Kami berpeluang mencuba DLC Season 2 untuk Sonic Racing: CrossWorlds lebih awal sebelum ia keluar pada hujung tahun 2026, dan ternyata ada banyak kandungan yang akan dibawakan kali ini. Tumpuan utama sudah tentunya DLC Pack 1 Godzilla Pack dan DLC Pack 2 Evangelion Pack, selain beberapa kemas kini percuma.
Cuma selain yang disebutkan tadi, ada banyak lagi perkara baharu yang ditambah daripada mode, litar, kenderaan, pelumba dan macam-macam lagi.

Mode Rival Duel
Penambahan utama dalam update percuma ini ialah Rival Duel. Dalam mode ini, pemain boleh dapat ganjaran setiap kali habiskan trek ketiga buat kali pertama, dan ini juga mode untuk pemain unlock Bayonetta.

Cara mainnya mudah saja. Kita berlumba 1v1 menentang Rival AI bila main offline, atau boleh cabar kawan secara online. Mode ini memang menyeronokkan kalau kita cuma mahu lumba 1v1 yang pantas dengan kawan tanpa diganggu pelumba lain dalam litar.

Setiap Rival Duel ada tahap dan litar yang berbeza. Kalau ingin unlock Bayonetta, anda perlu kalahkan dia sebanyak tiga kali di litar dan tahap berlainan. Perlumbaan ini tidak susah sangat, jadi tidak perlu susah payah pun untuk masukkan dia ke dalam roster anda.
Godzilla Escape & Tokyo-III (Evangelion)
DLC ini bawakan dua trek kolaborasi: Godzilla Escape daripada Godzilla Pack dan Tokyo-III daripada Evangelion Pack. Kedua-dua trek ini boleh dimainkan dalam mode Rival Duel, Time Trial, dan Grand Prix.

Trek Godzilla Escape penuh dengan butiran yang diinspirasikan daripada francais Godzilla. Sejak dari garisan mula lagi, anda sudah boleh nampak Godzilla guna Atomic Breath. Masa berlumba di trek ini, kita akan memandu celah-celah kaki dan ekornya, lalu bandar yang musnah teruk, dan melihat kepala Godzilla dari jarak dekat.
Ada juga pihak tentera yang serang Godzilla di sepanjang litar, membuatkan kita rasa seperti sedang berlumba dalam babak filem Godzilla. Terlalu banyak perkara yang berlaku di sekeliling sampaikan kami sendiri rasa ingin perlahankan kenderaan untuk melihat suasana saja daripada berlumba.
Walau bagaimanapun, bagi saya Tokyo-III adalah trek yang paling ikonik dan diingati antara kedua-duanya. Perlumbaan bermula dengan Evangelion Unit-01 dalam posisi bertarung, sementara lampu dan sepanduk amaran kecemasan terus memberi rasa seakan serangan Angel sedang berlaku.
Bila memandu di Tokyo-III, kita akan drift di celah-celah bangunan yang separuh tenggelam dan laut merah, sambil mengelak serangan daripada Sixth Angel. Di belakang pula, kita boleh melihat Gunung Fuji yang membuatkan pemandangan latar belakang nampak lebih gah lagi.
Tetapi apa yang paling menarik bagi kami ialah cara trek ini meniru semula babak ikonik daripada filem Evangelion: 2.0, semasa EVA-01 bertarung Sahaquiel (Eighth Angel). Mula-mula kita akan melihat dinding pertahanan dinaikkan sebelum EVA-01 berlari atas dinding itu untuk lawan Sahaquiel.
Keseluruhan adegan ini memang tiru babak filem itu (cuma ada EVA-01 saja), lengkap dengan penghadang amaran dan pandangan dekat semasa pertarungan. Atas jalan raya pun ada logo NERV yang besar.
Ini buatkan ia betul-betul rasa seperti fan service untuk peminat Evangelion, bukan sekadar litar lumba biasa yang meletak tema Evangelion semata-mata.
Barisan Pelumba Baharu & Kenderaan Crossover

Bila bercakap tentang Sonic Racing: CrossWorlds, sudah tentu kita perlu cerita tentang barisan pelumba dan kenderaan baharu.
Untuk update percuma, Bayonetta dimasukkan ke dalam roster pelumba. Selepas unlock watak tersebut melalui Rival Duel, kita juga akan dapat kenderaan khasnya, Butterfly Witch. Kenderaan ini direka berasaskan Madama Butterfly daripada siri Bayonetta dan diletakkan dalam kategori Boost-type.
Satu hal menarik ialah Bayonetta akan menari atas kereta itu semasa memandu. Selepas unlock watak ini, kita juga boleh dengar muziknya sendiri semasa berlumba, yang membuatkan kolaborasi ini terasa lebih lengkap.

Evangelion DLC Pack pula bawakan dua watak pelumba iaitu Rei Ayanami dan Asuka Langley Shikinami, bersama tiga kenderaan berasaskan EVA-00, EVA-01, dan EVA-02. Ketiga-tiga jentera ini adalah jenis Acceleration-type dan rupanya memang diambil terus daripada unit Evangelion dalam anime, jadi ia memang nampak menonjol di atas trek.
Godzilla DLC Pack juga tambah tiga kenderaan baharu, walaupun tiada watak raksasa yang boleh kita mainkan (secara jujurnya, memang kelakar kalau dapat melihat Godzilla pandu kereta). Tiga kenderaan itu ialah Godzilla Cruiser dan King Ghidorah Coupe (kedua-duanya jenis Power-type), serta Mothra Surf (jenis Boost-type).
Setiap satu diinspirasikan daripada raksasa berbeza, jadi ada banyak variasi walaupun tidak boleh main sebagai Godzilla.
Satu lagi kejutan ialah kolaborasi Persona 3 Reload yang membawakan Aigis ke dalam game ini. Dia memandu Palladion Dressy, kenderaan jenis Acceleration-type yang diilhamkan daripada Persona miliknya, Palladion. Dan sudah tentu, tidak lengkaplah kolaborasi Persona tanpa muzik.
Bila pilih Aigis, anda boleh dengar lagu “Mass Destruction -Reload-“, satu sentuhan yang cukup akrab untuk peminat siri Persona.
Bagi siri Sonic pula, kita ada pelumba baharu iaitu McLaren Sonic dan Super Shadow, bersama kenderaan mereka iaitu McLaren Racing Car dan Super Dark Flare. Kedua-dua jentera ini dibina sebagai jenis Speed-type untuk pemain yang mahukan kelajuan maksimum.
Akhir sekali, untuk peminat retro SEGA yang membeli Season Pass 2, anda akan menerima tiga kenderaan bonus yang direka berasaskan konsol klasik: Dreamcast EU, SEGA Saturn JP, dan Genesis Tower US. Ketiga-tiganya adalah jenis Acceleration-type dan merupakan penghargaan nostalgia untuk sejarah konsol SEGA.
Pendapat
Secara keseluruhan, Season 2 terasa seperti kemas kini yang sangat besar untuk Sonic Racing: CrossWorlds. Dengan dua trek kolaborasi baharu, mode Rival Duel, pelumba baharu, serta banyak pilihan kenderaan, memang ada banyak kandungan untuk pemain cuba.

Apa yang kami paling suka ialah kolaborasi ini tidak rasa seperti dibuat sambil lewa; iaitu mereka bukan sekadar tambah watak atau kenderaan begitu saja.
Trek Godzilla dan Evangelion penuh dengan butiran dan babak yang peminat kedua-dua siri ini pasti hargai, manakala kenderaan dan pelumba baharu memberi lebih banyak pilihan untuk cuba cara main berbeza.

Mode Rival Duel juga penambahan yang bagus, terutamanya kalau anda nak lumba 1v1 dengan kawan atau inginkan cara lain untuk unlock kandungan baharu. Dengan dua pek DLC kolaborasi besar, kandungan percuma, serta banyak kenderaan dan watak baharu, Season 2 bagi tambahan kandungan yang besar untuk Sonic Racing: CrossWorlds.
Kalau anda memang sedang main game ini, ada banyak sebab untuk kembali berlumba… dan kalau anda peminat Godzilla, Evangelion, Persona, atau SEGA, ada lebih banyak sebab untuk cuba musim baharu ini.
Game ini tersedia untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, Nintendo Switch 2, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam serta Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[TGS2026] Previu Sonic Racing: CrossWorlds (DLC Season 2) – Bayonetta, Godzilla & Evangelion Masuk Litar](https://cdn.gamersantai.com/2026/10/SONIC-RACING-CROSSWORLDS_DLC-S2_FI-750x375.jpg)





































Discussion about this post