Jika mahukan peranti yang ringan dan nipis, tapi berkuasa, komputer riba Asus ini sangat sesuai untuk anda! Asus VivoBook 15 (K513E) adalah komputer riba berkualiti yang mengikuti trend Ultrabook tanpa memaksa pengguna untuk mengeluarkan duit yang banyak.
Lebih penting lagi, ia menawarkan paparan 15.6 inci yang cukup besar serta prestasi CPU/GPU yang bagus. Selain daripada ringan, ia membuktikan dapat bersaing dengan komputer riba lain – sama ada untuk melakukan pengeditan foto mudah atau sesi “light gaming“. Inilah ulasan saya untuk Asus VivoBook 15 (K513E)!
Reka bentuk & Penampilan
ASUS VivoBook 15 K513 datang dalam tiga pilihan warna iaitu Indie Black, Transparent Silver dan Hearty Gold. Secara keseluruhan, ia mempunyai reka bentuk minimalis dengan penampilan yang elegan tetapi saya sarankan Hearty Gold untuk sesiapa yang ingin sesuatu yang lebih menarik. Menurut ASUS, ia diperbuat menggunakan campuran aloi aluminium dan plastik untuk reka bentuk yang ringan namun tahan lama. Cuma ia terasa agak plastik dan mudah meninggalkan cap jari.
Apabila membuka penutup, anda dapat melihat papan kekunci lengkap dengan Numpad dan backlighting putih, trackpad dengan pengimbas cap jari. Perlu diperhatikan bahawa kekunci anak panah agak kecil, dan kekunci Enter mempunyai garisan luaran kuning seperti komputer riba VivoBook lain. Butang kuasa pula terletak di atas kekunci Num Lock. Di bahagian bawah, peranti mempunyai dua bahagian pembesar suara, lubang udara dan empat kaki untuk membantu pengaliran udara.
Paparan
Asus VivoBook 15 menggunakan paparan IPS 15.6 inci NanoEdge FHD dengan kadar penyegaran 60Hz, sudut tontonan hingga 178°, dan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 84%. Sudut dan warna paparan agak baik tetapi sekiranya anda melakukan banyak kerja kreatif yang memerlukan ketepatan warna, ini bukanlah yang paling sesuai, kerana ia lebih kepada “basic editing“.
Selain visual yang terang, komputer riba ini juga dilengkapi dengan beberapa fitur untuk meningkatkan kualiti hidup seperti TUV Rheinland Eye Care, yang menjaga mata pengguna ketika menghabiskan masa bekerja di depan komputer riba. Asus juga masukkan teknologi Tru2Life, yang meningkatkan kejelasan, warna, dan kontras dengan memintas isyarat gambar dan video ke panel, lalu menganalisis setiap piksel dalam bingkai untuk mengoptimumkan kualiti gambar terbaik.
Papan Kekunci & Sambungan I/O
Bagi papan kekunci, saya sebenarnya amat menyukainya. Kualiti bahan amat sesuai dengan cara penulisan saya yang ganas, ia mempunyai kekunci yang responsif, dan kita mendapat Numpad yang sukar untuk dijumpai di komputer riba jenis kecil. Secara umum, ia selesa untuk digunakan tetapi pengguna lain mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kekunci anak panah yang kecil. Touchpad pun berfungsi dengan lancar (tiada apa yang istimewa) dan bersama fitur pengimbas cap jari, pengguna dapat memastikan peranti mereka selamat serta memudahkan kita untuk “login“.
Bagi sambungan I/O, anda akan melihat dua port USB Type-A dan penunjuk LED di sebelah kiri. Di sebelah kanan, anda akan melihat pembaca kad MicroSD, bicu audio 3.5 mm, port USB Type-C, port USB Type-A, port HDMI, dan port pengecasan. Kebanyakan port diletakkan di sebelah kanan komputer riba dan sekiranya saya menyambungkan komputer riba ke pelbagai periferal lain seperti monitor, pendrive, headset, dan lain-lain, saya tidak ada banyak ruang untuk gerakkan tangan dengan tetikus. Itu sahaja yang saya ingin mengadu tentang bahagian ini.
Prestasi, Benchmark & Gaming
Untuk mereka yang merisaukan prestasi, Asus VivoBook 15 mempunyai Asus Intelligent Performance Technology, atau juga dikenali sebagai AIPT. Tugasnya ialah untuk menetapkan nilai prosesor Power Limit 1 daripada 15 hingga 28 watt untuk meningkatkan prestasi keseluruhan bagi peningkatan 40%. Untuk mengaktifkannya, buka perisian MyASUS, dan ubah tetapan bateri kepada “Performance Mode“. Ia juga menjanjikan jangka hayat bateri yang lebih lama dengan penggunaan kuasa yang lebih baik, serta operasi yang lebih senyap dan suhu yang lebih sejuk dengan kipas IceBlade baru, yang mempunyai hingga 87 bilah berukuran hanya 0.2 hingga 0.3 mm.
ASUS VivoBook 15 K513 dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-1135G7, yang mempunyai Intel Iris Xe iGPU, dan NVIDIA GeForce MX350 dGPU. Untuk memori, ia mempunyai RAM 8GB DDR4 RAM 3200MHz dan 512GB Intel 660p NVMe SSD. CPU dan GPU sebenarnya sangat bagus untuk sebuah peranti “produktiviti“, tetapi anda mungkin boleh tambahkan lagi RAM untuk pengalaman yang lebih baik.
Berikut adalah beberapa benchmark yang saya jalankan di Asus VivoBook 15 K513:
Cinebench R20
3DMark
PCMark 10
Ketiga-tiga benchmarh menunjukkan prestasi sederhana atau “below-par“. Keputusan ini sebenarnya sangat jelas lagi-lagi kalau saya membandingkannya dengan CPU i7 atau i9. GeForce MX350 juga bukanlah GPU yang sesuai untuk aktiviti berat tetapi memandangkan ASUS VivoBook 15 K513 direka ke arah produktiviti, saya rasa ia cukup bagus.
Tapi bagaimanakah prestasinya dalam “gaming“? Saya menguji tiga permainan iaitu Genshin Impact, Troy: A Total War Saga, dan Rocket League. Daripada hasil kajian, saya sangat-sangat terkejut untuk melihat peranti mampu menyokong setiap permainan. Tanpa banyak masalah, Genhsin Impact mampu bermain pada tetapan sederhana dengan anggaran FPS antara 35-40. Sudah tentu, tetapan rendah adalah pilihan terbaik untuk prestasi yang optimum.
Di Troy: A Total War Saga, saya menggunakan “in-game benchmark” untuk menguji grafik permainan. In-game benchmark tersebut akan menganalisis sistem dan meletakkan tetapan yang sesuai. Selepas selesai, permainan ditetapkan hanya mampu menyokong tetapan sederhana. Untuk permainan terakhir, saya mencuba Rocket League dan tidak sangka ia boleh bermain dengan lancar pada tetapan tinggi. Ini ialah keputusan yang paling mengejutkan bagi saya.
Genshin Impact
Troy: A Total War Saga
Rocket League
Perisian MyASUS
MyASUS merupakan perisian yang membantu pengguna memantau keadaan peranti. Di sini, anda boleh mengemas kini driver, menukar tetapan kipas, memilih mod pengecasan pilihan, membuat diagnosis pada sistem dan banyak lagi. Anda bahkan boleh mengubah suai tetapan paparan seperti mod warna dan intensiti cahaya biru melalui ASUS Splendid. Fitur Wi-Fi SmartConnect juga sangat membantu kerana secara automatik akan menyambung ke internet dengan isyarat terbaik. Ini adalah perisian yang sangat berguna dan mudah untuk difahami.
Satu lagi perisian menarik ialah Link to MyASUS, yang menghubungkan komputer riba ke telefon pintar anda secara wayarles. Ini sangat bagus kerana anda dengan mudah dapat memindahkan fail, mencerminkan skrin, melakukan panggilan telefon dan banyak lagi menggunakan komputer riba. Saya sendiri yakin ramai akan mendapat manfaat daripada fitur ini.
Bateri & Audio
Bateri 42Wh Asus VivoBook 15 boleh bertahan selama kira-kira hampir 11 jam sehari untuk penggunaan santai. Hayat bateri adalah salah satu kawasan yang kita letak harapan tinggi memandangkan ia direka dengan tujuan untuk produktiviti. Secara khususnya, ia mampu bertahan selama Ultrabook daripada laporan bateri Windows PowerShell.
Di samping itu, Asus VivoBook 15 mempunyai dua pembesar suara stereo yang diselaraskan oleh Harman Kardon. Kelantangan amat tinggi dan jelas, dan menjadikannya bagus untuk apa-apa panggilan persidangan. Mungkin tidak begitu penting, tetapi ia mempunyai bass yang “boleh bla” walaupun bukan antara yang terbaik. Dengan aplikasi DTS, ia menawarkan beberapa tetapan yang sesuai dengan jenis kerja yang anda lakukan seperti mendengar lagu, menonton movie, atau bermain game.
Pendapat
Dengan harga RM3,299, Asus VivoBook 15 (K513E) menawarkan nilai yang cukup baik kerana hadir dengan pemproses generasi ke-11, dan Nvidia GeForce MX350 supaya anda dapat menikmati proses kerja yang lancar, sesi “gaming” ringan, dan banyak lagi. Reka bentuk nipis pun memudahkan kita untuk membawanya ke mana sahaja, dan storan SSD PCIe 512GB sudah banyak untuk kita menyimpan semua data penting. Penambahan pengimbas cap jari di trackpad juga menjadikannya bagus jika anda ingin cepat memakai PC sambil menjaga keselamatan data.
ASUS VivoBook 15 K513 adalah komputer riba “portable” yang bagus untuk mereka yang mencari sesuatu yang berprestasi pada harga yang berpatutan. Dengan nilai harga RM3,299, saya akan mengesyorkan anda untuk letakkan produk ini dalam “wishlist” sekiranya sedang mencari komputer riba baru. Jika berminat, sila layar halaman Shopee, atau laman web rasmi ASUS.
Spesifikasi menurut laman web rasmi:
@gamersantaimy
Discussion about this post