Permainan video mempunyai potensi untuk mengajar, menggembirakan, dan membuka minda individu pada perspektif yang berbeza. Ini ialah salah satu kelebihan baik tentang media. Di sini, saya ingin mengulas tentang Ancestors: The Humankind Odyssey. Ia amat mirip dengan permainan video moden lain dalam beberapa aspek, tetapi berjaya membezakan diri dalam cara yang lebih unik.
Walaupun ia dihasilkan oleh pemaju sama yang memperkenalkan Assassin’s Creed, jangan anggap ia adalah permainan yang sama. Ancestors adalah permainan yang bersifat “survival” dan menceritakan kisah seekor primat dan puaknya dalam perjuangan mereka untuk bertahan hidup, menyesuaikan diri, dan berevolusi. Mari kita mulakan ulasan ini.
Latar belakang
Ancestors: The Humankind Odyssey bermula sepuluh juta tahun yang lalu di sebuah hutan di Afrika. Permainan bermula dengan adegan yang menunjukkan haiwan yang lebih kecil dimakan oleh haiwan besar. Kita diberitahu bahawa teknologi sains terkini telah digunakan untuk mensimulasikan kehidupan berjuta-juta tahun yang lalu dan pemain mesti bertahan hidup dalam hutan ini tanpa bantuan luar.
Di sini, pemain akan mengawal sekumpulan hominid (beruk besar). Walaupun hanya satu hominid boleh dimainkan pada satu masa, keseluruhan kumpulan mesti dijaga agar dapat bertahan hidup. Mekanik ini memainkan peranan penting dalam proses evolusi di samping aktiviti kehidupan seharian yang mesti dilakukan.
Gameplay asas & unsur evolusi
Setiap hominid mempunyai jumlah stamina tertentu, yang berkait dengan kesihatan dan jangka hayat keseluruhan. Ini bermaksud anda harus tidur, makan dan mengelakkan kecederaan besar agar dapat bertahan lama. Dengan seperti mudah kan? Tetapi Ancestors menggunakan pendekatan bertahan hidup yang “hardcore” di mana ia tidak selalu mudah untuk mencari makanan yang betul atau mengelakkan kecederaan sepenuhnya seperti jatuh daripada pokok dan patah tulang.
Pemain bermula dengan kosong ilmu yang bermaksud kita tidak tahu apa-apa tentang dunia luar. Tujuan UTAMA kita adalah untuk berevolusi. Melalui kepintaran hominid, dunia sekeliling dapat disiasat dan kecerdasan menjadi faktor utama dalam perkembangan deria demi memahami dunia. Kita boleh mengutip objek baru, menilai objek tersebut dan kemudian belajar bagaimana untuk menggunakan objek itu di persekitaran.
Setiap kali kita menilai dan belajar tentang persekitaran sekeliling, pengalaman evolusi akan diperoleh dan abiliti baru akan dibuka. Anda mungkin tidak tahu bagaimana untuk menggunakan kayu, tetapi selepas beberapa eksperimen, kita dapat tahu ia boleh diasah menggunakan batu, untuk kegiatan memancing atau pembinaan benteng. Setiap kemungkinan ini mesti dijumpai terlebih dahulu, sebelum objek tersebut dapat digunakan. Mengenal pasti setiap bahan dan kegunaannya juga meningkatkan ilmu dan kesedaran kita tentang alam persekitaran. Tidak semua bahan dapat dijumpai di satu kawasan, jadi apabila keadaan menjadi semakin sukar, sudah tiba masanya untuk kita menghadapi bahaya di kawasan lain.
Untuk memulakan evolusi spesies, beberapa faktor-faktor tertentu mesti dipenuhi terlebih dahulu. Tugas-tugas ini selalunya terdiri daripada memakan jenis sumber baru dan menghadam nutriennya. Kepintaran dan ketangkasan pula perlu ditingkatkan melalui interaksi dengan persekitaran. Walaupun Waterfall Oasis (anggap sebagai rumah utama) adalah selamat dan mempunyai banyak sumber pada awal permainan, keadaan mengharuskan kita untuk menjelajah ke dalam hutan untuk mencari sumber baru dan memperluaskan pengalaman.
Ciri evolusi juga dilihat pada hominid kerana generasi baru berkembang dengan ciri-ciri yang lebih baik. Ciri-ciri bagus ini boleh dibuka di skill tree agar boleh diturun menurun kepada generasi akan datang. Keindahan permainan ini adalah ia benar-benar memberikan kebebasan untuk kita meneroka apa kita mahu dan bagaimana kita ingin mengembangkan generasi baru.
Dunia luar yang luas & menakutkan
Permainan ini menampilkan dunia terbuka yang luas dengan beberapa persekitaran berbeza untuk diterokai. Sekiranya ingin meninggalkan hutan, anda boleh menyeberangi padang pasir yang panas atau mengunjungi persisiran pantai. Setiap lokasi mempunyai haiwan tersendiri, sumber baru dan kawasan unik untuk diterokai. Peta permainan juga sangat mengagumkan kerana walalupun ini bukan permainan AAA, tetapi ia mempunyai kandungan yang banyak dan memfokuskan pada unsur “replayability”.
Walaupun berjalan hutan adalah salah satu cara pengangkutan, Ancestors: The Humankind Odyssey memberikan kemampuan untuk menggunakan ketangkasan hominid bagi menavigasi pokok, berjalan di dahan dan berayun melalui hutan dengan mudah. Kebebasan ini mencipta pengalaman berlapis di mana pemain menemui kelebihan untuk berada di atas pokok dan juga kelebihan di atas tanah.
Ancestors menggunakan sains evolusi untuk mewakili tindak balas ketakutan di mana aktiviti memperluaskan wilayah mengharuskan pemain menjelajah kawasan yang tidak diketahui. Ketakutan ini akan menghalang pemain daripada membuat kemajuan yang lancar dan menjadikan mereka sukar membuat keputusan rasional. Ancestors berjaya mensimulasikan tindak balas evolusi manusia terhadap perkara-perkara seperti tekanan, ketakutan dan keletihan untuk mewujudkan pengalaman permainan yang memberikan keutamaan kepada keputusan-keputusan penting.
Tiada panduan hidup
Apabila permainan memberi amaran bahawa “we won’t help much,” ia benar-benar bermaksud mereka tidak akan tolong. Walaupun ada tutorial yang menjelaskan fungsi butang dan mekanik asas, tetapi apabila datang soal evolusi, ia tidak pernah diterangkan. Isu ini mungkin membuat ramai pemain merasa keliru pada awal permainan. Sebilangan besar gameplay pula dirancang khusus untuk pemain bergantung pada firasat dan rasa ingin tahu untuk meneroka.
Walaupun tahap kebebasan ini memberikan pilihan kepada pemain untuk menentukan gaya permainan mereka, itu juga boleh menyebabkan kemajuan pemain tersekat atau hilang arah kerana penjelasan yang tidak jelas. Walaupun ramai yang suka permainan yang mencabar, ada beberapa adegan di Ancestors yang membuat saya terasa seperti “bazir masa” atau sia-sia”.
Pendapat
Walaupun objektifnya rumit, Ancestors: The Humankind Odyssey mencabar pemain untuk berfikir di luar kotak dengan menggunakan pengetahuan sedia ada demi bertahan hidup dalam dunia prasejarah. Kita mesti memanfaatkan otak kita sendiri untuk menyelesaikan masalah kuno – seperti tempat mencari makanan dan bagaimana untuk hangatkan badan semasa malam yang sejuk.
Panache Digital Games telah mewujudkan persekitaran yang mengasyikkan untuk kita jumpa dan teroka. Menggunakan naluri semula jadi adalah aspek permainan yang paling bijak, kerana ia memberi ganjaran kepada kita untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang sudah semestinya kita rasa paling natural. Ia adalah pengalaman yang sangat menggembirakan untuk melihat hominid kami bermula dengan fahaman 0% tentang dunia, tetapi kemudian menjadi makhluk yang cukup berdikari berkat pendidikan dan penemuan.
Ancestors: The Humankind Odyssey menunjukkan kepada kita betapa hebat sebenarnya minda seorang makhluk primitif dan sejauh mana spesies haiwan telah maju. Maka, tamatlah ulasan ini! Jika anda ingin berminat, Ancestors: The Humankind Odyssey kini sudah keluar di PlayStation 4, Xbox One, dan Microsoft Windows. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Launch trailer:
GS Gameplay:
@gamersantaimy
The Review
Ancestors: The Humankind Odyssey
Walaupun objektifnya rumit, Ancestors: The Humankind Odyssey mencabar pemain untuk berfikir di luar kotak dengan menggunakan pengetahuan sedia ada demi bertahan hidup dalam dunia prasejarah.
Discussion about this post