Kisah dari Tsushima kini berganti, seiring dengan hembusan angin yang membawakan hikayat seorang wira yang baharu. Sucker Punch Productions kini bersedia untuk membawa kita mengembara ke Ezo pada kurun ke-17 menerusi Ghost of Yōtei, sebuah sekuel kendiri selepas Ghost of Tsushima di PS5.
Bagi meraikan pelancarannya, Sony telah mempersembahkan sebuah perkakasan yang cukup memukau; bukan sekadar konsol gaming biasa, malahan turut diangkat sebagai sebuah hasil seni.

Baru-baru ini, kami telah menerima set rasmi untuk Malaysia, iaitu PS5 Console – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition Bundle bersama aksesori-aksesori pelengkapnya. Jom kita lihat dengan lebih dekat apakah yang menjadikan koleksi ini begitu istimewa dan wajib dimiliki oleh para peminat.

Sebelum meneliti perkakasannya, kita selami dahulu dunia yang menjadi sumber ilham di sebaliknya. Ghost of Yōtei, yang dirancang untuk menemui peminat pada 2 Oktober 2025, mengambil tempat 300 tahun selepas pengembaraan Jin Sakai berakhir.
Kali ini, kita akan mengikuti watak utama yang baharu, seorang pahlawan wanita bernama Atsu, dalam misinya menuntut bela atas tragedi yang menimpa keluarganya.

Daya tarikan visual game ini banyak diilhamkan oleh keindahan pemandangan alam yang didominasi oleh Gunung Yōtei.
Pihak Sucker Punch telah mengambil inspirasi daripada seni warisan Jepun seperti kintsugi (teknik membaiki seramik yang pecah dengan menggunakan emas) dan sumi-e (seni lukisan dakwat) bagi mengetengahkan tema-tema seperti kecekalan, proses penyembuhan, serta kebijaksanaan dalam menghargai keindahan di sebalik ketidaksempurnaan—dan tema-tema inilah yang membentuk pengembaraan Atsu.
Tumpuan Utama – PS5 Console – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition
Sebaik sahaja kotak dibuka, ternyata ia bukanlah sebuah PS5 Slim standard. Konsol ini sebaliknya tampil dengan reka bentuk yang pastinya akan mencuri perhatian.

Motif rekaannya diilhamkan oleh seni kintsugi, yang menjadi simbolik kepada perjalanan Atsu dalam memulihkan semangatnya selepas melalui hidup duka. Jalur-jalur keemasan menghiasi permukaan putih pada penutup konsol, seakan-akan sedang mencantumkan semula seramik porselin yang retak.
Corak ini bukanlah rekaan semata-mata, kerana ia menggambarkan semula kesan gaya kintsugi yang terdapat pada topeng ‘Ghost’ yang dipakai oleh Atsu di dalam game.

Sebagai pelengkap rekaan, imej megah Gunung Yōtei dilukis dengan gaya catan dakwat sumi-e. Di sekelilingnya pula terdapat sapuan berus halus serta ikon-ikon yang akan dikenali oleh pemain sebagai simbol yang dilukis tangan oleh Atsu pada petanya.
Sebagai sentuhan akhir yang premium, pada bahagian belakang penutup atas, terdapat juga cap mohor khas pengeluar yang diukir dengan simbol-simbol ikonik PlayStation.

Di dalam Ghost of Yōtei Gold Limited Edition Bundle ini, anda akan menerima:
- Konsol PS5 Slim Edisi Terhad (dengan pemacu cakera) yang dihiasi rekaan kintsugi dan Gunung Yōtei.
- DualSense Edisi Terhad dengan rekaan yang sepadan.
- Satu baucar digital untuk memuat turun game penuh Ghost of Yōtei Edisi Standard. (Peringatan: Tiada cakera fizikal permainan disertakan).
- Kandungan bonus untuk pra-tempahan, merangkumi satu topeng eksklusif untuk Atsu dalam game dan tujuh avatar PSN.
- Aksesori lazim: Stand, kabel HDMI, kabel kuasa AC, dan kabel USB-C.
DualSense Yang Direka Khas Untuk ‘Ghost’

DualSense yang didatangkan bersama bundle ini turut tampil memukau. Ia membawakan reka bentuk kintsugi keemasan yang sama menarik, bagi memastikan keseluruhan setup gaming anda kelihatan seragam. Namun, tarikan utamanya terletak pada touchpad, yang memaparkan siluet Atsu.


Sekiranya anda hanya berminat dengan rekaan unik alat kawalan ini tanpa perlu membeli konsol baharu, atau mungkin memerlukan DualSense tambahan, ia turut boleh didapati secara berasingan.
Penutup Konsol PS5 Juga Dijual Berasingan

Bagi pemain yang sudah pun memiliki konsol, Sony dan Sucker Punch tidak melupakan anda. Anda masih berpeluang menghiasi set gaming anda dengan sentuhan dunia Ezo melalui aksesori-aksesori yang ditawarkan secara individu.

PS5 Console Covers – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition boleh didapati untuk kedua-dua model, iaitu PS5 Slim dan PS5 Pro. Setiap penutup ini didatangkan dengan rekaan kintsugi dan cap mohor pengeluar yang sama seperti yang terdapat pada konsol di dalam bundle.
Harga Rasmi dan Ketersediaan di Pasaran Malaysia

Untuk para peminat di Malaysia, koleksi edisi terhad ini ditawarkan pada harga rasmi seperti berikut:
- PS5 Console – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition Bundle: RM 2,729
- PlayStation 5 (slim) Console Cover – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition: RM 309
- PlayStation 5 Pro Console Cover – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition: RM 309
- DualSense Wireless Controller – Ghost of Yōtei Gold Limited Edition: RM 419
Peminat di seluruh Malaysia boleh mula membuat pra-tempahan untuk himpunan konsol dan aksesori edisi istimewa ini bermula 4 September 2024 menerusi pengedar sah PlayStation yang terpilih. Perkakasan edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Oktober 2025, bersekali dengan tarikh pelancaran rasmi permainannya.
Untuk maklumat lanjut, layari SINI.









Discussion about this post