Hari ini, Marvel Malaysia telah menyiarkan teaser trailer terbaharu untuk filem “Avengers: Doomsday“, dengan tumpuan kali ini diberikan kepada watak Thor.
Strategi pemasaran filem ini bermula dengan trailer yang memaparkan kepulangan Chris Evans sebagai Steve Rogers, sebelum perhatian dialihkan kepada watak Thor lakonan Chris Hemsworth.
Berbanding kemunculannya dalam filem-filem sebelum, klip acah Thor ini membawa nada yang lebih gelap dan serius untuk Avenger tersebut. Kami melihat Thor dengan gaya rambut pendek sambil memegang kapak Stormbreaker, dalam keadaan sedang melutut di sebuah kawasan hutan.

Menerusi doa yang ditujukan kepada bapanya, Odin, Thor merayu agar dikurniakan “kekuatan para All-Fathers” supaya dia dapat “menewaskan seorang lagi musuh dan kembali kepadanya”.
Rujukan itu adalah untuk anak angkatnya, Love, iaitu anak perempuan Gorr the God Butcher yang dihidupkan semula dan kini berada di bawah jagaan Thor sejak penghujung filem “Thor: Love and Thunder”. Fakta menarik, watak Love dilakonkan sendiri oleh anak perempuan Hemsworth, iaitu India Rose Hemsworth.

Meskipun klip itu menunjukkan Love berada dalam keadaan selamat di rumah, elemen ‘kekeluargaan’ dan usaha melindungi anak-anak jelas menjadi elemen utama dalam Avengers: Doomsday.
Hal ini disokong oleh teaser sebelum ini yang memaparkan Steve Rogers bersama seorang bayi, serta plot yang melaporkan bahawa watak antagonis, Doctor Doom, telah menculik Franklin Richards.
Sejajar dengan tayangan teaser Thor di media sosial, teaser ketiga yang berfokuskan kepada X-Men pula telah memulakan tayangannya di pawagam. Pihak Marvel dijangka akan menyiarkan teaser X-Men ini secara rasmi pada minggu berikutnya.
Filem Avengers: Doomsday dijadualkan bakal menemui penonton di pawagam Malaysia mulai 17 Disember 2026.









Discussion about this post