Tinggal hanya seminggu sebelum Tokyo Game Show 2026 (TGS 2026) bermula di Makuhari Messe, Chiba, Jepun, penganjur acara iaitu Computer Entertainment Supplier’s Association (CESA) hari ini berkongsi kemas kini terakhir sebelum pembukaan acara.
TGS 2026 akan berlangsung selama lima hari berturut-turut. Dua hari pertama iaitu 17 September dan 18 September dikhaskan untuk “Business Days”, sebelum dibuka kepada orang awam bermula 19 September hingga 21 September.
Sama ada anda merancang untuk terbang ke Tokyo minggu depan atau ingin menyaksikan pendedahan terbaharu dari rumah, pengumuman hari ini membawakan pelbagai info untuk para gamer sekalian.
Rekod dan Keluasan Tapak Acara
Skala penganjuran TGS 2026 secara rasminya memecahkan semua rekod dahulu. Sebanyak 1,138 pempamer mengambil bahagian (melibatkan 540 syarikat dari Jepun dan 598 syarikat antarabangsa) merangkumi 53 negara dan wilayah. Jumlah keseluruhan ruang pameran mencecah 3,999 booth, meliputi Dewan Pameran 1 hingga 11 di Makuhari Messe, International Conference Hall, serta dewan baharu iaitu TKP Tokyo Bay Makuhari Hall. Pihak penganjur menjangkakan kehadiran sekitar 300,000 pengunjung sepanjang lima hari berlangsung.
Bagi memudahkan pengunjung, peta tapak acara 3D interaktif boleh diakses di laman web rasmi TGS. Ini membolehkan orang ramai melihat zon-zon pameran dan merancang lawatan booth lebih awal.
Acara TGS di Steam Bermula Malam Ini
Bagi pemain PC di Malaysia yang mahu merasa kemeriahan lebih awal, anda tidak perlu menunggu sehingga minggu depan. Halaman rasmi TGS 2026 di Steam akan mula bersiaran hari ini, 10 September, tepat jam 6:00 petang waktu Malaysia. Portal ini menyediakan diskaun game masa terhad, pelbagai pengumuman terbaharu, serta playable demo daripada studio yang mengambil bahagian di pameran.
Jadual Livestream untuk Malaysia
Memandangkan waktu di Jepun hanya sejam lebih awal daripada Malaysia, menonton siaran langsung acara sangat mudah tanpa perlu berjaga hingga lewat malam. Kebanyakan program akan disiarkan melalui saluran YouTube, Twitch, dan X milik TGS.
Program pra-acara akan bermula seawal esok. Pada 11 September, jam 6:00 petang waktu Malaysia, episod kedua TGS NEWS STUDIO akan disiarkan untuk membincangkan peta acara serta sorotan utama. Ini diikuti pada jam 7:00 petang waktu Malaysia dengan bahagian pertama 30th Anniversary Title Talk, yang mengumpulkan penerbit berpengalaman di sebalik francais Resident Evil, Persona, dan Story of Seasons untuk berkongsi kisah pembangunan game sepanjang tiga dekad yang lalu.
Acara tahunan Japan Game Awards pula akan menyiarkan majlis anugerah bagi kategori Game of the Year pada 15 September, jam 5:00 petang waktu Malaysia. Manakala Capcom akan menganjurkan siaran Capcom Online Program pada 16 September, jam 10:00 malam waktu Malaysia.
Apabila acara utama bermula pada 17 September, majlis pembukaan dijadualkan pada jam 8:30 pagi waktu Malaysia, diikuti dengan ucaptama ulang tahun oleh Pengerusi CESA, Haruhiro Tsujimoto, pada jam 10:00 pagi waktu Malaysia. Malam pula dipenuhi siaran menarik untuk tontonan di rumah, termasuk Xbox Digital Showcase pada jam 6:00 petang dan siaran pra-pelancaran Mabinogi Mobile pada jam 7:00 malam waktu Malaysia.
Pada hujung minggu (hari terbuka untuk orang awam), tumpuan utama pada hari Sabtu melibatkan sesi pengenalan projek baharu Lollipop Chainsaw di pentas utama pada jam 8:40 pagi waktu Malaysia, diikuti persembahan speedrun olehTGS RTA Challenge pada jam 6:00 petang. Pada hari Ahad, majlis Japan Game Awards Future Division akan berlangsung pada jam 12:00 tengah hari untuk memberi penghargaan kepada game yang paling dinanti-nantikan hasil undian peminat, diikuti dengan konsert TGS Game Music Special pada jam 6:00 petang waktu Malaysia.
Bagi peminat tegar fighting game, pastikan anda tidak terlepas menonton kejohanan Red Bull Revenge pada 21 September, bermula jam 8:40 pagi hingga 1:20 tengah hari waktu Malaysia. Pertarungan exhibition Street Fighter 6 format First-to-5 ini menyaksikan perlawanan antara Tokido vs. MenaRD, Big Bird vs. Bonchan, Blaz vs. Sahara, serta LeShar vs. Kawano.
Barangan Rasmi dan Pelekat LINE
Peminat yang peka turut boleh nampak beberapa tajuk game yang belum dikeluarkan tersenarai dalam barangan cenderahati rasmi CESA. Kedai rasmi di tapak acara akan menjual baju-T dan pouch edisi khas yang menampilkan kolaborasi bersama Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen (Capcom), Wo Long 2: Wings of Ember (Koei Tecmo), Castlevania: Belmont’s Curse (Konami), Ace Combat 8: Wings of Thieves (Bandai Namco), serta Sonic the Hedgehog (SEGA).
Selain itu, CESA turut menyediakan set 16 pelekat digital LINE percuma yang boleh dimuat turun melalui akaun rasmi LINE TGS sehingga 16 November. Rekaan ini menampilkan sepuluh watak ikonik dunia game, antaranya Cloud Strife daripada Final Fantasy VII, Astro Bot, Alucard dan Simon Belmont (Castlevania), Sonic dan Shadow, Tasha Severskaya (Ace Combat 8), serta Diana daripada Pragmata.
Barisan Terakhir Duta “TGS BOOSTERZ”
Melengkapkan pengumuman hari ini, CESA memperkenalkan kumpulan keempat bagi barisan duta rasmi “TGS BOOSTERZ”, untuk menggenapkan seramai 30 pasukan pencipta kandungan sempena ulang tahun ke-30 acara ini.





Barisan terbaharu menampilkan pemain dram kumpulan UNISON SQUARE GARDEN yang juga CEO MY FLAGMENT, Takao Suzuki (juga akan membuat persembahan muzik pada siaran hari Ahad) bersama VTuber Rei7 dari NIJISANJI dan Otora, pencipta kandungan Nanami, serta cosplayer dari China, Xiaoqi kiki.









Discussion about this post