah salah satu kelebihan kuasa Ouroboros, di mana anda lakukan Interlink untuk gabungkan dua watak dan megubah mereka menjadi makhluk hebat. Dalam bentuk ini, anda boleh akses set Arts yang lebih berkuasa dan tidak akan mendapat sebarang damage. Tetapi ada had masa yang ditunjukkan melalui Heat Gauge, di mana anda akan menjadi Overheat dan tunggu seketika sebelum boleh berubah semula.
Chain Attack jauh lebih baik daripada entri terdahulu. Ia lebih kurang seperti All-Out Attack dalam Persona. Yang berbezanya ialah ia jauh lebih strategik kerana anda perlu mengumpul Tactical Points (TP) untuk mencapai 100% sebelum mulakan Order. Bercerita tentang Order, selepas Chain Attack dicetuskan, anda akan diberi pilihan untuk memilih Order daripada watak secara rawak. Setiap satu daripada mereka mempunyai efek yang berbeza.
Kadang-kadang agak rumit juga untuk menggunakannya kerana TP tidak begitu banyak untuk dikumpul. Jadi memang kadang-kadang Chain Attack hanya bertahan untuk satu atau dua Order sahaja. Selepas itu, anda boleh melakukan Chain Attack yang khas semasa dalam bentuk Ouroboros untuk berikan damage yang lebih hebat. Jika anda berjaya menewaskan musuh ketika masih Chain Attack, ia akan mencetuskan Overkill dan anda akan mendapat bonus EXP hasil daripada damage tambahan.
Dalam game ini, setiap Arts mempunyai efek yang berbeza tetapi hanya sesetengah daripadanya boleh dicetuskan pada posisi yang betul. Contohnya, anda boleh Break musuh apabila menyerangnya di sebelah mereka. Efek Break tersebut tidak akan diberikan jika anda menyerang dari depan atau belakang. Nasib baik ada penunjuk kecil atas Arts anda, Jadi senanglah nak tentukan posisi yang betul apabila lock musuh tertentu. Ia juga penting kerana satu efek kecil mampu memberikan sesuatu yang lebih besar. Contohnya Break merupakan komposisi untuk dua kombo utama yang boleh anda lakukan. Senang cerita, ianya seperti dibawah:
- Break > Topple > Daze > Burst
- Break > Topple > Launch > Smash
Setiap kombo yang berjaya boleh memberi damage yang besar, tetapi mencari Arts yang sesuai untuk memenuhi semua gubahan tidaklah mudah sehingga perlu bergantung pada Hero, yang membawa kita kepada ciri besar seterusnya dalam Xenoblade Chronicles 3.
Seperti yang ditulis pada awal review, anda boleh membawa tujuh watak dalam parti, tetapi kita cuma ada enam watak utama sahaja. Untuk pengetahuan anda, slot terakhir parti diberikan kepada Hero. Senang cerita, mereka ialah pengganti Blade dalam Xenoblade Chronicles 2. Lebih menarik lagi, Hero ini jauh lebih berguna kerana anda tidak perlu grind kit mereka atau naikkan chart affinity jika dibandingkan dengan Blade. Mereka juga mempunyai gaya pertempuran sendiri dan tersedia sebagai class unik yang juga boleh anda tetapkan pada enam watak utama. Satu lagi kelebihan Ouroboros ialah mereka boleh meminjam gaya pertarungan daripada watak lain. Jadi tidak mustahil untuk anda menjadikan Noah sebagai watak Tank yang menggunakan pedang dan perisai.
Selain itu, keseluruhan penampilan anda juga boleh berubah bergantung pada class watak. Jadi, kalau teringin Noah berpakaian seperti Mio pun boleh. Ikut selera masing-masing. Stat watak juga boleh dinaikkan dengan menggunakan aksesori dan gem. Tetapi ia berguna mengikut situasi juga. Terdapat juga tetapan untuk mengubah kombinasi Arts, naikkan stat Ouroboros daripada Soul Tree (skill tree) dan beberapa pelarasan lain.
Apapun, sistem kombatnya memang kami suka. Walaupun masih lagi sama seperti game terdahulu, tetapi ia mempunyai banyak tambahan dan penambahbaikan padanya. Tetapi tempo bermain itu masih lagi lambat, walaupun berlawan dengan musuh yang lebih lemah. Kualiti AI dalam parti juga boleh tahan terutamanya semasa follow-up kombo atau hidupkan semula ahli parti lain. Sudah tentu kadang-kadang AI itu tidak membantu juga sehingga terpaksa mengawalnya secara manual. Kan bagus kalau ada satu command untuk healer, senang nak jaga ahli parti lain.
Penerokaan
Untuk pengetahuan anda, eksplorasi merupakan salah satu fokus utama game Xenoblade. Walaupun ia bukanlah open-world, ia masih lagi sebuah dunia yang bernyawa dan terdapat banyak benda yang boleh dibuat dan diterokai. Anda boleh berjumpa Hero baru, Ferronis Hulks dan Fabricator di seluruh Aionios. Fasiliti dunia itu juga memberikan akses kepada sumber yang penting.
Selain daripada menentang musuh, sebagai Off-seer, Noah dan Mio boleh membantu roh askar yang terkorban. Ini akan menaikkan affinity dengan koloni askar ini. Lagi satu, hati-hati semasa mengembara kerana level musuh bukan mengikut watak. Jadi peluang besar untuk anda bertemu dengan musuh yang lebih hebat pada awal game.
Bercerita tentang raksasa, mereka ini terbahagi kepada empat kategori iaitu normal, elite, unique dan lucky. Anda boleh melihat simbol pada indikator level-nya. Raksasa Unique paling susah untuk dikalahkan walaupun level anda sama dengan mereka. Manakala Elite pula versi Unique yang lebih mudah. Kalau anda inginkan banyak ganjaran kenalah buru raksasa Lucky pula. Bukan setakat EXP sahaja yang boleh ditambah, kadang-kadang anda boleh mendapat bonus SP semasa meneroka tempat baru.
Segala bonus EXP yang anda kumpulkan boleh digunakan untuk satu lagi kaedah untuk naikkan level. Ia hanya boleh diakses melalui Rest Spot, di mana anda boleh kraf gem, memasak, bincang topik baru, dan juga basuh pakaian watak. Kalau anda meneroka dengan lama, pakaian watak juga boleh kotor. Jadi sekali-sekala, basuhlah pakaian mereka.
Sistem Colony dan side quest
Tentera Keves dan Agnus ditempatkan di pelbagai koloni yang berbeza, di mana mereka mempunyai mekanisme gergasi, Ferronis yang boleh menyerap daya hidup askar yang terkorban ke dalam Flame Clock. Ia juga mempunyai ciri utama yang datang dengan keseluruhan ekosistem Colony yang membolehkan anda untuk berinteraksi dengan komuniti mereka dan membina kepercayaan dengan membantu mereka. Anda juga boleh bercakap dengan NPC, hantar soldier husk, menderma sumber dan menerima side quest untuk naikkan rank anda.
Side quest dia tidaklah begitu menyeronokkan, tetapi nasib baik ada quest Hero. Ia lebih menarik kerana mempunyai kaitan pada menceritaan game ini. Lebih penting sekali, anda boleh rekrut mereka untuk masuk ke parti tetap dan dapat menggunakan class unik mereka.
Aspek teknikal
Game ini memang tiada masalah cuma platform-nya itu yang memberikan masalah kepada game. Kadang-kadang perasan juga FPS jatuh apabila melawat ke tempat yang sibuk atau pertempuran di mana macam-macam benda yang berlaku. Tetapi itu masih lagi okay, paling tidak tahan apabila bermain menggunakan mode dock. Prestasi game tidaklah selancar seperti bermain dengan mode handheld. Monolith juga nampaknya sukar untuk kekalkan kualiti grafik Xenoblade Chronicles 3 kerana banyak kali juga nampak grafik kabur yang hampir sama seperti tekstur model PS1.
Satu lagi yang membuatkan kami tidak puas hati ialah dialek British yang digunakan pada game. Walaupun bermain dalam alih suara Jepun, tetapi dialognya masih lagi membuatkan kami “cringe” apabila membacanya. Kalau itu sahaja tidak mengapa, tetapi ada juga beberapa dialog yang tidak diterjemahkan dengan betul. Nasib baik kami faham bahasa Jepun sedikit.
Kesimpulan
Senang cerita, Xenoblade Chronicles 3 memang boleh puaskan hati ramai peminat JRPG. Bukan sahaja penceritaannya seronok, ia juga lebih baik berbanding entrinya yang terdahulu. Memang sebuah sekuel yang mantap daripada Monolith Soft. Tetapi kalau grafik dan terjemahannya boleh diperbaiki, mungkin ia boleh jadi satu game yang cukup sempurna untuk francais ini. Jadi peminat JRPG sekalian, jangan ragu-ragu untuk main Xenoblade 3 ini!
@gamersantaimy
The Review
Xenoblade Chronicles 3
PROS
- Penceritaan dan watak terbaik dalam siri
- Sistem class yang fleksibel
- Soundtrack mantap
- Banyak penambahbaikan dan mekanik unik baru
CONS
- Masih lagi mempunyai masalah grafik
- Kadang-kadang terjemahan Inggeris berbeza daripada bahasa Jepun
Discussion about this post