Sewaktu Tokyo Game Show 2025, kami mendapat kesempatan untuk menguji Crusader Kings III: All Under Heaven, iaitu pek expansion besar keempat bagi game strategi ciptaan Paradox yang sangat terkenal.
Dalam masa 30 minit yang diperuntukkan, saya memainkan watak Lu Ci, seorang bangsawan bawahan Maharaja Yizong dari Dinasti Tang pada tahun 867.
Biarpun sesi ini begitu ringkas, ia cukup untuk membuktikan betapa dinamik, dan sukarnya untuk meramal apa yang bakal berlaku di rantau Asia Timur apabila DLC ini dilancarkan pada 29 Oktober 2025 nanti.

Apa yang paling memeranjatkan saya ialah kelajuan game ini menyajikan pelbagai peristiwa dramatik. Nasib watak saya, Lu Ci, dalam hayatnya yang pendek tidak dibentuk oleh peperangan besar, sebaliknya oleh kejadian-kejadian rawak.
Satu contoh awal ialah peristiwa “A True Son”, di mana seorang budak lelaki tiba-tiba muncul dan mendakwa saya adalah bapa kandungnya.
Ketika itu, saya perlu membuat pilihan segera: sama ada menolaknya demi menjaga maruah, mengakuinya yang berpotensi mengubah susunan pewaris takhta, atau memanipulasi situasi tersebut demi kepentingan peribadi.

Situasi bertambah genting dengan cepat. Ketika dalam sebuah misi diplomatik, watak saya telah diserang hendap dan dirompak. Akibatnya, saya ditinggalkan sebatang kara selepas dipukul, lalu tersesat di dalam hutan sebelum akhirnya mati akibat kelaparan. Walau bagaimanapun, kematian itu bukanlah penamatnya.
Sebaliknya, game tidak memaparkan skrin “Game Over”, tetapi sudut pandangan terus beralih kepada anak lelaki saya, yang kini mewarisi tanggungjawab untuk meneruskan legasi keluarga.
Ini sekali lagi mengingatkan saya tentang keistimewaan siri Crusader Kings—ia mampu mengubah cerita-cerita peribadi dan konflik dinasti menjadi sebuah epik yang terus berevolusi, di mana kegagalan sekalipun hanyalah titik permulaan untuk lembaran yang baharu.

Pengalaman bermain sebagai pemerintah di bawah Dinasti Tang memberi kefahaman tentang perbezaan antara latar China berbanding latar belakang biasa CKIII.
Suasana istananya penuh dengan pelbagai ritual dan sistem birokrasi yang kompleks, di mana pengiktirafan (legitimasi) dan sokongan pemerintah menjadi sama penting dengan kekuatan ketenteraan.
Setiap watak bukan lagi sekadar bangsawan yang mengejar kuasa; mereka turut dibebani oleh prinsip Konfusianisme, tanggungjawab menjaga nama baik keluarga, serta tekanan berterusan daripada konsep Mandate of Heaven.

Gameplay juga direka untuk mencerminkan budaya ini. Berbanding dengan melancarkan perang tanpa henti demi menawan wilayah, fokus utama gameplay saya pada peringkat awal adalah untuk bertahan dalam arena politik, akur pada titah perintah Maharaja, dan mengelak pelbagai muslihat dalam kehidupan istana.
Elemen-elemen bersejarah—seperti sistem peperiksaan awam, peluang meningkatkan status melalui merit, serta ancaman kejatuhan sesebuah dinasti yang berterusan—menjadikan dunia ini terasa lebih hidup dan berakar umbi pada sejarah sebenar.

All Under Heaven bukan sahaja memperkenalkan peristiwa-peristiwa baharu, malah ia merupakan sebuah penambahan yang sangat besar kepada dunia permainan secara keseluruhan. Peta diperluas melebihi 30%, kini merangkumi wilayah China, Jepun, Korea, dan Asia Tenggara.
Setiap kawasan ini tampil dengan mekanik gameplay dan cabaran yang unik.
- China: The Mandate of Heaven
- Ini adalah inti utama DLC, di mana pemain dapat melalui Dinasti yang silih berganti antara era aman dan huru-hara. Anda berpeluang untuk menjadi seorang Hegemon bagi menentang Maharaja, menumpukan hidup kepada ilmu melalui sistem Peperiksaan Diraja yang berasaskan kebolehan, atau mentadbir Perbendaharaan Diraja bagi membiayai projek-projek mega dan menangani bencana.

- Japan: Rise of the Shogunate
- Anda boleh memimpin klan melalui liku-liku politik istana, peperangan samurai, dan upacara suci untuk dinobatkan sebagai Shogun yang berkuasa mutlak atau pemangku Kampaku yang sangat berpengaruh. Sebagai pilihan lain, anda boleh berusaha mengembalikan kuasa kepada Maharaja untuk mencipta naratif sejarah yang sama sekali berbeza.

- Southeast Asia: God-Kings and Temple Empires
- Pemerintah di rantau ini akan menggunakan sistem Kerajaan Mandala, iaitu sebuah jaringan kuasa dinamik dan dibina berdasarkan keseimbangan antara negeri-negeri ufti dan elemen-elemen ketuhanan. Apabila bermain sebagai Devaraja (raja-dewa), anda perlu memilih jelmaan dewa yang ingin digalas, dengan upacara-upacara unik dan sistem kuasa berpusatkan kuil yang akan mencorakkan pemerintahan anda.

Pengalaman mencuba game ini telah meyakinkan saya bahawa Crusader Kings III: All Under Heaven adalah lebih daripada sekadar penambahan peta. Ia sebenarnya membawa perubahan besar dari sudut pandang dan kaedah penceritaan.
Ketika bermain sebagai Lu Ci, saya segera terasa seolah-olah menjadi sekeping buah catur yang kerdil di atas papan permainan yang luas dan penuh cabaran, di mana saya lebih banyak bertindak balas terhadap keadaan sekeliling berbanding mengawalnya.
Pek expasion ini terasa begitu hebat, bukan sahaja kerana saiz petanya yang gergasi, tetapi juga dari segi kandungan temanya. Ia menyulam elemen-elemen rumit, falsafah, dan drama politik Asia ke dalam struktur gameplay dengan begitu cemerlang.
Bermula daripada insiden-insiden peribadi yang penuh kekalutan sehinggalah kepada perjuangan dinasti yang epik, serta keseimbangan yang perlu dijaga antara tradisi dan cita-cita, All Under Heaven menjanjikan pengalaman yang akan membuatkan pemain sentiasa berhati-hati untuk ratusan jam permainan.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS25] Previu Crusader Kings III: All Under Heaven – Memerintah Dunia Sebagai China, Jepun Atau Asia Tenggara](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/Crusader-Kings-III_All-Under-Heaven-PREVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post