ASUS telah mengumumkan ZenBook 14 terbaru bernama ZenBook 14 UX425 dan bagi mereka yang keliru, ia lebih kurang mirip dengan ZenBook 14 UX434 tetapi mempunyai beberapa perubahan penting. Kedua-duanya kelihatan hampir sama namun jika anda kaji dengan lebih mendalam, kita akan melihat perbezaan-perbezaan antara kedua-duanya.
Pertama sekali yang anda patut tahu ialah ZenBook 14 UX425 direka dengan fokus yang lebih kuat pada aspek mudah alih. Ini berbeza dengan ZenBook 14 UX434 yang lebih mementingkan prestasi keseluruhan. ASUS telah mengecilkan lagi saiz dan berat untuk menjadikan ZenBook 14 UX425 lebih padat dan lebih ringan daripada semua peranti ZenBook. Mari kita selami ulasan ini!
Reka bentuk padat dan sambungan baru
Dibandingkan dengan siri ZenBook lain, reka bentuk ZenBook 14 UX425 adalah lebih kecil, nipis, dan ringan serta hadir dalam warna Pine Grey atau Lilac Mist. Satu perkara yang baru tentang reka bentuk ZenBook 14 UX425 adalah engsel ErgoLift. Apabila membuka peranti, engselnya terbuka dengan cara mengangkat notebook pada sudut 150 darjah. Ini menambah baik kedudukan menaip dan juga menaikkan casis untuk penyejukan yang lebih lancar. Daripada segi ketahanan, casisnya diperbuat daripada bahan aluminium dan memenuhi standard MIL-STD-810 yang ketat.
ZenBook UX425 juga mempunyai paparan 14-inci IPS 1920×1080 FHD dengan bezel nipis dan nisbah badan-ke-skrin sebanyak 90%. Selepas menonton skrin untuk beberapa beberapa hari, saya mendapati bahawa paparannya agak bagus tetapi tidak mempunyai kehalusan, kepekatan, dan kecerahan yang seorang content creator mungkin inginkan. Bagi mereka yang ingin “video call”, jangan risau. Walaupun bezel nipis, webcam masih terletak di atas skrin.
Selain itu, sambungan port I/O juga meningkat. Kini, ia ada sokongan untuk Wi-Fi 6 dan paling penting, pengecasan USB-C dan Thunderbolt 3. Di sebelah kiri terdapat dua port USB-C yang menyokong Thunderbolt 3 dan port HDMI. Berikut adalah semua port:
- 2x USB-C (Thunderbolt 3)
- 1x USB-A (USB 3.2 Gen 1 – hingga 5Gbps)
- 1x HDMI 1.4
- 1x kad microSD
Memandangkan ZenBook 14 UX425 sangat nipis, saya agak terkejut untuk melihat ASUS menyumbat begitu banyak port I/O. Ia pasti lagi lengkap jika ada bicu audio 3.5mm, malangnya pengguna memerlukan headset wireless atau USB-C untuk mendengar muzik.
Papan kekunci dan Trackpad
Papan kekunci dan trackpad adalah dua bahagian terbaik di ZenBook 14 UX425. Sekiranya anda suka papan kekunci dengan “key travel” yang panjang (jarak penekanan kekunci), papan kekunci ZenBook 14 UX425 amat sesuai kerana ASUS mendakwa ia mempunyai jarak key travel 1.4mm. Susun aturnya juga kemas tetapi kolum tambahan di sebelah kanan mungkin memerlukan sedikit masa untuk kita biasakan diri. ASUS juga memasukkan beberapa kekunci “shortcut” yang cukup berguna. Sebagai contoh, F9 akan mengunci sistem untuk menjaga privasi, F10 memadamkan webcam, F11 melancarkan utiliti tangkapan skrin, dan F12 melancarkan aplikasi MyASUS yang memberi gambaran keseluruhan zenbook.
Saya amat minat dengan fitur trackpad dan berkat lapisan atas kaca dan pemacu Windows Precision, ia sangat tepat, lancar, dan responsif. Trackpad juga dilengkapi teknologi ASUS NumberPad 2.0, yang membolehkan trackpad menjadi pad nombor pada masa yang sama. Tekan ikon di kanan atas trackpad untuk melancarkan pad nombor. Ikon di sudut kiri atas akan bertukar antara dua tahap kecerahan.
Satu perkara yang menarik semasa menggunakan pad nombor adalah anda boleh terus menggunakan pad nombor dan trackpad pada satu masa yang sama. Perisian mengenali tindakan jari dan dapat mengetahui bila kita menggunakan pad nombor atau bila kita menavigasi. Ada beberapa kali ketika kawalan bercampur-campur tetapi ia selalunya akan berfungsi tanpa banyak masalah.
Spesifikasi dan Prestasi
ZenBook 14 UX425 memanfaatkan kekuatan pemproses Intel Core generasi ke-10 terkini untuk memberikan prestasi yang lebih pantas, lebih lancar dan lebih responsif bersama 8GB RAM untuk membantu pengguna menyelesaikan tugas harian.
Ia juga mempunyai storan 512GB SSD PCIe yang memastikan boot time cepat dan load time tanpa lengah. Dengan WiFi 6 terbaru (802.11ax), pengguna dapat menikmati kelajuan tanpa wayar sehingga 3x lebih cepat daripada WiFi 5, dengan kapasiti rangkaian 4x lebih banyak dan latensi hingga 75% lebih rendah.
GPU Intel Iris Plus pula memberikan prestasi yang cukup baik untuk tugas seharian dan aktiviti gaming ringan. Di bawah adalah spesifikasi ringkas tentang model ZenBook 14 UX425 yang kami uji dan hasil ujian benchmark.
ASUS ZenBook 14 UX425 | |
Paparan | 14-inci, 1920 x 1080 FHD |
CPU | Intel Core i7-1065G7 |
Memori | 8GB |
Storan | 512GB SSD |
GPU | Intel Iris Plus Graphic |
Prestasi umum ZenBook 14 UX425 agak baik dan sesuai berdasarkan spesifikasinya. Yang menariknya di sini ialah kekurangan memori tidak menghalang atau melambatkan prestasi. Walau bagaimanapun, prestasi grafik tidak beberapa memuaskan. Di ujian 3DMark, ZenBook 14 UX425 mencatatkan skor 642 yang sebenarnya agak rendah. Jurang skor antara ZenBook dan laptop gaming moden (2020) mencapai sehingga lebih 2000. Jika prestasi grafik dan gaming amat penting bagi anda, maka perlu diperhatikan bahawa anda memerlukan GPU yang jauh lebih baik.
Valorant
- Tidak dapat bermain pada tetapan maksimum;
- FPS akan turun;
- Tidak sesuai untuk permainan yang kompetitif;
- Masih boleh bermain pada tetapan terendah;
Mafia II: Definitive Edition
- Tetapan tinggi tidak dapat dimainkan;
- Tetapan rendah dapat dimainkan, tetapi kadar rendering dan frame rate turun terlalu banyak;
- Sceen tearing;
- boleh dimainkan tetapi pengalaman tidak menyeronokkan;
3DMark Time Spy
PCMark 10
Cinebench R20
Bateri tahan lama
Jangka hayat bateri adalah aspek terunggul ZenBook 14 UX425. Tersedia dengan bateri 67-watt yang menawarkan jangka hayat bateri selama 22 jam, ia membolehkan pengguna bekerja seharian tanpa mengecas. Bersama jangka hayat bateri yang lama, ZenBook ini menawarkan fungsi “fast-charge” yang mengecas bateri daripada 2% hingga 60% hanya dalam waktu kurang dari 50 minit.
Sokongan USB-C® Easy Charge bermaksud bahawa ZenBook dapat digunakan dengan pelbagai pengecas USB-C standard (5V-20V). Pengguna boleh menikmati pengecasan cepat dengan mana-mana pengecas bersertifikat PD (Power Delivery) termasuk power bank, dan mengecas peranti dalam perjalanan tidak kira semasa di dalam kereta api, di dalam kapal terbang!
Pendapat
ZenBook 14 UX425 digambarkan sebagai versi ZenBook yang nipis dan ringan dengan prestasi grafik yang kurang memuaskan tetapi mempunyai jangka hayat bateri yang lama. Bagi pendapat saya, jika anda inginkan peranti yang mudah dibawa untuk urusan kerja ringan (bukan video editing atau aplikasi berat), ZenBook 14 UX425 adalah pembelian yang sangat berbaloi. Fitur di dalam pun sangat inovatif, dengan papan kekunci yang selesa untuk menaip, dan trackpad yang cukup besar serta pad nombor maya. Penambahan pengecasan USB-C juga adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan.
Kita harus ingat bahawa ZenBook 14 UX425 bukanlah notebook yang direka untuk pengunaan kerja atau gaming berat, dan spesifikasinya cukup bagus untuk pengunaan kerja seperti kompilasi data atau pengkajian. Sambungan I/O pun cukup banyak, cuma saya sedih kerana mereka membuang bicu audio 3.5mm.
Jika anda selalu mendapati diri on-the-go dan ingin peranti yang lebih kuat daripada hayat bateri tetapi masih cukup padu untuk uruskan kerja seharian, saya amat sarankan ZenBook 14 UX425 baru yang kini dijual pada harga RM4699 manakala varian Intel Core i5-1035G1 mempunyai nilai harga RM3999! Jika berminat, sila layari FB rasmi ASUS atau halaman web ASUS ZenBook 14.
@gamersantaimy
Discussion about this post