Untuk meraikan dua dekad dalam dunia gaming, ASUS Republic of Gamers (ROG) melancarkan koleksi khas bertajuk “Edition 20“. Walaupun koleksi ini merangkumi komponen PC ultra high-end seperti RTX 5090, ROG tidak melupakan kelengkapan gaya hidup dan travel untuk para gamer yang sentiasa aktif.
Hari ini, kita akan unboxing dua produk paling mencuri tumpuan daripada koleksi ini yang dah pun berada di pasaran Malaysia: ROG SLASH Backpack Edition 20 dan ROG SLASH Hard-Case Luggage Edition 20.
ROG SLASH Backpack Edition 20 (RM629)

Sebaik sahaja beg galas ini dikeluarkan dari kotak, gabungan warna hitam dan translucent-gold terus mencuri tumpuan. Berbanding aksen neon cyan dan pink pada beg Slash dahulu, ROG kali ini memilih penampilan yang lebih kemas dan premium, lengkap dengan logo emas serta butiran khas ulang tahun.

Diperbuat daripada fabrik PU yang kalis air dan tahan koyak, beg ini terasa sangat kukuh. Anda tak perlu risau kalau terperangkap dalam hujan lebat sewaktu berjalan dari stesen LRT ke pejabat.

Sebagai versi baharu bagi SLASH Backpack 4.0 yang popular, ia menawarkan kapasiti 26L yang sangat lapang. Reka bentuk roll-top yang fleksibel membolehkan kita menggulungnya ke bawah untuk kegunaan harian ke pejabat, atau membukanya untuk memuatkan lebih banyak pakaian dan barang semasa bercuti hujung minggu. Di bahagian atas, gancu magnetik premium FIDLOCK boleh diketik dengan mudah menggunakan sebelah tangan, dan terkunci kemas sehinggalah kita menarik “quick-release tab”.

Di bahagian dalam, ruang simpanan laptop berpadding tebal boleh memuatkan laptop gaming bersaiz besar sehingga 18 inci, seperti ROG Strix SCAR 18. Pembahagi dalaman memastikan power brick, mouse, kabel, dan peranti handheld tersusun rapi tanpa calar. Jika perlu mengeluarkan laptop dengan cepat di kafe atau semasa pemeriksaan keselamatan lapangan terbang, zip akses di bahagian tepi membolehkan kita mencapainya tanpa perlu membuka gulungan utama di atas.

Bagi memastikan keselesaan sewaktu berjalan jauh, bahagian belakang dilengkapi padding mesh tebal yang mesra udara, lengkap dengan “chest strap” boleh laras untuk mengagihkan beban secara seimbang di bahu.

ROG SLASH Hard-Case Luggage Edition 20 (RM1,199)

Beralih kepada bagasi hard-case, bagasi carry-on bersaiz 20 inci ini direka untuk penerbangan dan perjalanan singkat. Tarikan utama adalah “stainless gold steel plate” yang dipasang menyerong di bahagian hadapan, memberikan rupa eksklusif bagaikan barang koleksi.

Kerangka luarnya diperbuat daripada 100% polikarbonat, dikukuhkan lagi oleh bingkai aluminium serta pelindung bucu tahan lasak untuk menahan hentaman sepanjang perjalanan. Di bahagian bawah, roda skateboard 360 darjah berputar sangat lancar di atas jubin lapangan terbang mahupun jalan bertar sambil menyerap gegaran. Kunci dalaman yang bertaraf TSA pula memastikan barang peribadi selamat tanpa sebarang masalah di kaunter pemeriksaan.

Apabila zip dibuka, ruang dalaman memang direka khas untuk penggemar teknologi. Kita akan dapat ruang kompartmen teratur yang memastikan laptop, konsol handheld seperti ROG Ally, controller, dan pengecas kekal tersusun serta tidak beranjak. Di bahagian tengah pula terletak lencana khas ulang tahun ke-20; satu butiran kemas yang menambah seri setiap kali bagasi dibuka.

Kedua-dua produk ini boleh didapati di kedai rasmi ASUS ROG dan pengedar dalam talian berdaftar di seluruh Malaysia.



![[BIC2026] Selepas Fasa Bersama Sony, Misi Shuhei Yoshida Tertumpu Pada Memartabatkan Game Indie Global](https://cdn.gamersantai.com/2026/08/SHUHEI-YOSHIDA_BIC-GROUP-INTERVIU_FI-350x250.jpg)





Discussion about this post