Sekiranya anda menikmati pelbagai jenis permainan video dan sedang mencari tetikus gaming premium tanpa wayar, saya sarankan anda mencuba Razer Naga Pro. Apa yang unik tentang peranti ini adalah kebolehannya untuk menukar thumb rest bagi menampung pelbagai genre permainan.
Pada masa yang sama, ia menawarkan prestasi yang cukup hebat, aktiviti tanpa wayar, dan sebuah perisian yang mantap. Tetapi pada nilai harga RM709, ia mungkin menjadi “turn-off” kepada beberapa orang di luar sana, terutama lagi kerana reka bentuknya yang kurang selesa. Ini bukan tetikus yang sesuai untuk semua orang, tetapi bagi mereka yang suka bermain MMO, MOBA dan FPS, Razer Naga Pro adalah tetikus gaming terbaik untuk anda. Mari kita mulakan ulasan ini!
Reka bentuk
Razer Naga Pro menampilkan luaran hitam yang ditonjolkan oleh pencahayaan Razer Chroma RGB. Ia mempunyai ukuran 4.7 x 2.9 x 1.7 inci dan berat 117 gram, jadi ia sedikit lebih tebal dan berat daripada tetikus lain dalam siri Razer. Palm rest menampilkan logo Razer dengan lampu RGB termasuk roda tatal dan dua butang DPI di tengah.
Fokus utama Razer Naga Pro adalah di bahagian kiri, yang boleh dilengkapi dengan tiga panel berbeza. Kita mempunyai panel 2 butang yang biasa, panel 6 butang, dan panel 12 butang. Semasa mengeluarkan panel ini, anda akan menemui USB Receiver 2.4GHz yang terletak di bawah. Panel 12 butang dilengkapi dengan pencahayaan RGB, tetapi malangnya, panel enam butang tidak. Bahagian kanan tetikus pula mempunyai tempat letak jari manis, dan di bawahnya terdapat panel yang boleh dicengkam untuk jari kelingking. Tetikus ini juga dilengkapi input untuk pengecasan microUSB.
Kita terbalikkan Razer Naga Pro, dan lima butang untuk menukar profil Razer Naga Pro didedahkan. Sebuah suis juga boleh dijumpa yang boleh menukar kesambungan tetikus (2.4GHz, Bluetooth atau berwayar). Ia datang dengan hab USB Type-A ke microUSB, yang membolehkan anda menyambungkan USB tanpa wayar 2.4GHz dengan mudah atau terus sambung dan bermain.
Prestasi
Razer Naga Pro menunjukkan prestasi yang sangat baik semasa bermain, dan berkat panel yang dapat ditukar, ia sesuai untuk pelbagai genre permainan seperti FPS, MOBA dan MMO.
Tetapi banyak butang pun tidak guna jika peranti terlalu “lag” kan? Nasib baik lah, HyperSpeed Wireless ada untuk membantu. Saya menggunakan vsynctester.com untuk mengukur “lag” ini dan sejujurnya saya sangat kagum. Ujian mencatat kepantasan kursor bertindak balas terhadap pergerakan tetikus anda. Dalam mod berwayar, saya mendapat nilai purata 6ms manakala HyperSpeed Wireless berjaya mencatat 6.1ms. Itu adalah perbezaan sebanyak 0.1ms! Bluetooth lebih perlahan sebanyak 4 hingga 6ms tetapi ini tidak akan mempengaruhi kerja seharian.
Sensor optik Naga Pro juga telah diperbaharui ke sensor Razer Focus+ 20,000 DPI dengan penjejakan 650 IPS yang jauh melebihi apa yang mungkin diperlukan oleh kebanyakan pengguna. Bagi mereka yang benar-benar ingin mencabar diri atau mendapat kelebihan dalam dunia permainan kompetitif, Naga Pro mungkin boleh memberikan pengalaman lancar dan tepat yang diperlukan oleh anda.
Fitur Razer Synapse 3
Seperti adik-beradiknya yang lain, Razer Naga Pro dikuasakan oleh aplikasi Razer Synapse yang dilengkapi dengan teknologi canggih. Kerana penambahan panel 12 butang, kita ada hingga 20 butang yang dapat dikonfigurasikan melalui tab Customize di aplikasi Razer Synapse. Tab Performance merangkumi tetapan sensitivity, yang membolehkan anda mengubah DPI antara 100 hingga 20,000 dalam 5 peringkat. Di tab Lighting, anda boleh mengubah suai tiga kawasan pencahayaan utama dengan pencahayaan asas, seperti Breathing, Spectrum dan lain-lain, atau masuk ke Razer Chroma Studio untuk pilihan yang lebih terperinci. Dua tab lain dalam aplikasi ini membolehkan anda menentukan mod kalibrasi dan kuasa tetikus.
Jangka hayat bateri
Razer Naga Pro direka untuk bertahan hingga 150 jam pada Bluetooth dan hingga 100 jam pada Razer HyperSpeed Wireless, yang berinput USB 2.4GHz. Perlu diingat bahawa tempoh ini hanya dicapai tanpa pencahayaan kerana bateri akan habis dengan lebih cepat. Ini bermaksud anda boleh bermain selama 5 jam sehari selama 20 hari berturut-turut, atau 10 jam sehari selama 10 hari jika anda mahu. Saya memakai tetikus ini selama beberapa hari dengan pencahayaan malap dan ia jadi bahawa pencahayaan, walaupun minimum, memberi kesan besar pada jangka hayat bateri.
Pendapat
Razer Naga Pro menawarkan banyak ciri-ciri menarik, seperti panel yang boleh ditukar, prestasi hebat dan perisian yang padat, tetapi dengan harga RM709, adakah ia berbaloi? Bagi saya, ia kurang berbaloi. Tetikus juga tidak selesa seperti pilihan lain dalam siri Razer. Sekiranya anda mengutamakan keselesaan berbanding fungsi, Razer Basilisk Ultimate adalah tetikus pilihan. Walaupun masih mahal pada harga RM699, tetapi ia jauh lebih ringan dan lebih selesa daripada Razer Naga Pro.
Secara keseluruhan, Razer Naga Pro adalah pilihan yang tepat untuk “gamers” yang sentiasa bermain di antara beberapa permainan video yang kompetitif dan selalu menginginkan kelebihan tanpa membawa tiga tikus yang berbeza. Jika anda berminat peranti ini, sila layari halaman rasmi mereka di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post